Saturday 15 September 2012

Wahai Da’ie=Blogger, Tajdid Niatmu Semula!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a. berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana (ingin) mendapatkan  keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan dinilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Post ini dimulakan dengan hadis tentang niat supaya menjadi tazkirah buat dirimu agar sentiasa membetulkan niatmu dalam berblog iaitu untuk menyebarkan dakwah kerana Allah. Boleh sahaja niat hatimu terpesong akibat ‘serangan’ dunia yang tidak pernah luntur, maka post ini untuk mengingatkan dirimu semula agar engkau sentiasa membetulkan niatmu iaitu untuk mencari redha-Nya. Ikhlas itu amat sukar, hanya Allah mampu menilainya.  Aku tahu mungkin ramai sahaja da’ie= blogger yang menjadi terkenal kerana tulisan blog mereka tapi janganlah kamu jadikan terkenal itu sebagai niatmu. Ikhlaslah wahai diriku, dunia ini hanya sementara dan akhirat jualah tempat kembali yang kekal. Allah berfirman dalam al-Quran; mafhumnya:

Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.

(al-Ankabut: 64)

Wahai diriku, ingatlah setiap amalan kita akan dihisab kelak maka persiapkanlah amalanmu. Wahai diriku, jadilah dirimu orang yang melaksanakan setiap nasihat dan kata-katamu. Ingatlah, Allah berfirman; mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 
(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. 
(as-Saff: 2-3)

Akhir, berjuanglah kamu pada jalan Allah dengan niat yang betul semoga engkau bertemu kejayaan.

~ Daripada aku dirimu, untukmu diriku ~

No comments:

Post a Comment