Tuesday 25 December 2012

Ada Apa dengan Palestina? (Bahagian 2)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(al-Isra’: 1)

9 Disember 2012

Nama Program: Save Syria Free Gaza
Tempat: Stadium Melawati Shah Alam

Program anjuran Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care Malaysia Society) ini bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan Kuliah Maghrib oleh Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani. Dalam kuliahnya beliau sempat berpesan tentang kepentingan kita semua untuk membantu saudara mara seakidah kita di serata dunia, terutamanya yang dihimpit kesulitan seperti di Palestin, Syria dan Arakan (masyarakat Muslim Rohingya).

Usai kuliah, kami bersolat Isya’ berjemaah yang disertakan bacaan Qunut Nazilah. Seterusnya kami solat sunat hajat berjemaah untuk memohon kehadrat Allah s.w.t. kekuatan buat saudara mara kita yang sedang dihimpit kesulitan di Palestin dan di Syria.

Program bermula dengan dengan ucapan oleh Pengerusi Muslim Care. Seterusnya majlis disusuli oleh pidato wakil mahasiswa dan anak muda iaitu Presiden GAMIS, Saudara Azan Safar.

Selepas pidato Presiden GAMIS, majlis diteruskan dengan ucapan yang ditunggu-tunggu iaitu pidato daripada Timbalan Pengarah Umum Hubungan Antarabangsa di Pejabat Perdana Menteri (Kerajaan HAMAS, Gaza) sebagai wakil daripada Kerajaan HAMAS di Gaza dan rakyat Gaza, saudara Ahmed Ayesh al-Najjar atau lebih mesra dikenali sebagai Abu Ayesh. 

Abu Ayesh menyampaikan pidatonya dalam bahasa Inggeris, alhamdulillah lebih mudah untuk kami memahaminya. Ketika pidato Abu Ayesh, kami dikejutkan dengan laungan takbir. Ustaz Nazmi Karim mengumumkan ketibaan as-Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni, Ketua Kesatuan Ulama’ Syam. Selepas as-Syeikh duduk, Abu Ayesh menyambung pidato beliau. 

Pidato Abu Ayesh

Abu Ayesh ketika menyampaikan pidatonya
“I came to you from the land of Palestine, from the barakah land as mention in al-Quran,… (membaca potongan ayat pertama surah al-Isra’). I came to you from the Gaza Strip, from the town of Khan Younis.” Itulah antara bicara awal Abu Ayesh. Beliau menceritakan kekerdilan Genting Gaza yang diduduki beliau. “If you drive along the Gaza Strip in just take only about 45 minutes. That is the maximum.”   Kata Abu Ayesh mengambarkan kecilnya Genting Gaza.

Peta Genting Gaza
Perang yang meletus antara muslimin di bumi Gaza dengan Rejim Zionis awal Muharram yang lalu menjadi tunjang utama pidato beliau pada malam itu. Pillar of Cloud, itulah nama yang diberikan oleh Rejim Zionis terhadap perang baru-baru ini yang diambil daripada kitab Taurah mereka. Manakala di pihak muslimin di Gaza, mereka mengelarkan perang ini sebagai perang Hijrat min Sijjil yang diambil namanya daripada ayat ke-4 surah al-Fil.

Beliau juga sempat menceritakan perihal as-Syahid Ahmad al-Jabari yang syahid pada permulaan perang itu. Menurut Abu Ayesh, as-Syahid yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji baru-baru ini pernah berkata selepas beliau pulang daripada haji bahawa beliau sudah bersedia untuk syahid kerana beliau sudah selesai mencuci dosa-dosanya ketika mengerjakan haji. Alhamdulillah, Allah s.w.t. telah memperkenankan doanya untuk syahid.

Dalam pidatonya, sempat juga Abu Ayesh berjenaka tentang sebiji bom milik Rejim Zionis yang tidak meletup yang jatuh di bumi Gaza. Sambil menunjukkan gambar bom itu di layar skrin, beliau berkata “We will send this ‘thing’ back to them, of course. Because this is not ours, this is theirs.” Bicaranya yang bersahaja itu mengundang tawa seluruh warga stadium.

Bom milik Rejim Zionis yang tidak meletup ketika Operasi Pillar of Cloud  - kredit kepada jurugambar
Hampir di akhir bicaranya, beliau meminta kita semua di Malaysia agar sentiasa mendoakan mereka di sana. Beliau juga menyebut bahawa tidak ramai di antara rakyat Palestin yang boleh berbahasa Inggeris jadi beliau meminta supaya kita sentiasa menjadi ‘lidah’ kepada mereka untuk menceritakan perihal Palestin kepada umum.

Berhubung isu Syria beliau berpesan “Please pray for our brothers in Syria, they suffer worse than us.” Beliau mengulangi pesanannya supaya kita mendoakan saudara seakidah kita di Syria sebanyak beberapa kali. Sehinggakan ada sekali beliau mengatakan “Please, please, please. I ask you to pray for them, do not pray for us but pray for them and them only.”

Mungkin itu terkeluar daripada mulutnya lantaran rasa kasihnya yang mendalam kepada saudara-saudaranya di Syria. Rasa terharu terbit di hati, alangkah indahnya Islam mengikat hati penganutnya supaya mengambil berat antara muslim. Seorang muslim yang tinggal dalam tanah air yang sudah dihimpit kesusahan angkara sekatan Rejim Zionis masih mampu memikirkan soal saudaranya yang lebih teruk dibantai oleh Rejim pemerintah Syria. Abu Ayesh sendiri selepas itu menyedekahkan semua wang berada dalam poketnya ketika Donate Drift for Syria and Gaza.

(Bersambung…) 

Nota: Kata-kata Abu Ayesh yang ditulis merupakan ingatan saya tentang apa yang saya dengar daripada beliau. Mungkin ayatnya berbeza daripada lantunan bicaranya yang sebenar tetapi maksudnya tetap sama, InsyaAllah.

Thursday 13 December 2012

Ada Apa dengan Palestina? (Bahagian 1)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(al-Isra’: 1)

Post ini merupakan beberapa catatan saya daripada dua program tentang Palestin yang saya hadiri. Semoga perkongsian beberapa bingkisan informasi yang kerdil ini sedikit sebanyak mampu menjadi input baru atau peringatan semula kepada minda anda tentang isu Palestin ini, dengan izin Allah s.w.t.

4 Disember 2012

Nama Program: The Gaza New Treaty: Who Won? (Forum)
Tempat: Al-Malik Faisal Hall, CFS IIUM

Program dimulakan dengan bacaan doa dan bacaan beberapa potong ayat al-Quran. Forum yang berlangsung hampir dua jam itu banyak memfokuskan kepada peristiwa operasi Pillar of Cloud yang dilakukan oleh Rejim Zionis ke atas Gaza pada awal tahun 1434 H ini.

Lambang Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam
Punca pergolakkan baru-baru ini berpunca daripada pembunuhan Second in-Command Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam, Ahmad al-Jabari oleh tentera Rejim Zionis. Target killing yang dibuat ke atas as-Syahid Ahmad al-Jabari telah mencabar kewibaan kerajaan HAMAS di Gaza lantas menyebabkan HAMAS melalui sayap ketenteraannya, Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam melancarkan serangan balas ke atas wilayah Palestin 1948 yang diduduki Rejim Zionis (nota: Palestin 1948 ialah wilayah Palestin yang diduduki oleh Rejim Zionis dan didakwa sebagai negara Israel, terma ini digunakan oleh pihak yang tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel di atas tanah Palestin).

Serangan yang dibuat oleh Rejim Zionis dikatakan bertujuan untuk menghentikan serangan roket-roket kecil HAMAS yang dilancarkan sebelum itu ke atas wilayah Palestin 1948. Dengan objektif ini mereka membuat serangan roket ke atas Ahmad al-Jabari selaku orang kedua tertinggi dalam Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam  agar serangan roket-roket kecil itu dapat dihentikan.

Mengapa orang kedua, bukan orang pertama?

Betulkah HAMAS memulakan serangan roket-roket kecil ke atas wilayah jajahan Israel?

Mungkin ini yang bermain di minda anda bukan?

Mengapa orang kedua, bukan orang pertama?

as-Syahid Ahmad al-Jabari
Hal ini kerana, Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam mempunyai budaya kerja yang elit. Identiti First in-Command mereka ialah rahsia. Ini menyebabkan Rejim Zionis hanya mampu membunuh Second in-Command, iaitu Ahmad al-Jabari yang selalu kelihatan pada umum.

Identiti Ahmad al-Jabari agak menonjol di khalayak umum kerana beliau banyak kali muncul untuk mewakili Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam, seperti ketika proses pembebasan seorang askar Rejim Zionis, Gilad Shalit sebagai tukaran kepada pembebasan sejumlah rakyat Palestin yang berada dalam tahanan Rejim Zionis pada Februari yang lalu. Identiti Ahmad al-Jabari yang menonjol ini telah memudahkan pihak Rejim Zionis melakukan target killing ke atas beliau.

Betulkah HAMAS memulakan serangan roket-roket kecil ke atas wilayah jajahan Israel?

Memang inilah yang diberitakan oleh media, tetapi perlu diingati bahawa kebanyakan media perdana dikuasai oleh golongan mereka juga.

Penting untuk dinyatakan di sini bahawa sebelum berlaku serangan roket daripada pihak HAMAS ini, sebanyak 65 kematian telah dicatat di pihak warga Palestin angkara tindakan tentera Rejim Zionis.

Maka serangan roket-roket kecil itu ialah sebagai tindakkan balas HAMAS untuk membela rakyat Palestin. Roket-roket kecil HAMAS ini pula tidak setanding mana pun jika dibandingkan dengan sistem pertahanan Israel yang maju, bahkan kerosakan dipihak Israel yang disebabkan oleh roket-roket kecil ini hanyalah sedikit.

Pillar of Cloud

Peta Genting Gaza
Operasi tentera Rejim Zionis kali ini di kenali sebagai Pillar of Cloud, operasi ini bertujuan untuk membolehkan mereka melumpuhkan Genting Gaza dan seterusnya menghapuskan HAMAS.

Hal ini kerana operasi Cast Lead pada 2009 dilihat gagal untuk melumpuhkan rakyat Gaza dan memusnahkan HAMAS. Dengan bantuan Allah s.w.t., Cast Lead pada awal 2009 gagal memusnahkan Gaza dan HAMAS walaupun Genting Gaza dikepung dan pintu Rafah yang bersempadan dengan Mesir ditutup rapat oleh Diktator Mesir, Hosni Mubarak.
Operasi Pillar of Cloud ini telah dijadikan oleh Rejim Zionis sebagai medan demonstrasi dan promosi sistem pertahanan baharunya yang dikenali sebagai Iron Dome (Kubah Besi) disamping sebagai modal pilihan raya oleh Perdana Menteri Israel sekarang, Benjamin Netanyahu untuk Pilihan Raya Umum Israel nanti pada Januari 2013.

Namun operasi Pillar of Cloud ini telah membawa malang buat Rejim Zionis lantaran keadaan HAMAS yang lebih mantap persediaannya dan suasana politik di Timur Tengah yang telah banyak berubah daripada sebelumnya hasil mekarnya revolusi-revolusi rakyat yang menyungkurkan diktator-diktator Arab tali barut Zionis daripada sangkar merak kayangan mereka dalam fenomena Arab Spring. Pentas politik Timur Tengah yang mula diisi oleh pemimpin-pemimpin berfikrah Islami telah sedikit sebanyak memihakkan situasi kepada rakyat Gaza.

Jika dahulu rakyat Gaza dikhianati oleh jiran mereka  Mesir, maka hari ini Mesir yang menjadi suara lantang di pentas antarabangsa bersama Turki untuk menuntut keadilan buat rakyat Gaza. Kolaborasi Dr Muhammad Mursi dan Recep Tayyip Erdogan telah mengecutkan ke’jaguh kampung’an Rejim Zionis.

Gencatan Senjata

Kesudahan kepada operasi Pillar of Cloud ini atau dikenali sebagai Battle of Hijrat min Sijjil di pihak HAMAS ini ialah pemeteraian gencatan senjata yang persetujui oleh kedua-dua pihak – HAMAS dan Rejim Zionis. Gencatan senjata kali ini di buat melalui perantaraan Mesir dimana melalui gencatan senjata ini kedua-dua pihak perlu menghentikan serangan, pihak Rejim Zionis perlu menghentikan operasi target killing, dan pihak HAMAS perlu menghentikan serangan roket ke wilayah Palestin 1948. Natijah daripada gencatan senjata ini juga ialah 5 pintu sempadan Gaza telah dibuka untuk rakyat Gaza keluar dan masuk serta membolehkan rakyat Gaza menjalani kehidupan dengan lebih bebas daripada sekatan Rejim Zionis.

Secoret kisah di PBB

Selain daripada gencatan senjata yang dimeterai antara HAMAS dan Rejim Zionis. Forum ini juga mengupas sedikit tentang penaikkan taraf Palestin di PBB yang diusahakan oleh Presiden Mahmoud Abbas. Penaikan taraf ini telah mengubah status Palestin di  PBB daripada non-member observer entity’ kepada ‘non-member observer state’.

Kesan positif daripada penaikkan taraf ini ialah Palestin boleh membawa sebarang kes jenayah perang di yang dilakukan oleh Rejim Zionis ke atas Palestin ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, The Hague.

(Bersambung...)

Tuesday 20 November 2012

BERSIH dalam ISLAM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Post kali ini bukan nak bercerita pasal BERSIH 3.0 atau tuntutan pilihan raya kampus yang bersih. Post kali ini akan membicarakan tentang perkara yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang sering kita terlepas pandang iaitu kebersihan.

Kebersihan sebahagian daripada ajaran Islam

Syumuliah merupakan salah satu sifat istimewa agama Islam. Syumuliah ini bermaksud menyeluruh dan salah satu bukti syumulnya (menyeluruhnya) Islam itu ialah Islam mengajar tentang kebersihan. Bukti Islam mengajar para penganutnya menjaga kebersihan dapat dilihat dalam ibadah fardhu seharian seorang muslim seperti ibadah solat fardhu yang mesti ditunaikan di tempat yang bersih daripada najis dan orang yang akan bersolat mesti memakai pakaian yang bersih daripada najis.

Wudhu’, mandi wajib, mandi sunat, khatan, bercukur, potong kuku dan siwak (bersugi atau memberus gigi) ialah antara cara pengurusan kebersihan diri yang diajar oleh Islam yang terangkum dalam bahagian fikah (Islamic Jurisprudence). Bab kebersihan juga telah disusun oleh para ulama’ sebagai bab pertama dalam pengajian fikah. Ini mengambarkan betapa Islam menitikberatkan bab kebersihan ini.

Sekularisasi Isu Kebersihan

Semua perkara tentang kebersihan ini telah pun diajar dalam Islam, namun pemikiran sekular yang ditanam dalam minda masyarakat telah memperlihatkan seolah-olah bab kebersihan ini tidak ada kaitan dengan Islam. Kebersihan ini sering diperkenalkan secara sekular dimana Islam amat jarang disebut secara seiringan ketika isu kebersihan ini dibincangkan. Hasilnya, ramai ahli masyarakat tidak tahu bahawa kebersihan sangat dituntut dalam Islam dan hanya menganggap kebersihan sebagai satu nilai moral yang baik sahaja. Tembok sekularisasi berusaha memisahkan isu kebersihan ini dengan Islam dengan harapan menjadikan masyarakat hanya melihat Islam terkurung dalam hal ibadah khusus sahaja dan tidak melihatnya sebagai satu ad-Din iaitu cara hidup. Ketahuilah bahawa Islam ialah agama yang mementingkan kebersihan.

Remaja muslim kemaskan tempat tinggalmu

Andai disebut asrama atau rumah bujang terutama yang dihuni oleh lelaki, maka satu gambaran awal yang buruk akan sering dilakarkan oleh minda umum. Keadaan yang bersepah dan berselerak akan menjadi senario paling dominan yang digambarkan, walaupun yang tinggal di dalamnya ialah para remaja muslim. Buku-buku yang tidak tersusun, paket-paket kosong makanan yang bertaburan, tilam tidak bercadar dan berselerak, itu semua selalu menjadi ‘hiasan’ dalam rumah bujang atau asrama yang sering digambarkan oleh minda umum.

Sekadar refklesi, mengapa negatif sungguh gambaran yang diberikan? Sedangkan suasana yang bersih seharusnya menjadi senario paling dominan dalam asrama atau rumah bujang yang dihuni oleh remaja muslim yang mu’min. Mungkin kerana itulah hakikat yang sering terlihat oleh mata. Wahai remaja muslim, berimanlah kepada Allah dan bangkitlah untuk mengubah persepsi negatif minda umum tentang tempat tinggal anda! Kemaskan tempat tinggalmu!

Kebersihan dan pendakwah

Kebersihan dengan dakwah tidak dapat dipisahkan, tanpa kebersihan maka hilanglah kekuatan dakwah itu. Kebersihan boleh menjadi kayu ukur kepada peribadi seseorang. Maka dengan itu fahamlah kita bahawa sebagai da’ie (pendakwah), kebersihan diri, tempat tinggal serta sikap kita terhadap kebersihan persekitaran kita akan menjadi kayu ukur oleh mad’u (orang yang didakwahi) untuk menerima seruan kita. Memanglah seharusnya mad’u itu melihat kepada apa yang diserukan dan bukan siapa penyeru itu, tetapi sebagai da’ie kita harus faham bahawa itu bukan alasan untuk kita membiarkan urusan kebersihan dan kekemasan diri kita terabai.

Jika kebersihan diri dan persekitaran kita diabaikan, maka dakwah kita pun akan menjadi kurang mantap dan mungkin ditolak kerana sudah menjadi adat dunia untuk melihat apa yang tersurat dahulu sebelum yang tersirat. Bayangkan jika kita ingin membeli sebotol air mineral di pasar raya, pastinya kita akan memilih air mineral di dalam botol yang dalam keadaan baik berbanding air mineral di dalam botol yang sudah kemik. Kenapa terjadi demikian sedangkan kita tahu isinya sama sahaja. Mengapa kita tidak memilih air mineral di dalam botol yang kemik? Saya pasti anda ada jawapannya. Begitu juga halnya dalam dakwah, perkara yang dibawa itu baik namun kita harus faham bahawa ‘container dakwah’ itu juga perlu dalam keadaan baik untuk memastikan dakwah itu lebih mudah diterima.

Buktikan keimananmu dalam skop kebersihan

Umumnya, ramai di antara kita yang mengetahui bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman dan ramai di antara kita ini mengaku beriman. Persoalannya sekarang ialah sejauh mana kita membuktikan keimanan kita itu dalam skop kebersihan ini? Tepuk dada tanyalah kepada iman.

Oleh kerana kebersihan itu daripada iman maka apa yang pasti ialah orang yang beriman mesti menjaga kebersihan tidak kiralah sama ada kebersihan diri, kebersihan tempat tinggal ataupun kebersihan persekitaran. Oleh itu, pastikan supaya penampilan diri kita sentiasa bersih dan kemas serta pastikan tempat tinggal kita sama ada rumah atau asrama sentiasa dalam keadaan teratur dan bersih. Setiap kali keluar ke tempat awam atau kawasan alam semula jadi maka jagalah kebersihan persekitaran kita, buanglah sampah dalam tong sampah yang disediakan. Inilah sikap kita yang sepatutnya sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah. Oleh itu, mari kita sama-sama bumikan tekad dalam diri untuk membuktikan keimanan kita ini kepada Allah dalam skop kebersihan ini. 


Tuesday 30 October 2012

Puisi Refleksi


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Oh diri, engkau tidak faqih,
Maka awasi kata-kata mu,
Sekelumit cuma ilmu mu itu,
Maka sampaikan sekadar ilmu mu,
Jauhi berlebih-lebihan dalam berkata-kata, 
Kerna yang kebanyakan dalam kata-kata itu ialah dusta,
Dan dusta itu dosa,
Maka diam itu lebih utama, 
Bagi perkara yang kau tidak punya ilmu tentangnya,  
Namun wajib bagi mu, 
Untuk menyampaikan apa yang punya ilmu pada dirimu,
Kerna yang tidak disampaikan itu ialah penyembunyian ilmu,
Ketahuilah sesungguhnya Allah telah mengurniakan mu ilmu,
Yang engkau akan ditanya tentangnya, 
Pada hari perhitungan amal mu.




Lelaki yang Baik Menutup Auratnya



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Hari ini kita sering mendengar dan membaca segala macam ajakan dakwah kepada wanita muslimah supaya menutup aurat mereka. Pelbagai slogan yang digunakan. Di tengah-tengah perjuangan memimpin wanita muslimah supaya berpakaian menutup aurat dengan sempurna, kita mungkin terlepas pandang yang kaum wanita mempunyai saudara yang juga mempunyai aurat yang perlu ditutup. Mereka juga perlu diperingatkan supaya menutup aurat. Siapa saudara kepada kaum wanita ini? Jawapannya tentulah kaum lelaki.

Aurat Lelaki dan Masyarakat Kini 

Dalam Islam, lelaki juga mempunyai aurat yang perlu ditutup. Umumnya, ramai yang telah maklum bahawa aurat lelaki dengan semua orang kecuali isteri ialah antara pusat dengan lutut (nota: tiada aurat antara suami dan isteri). Mungkin kerana aurat yang ‘simple’ ini, maka ramai lelaki muslim yang mengambil mudah sehingga terbabas kepada pembukaan aurat. Sebagai contoh, lelaki yang tidak berpakaian di bahagian atas sambil memakai seluar dibawah paras pusat.

Pembukaan aurat juga selalu berlaku di rumah orang bujang lelaki dan asrama lelaki. Segelintir lelaki sering memakai seluar pendek yang pastinya menampakkan aurat ketika berada di dalam rumah bersama-sama dengan rakan-rakan sebilik atau serumah. Senario ini sering kali dilihat sebagai perkara biasa yang tidak mendatangkan dosa. “Alah, biasalah kalau pakai macam ni. Sama-sama lelaki ja kot, bukan ada perempuan pun kat sini.” Inilah ungkapan yang biasa penulis dengar ketika menegur tentang pembukaan aurat yang berleluasa di dalam asrama lelaki. Perlu difahami bahawa aurat lelaki bukan hanya perlu ditutup dihadapan perempuan tetapi juga sesama lelaki.

Situasi dalam rumah kelamin pula, ayah atau adik-beradik lelaki yang memakai seluar pendek atau memakai seluar dibawah paras pusat dan tidak berpakaian di bahagian atas telah mendedahkan auratnya kepada ahli keluarga yang lain sama ada lelaki atau perempuan.

Selain itu, ahli keluarga yang lelaki sering memakai kain tuala yang tidak cukup panjang ketika sebelum dan selepas mandi sehingga menampakkan pusat ataupun lutut. Di sini penulis ingin mencadangkan kepada kaum lelaki supaya mengunakan kain tuala yang labuh sedikit supaya aurat anda dapat dipelihara. Ingat, aurat lelaki walaupun dengan ahli keluarga ialah antara pusat dengan lutut.

Pembukaan aurat ini tidak seharusnya diambil mudah dan dianggap perkara biasa. Pembukaan aurat ialah satu dosa. Adakah kita mahu pulang menyahut seruan Ilahi dalam keadaan kita memikul dosa-dosa kita yang banyak lantaran sikap ambil mudah kita terhadap perintah menutup aurat ini dan akhirnya dihukum dengan seksaan di akhirat? Jawapannya ada pada diri kita. Kita ini hamba Allah dan Allah telah menetapkan peraturanNya yang perlu kita patuhi. Pastinya Allah lebih mengetahui hikmah bagi setiap ketetapan peraturanNya. Ubahlah diri kita, tutup aurat kita.

Seluar Tiga Suku      

Hari ini ramai lelaki muslim yang memakai seluar pendek yang melepasi paras lutut. Tiada salahnya jika pemakainya dapat memastikan aurat mereka sentiasa tertutup dalam semua keadaan sama ada duduk, berjalan, bercangkung dan lain-lain. Hal yang dikhuatiri ialah jika pemakaian seluar tiga suku ini akan menyingkap aurat pemakainya ketika mereka duduk, berjalan, mencangkung, membongkok dan lain-lain. Penting untuk difahami bahawa aurat itu perlu kekal tertutup dalam semua keadaan sama ada berjalan, duduk, mencangkung dan lain-lain. Oleh itu, perkara yang perlu diambil berat oleh pemakai seluar tiga suku ialah memastikan adakah aurat mereka kekal tertutup ketika mereka duduk, berjalan, mencangkung, membongkok dan lain-lain. Jika aurat mereka tersingkap, maka carilah seluar tiga suku yang lebih panjang atau yang lebih baik pakailah seluar panjang yang ternyata dapat menutup aurat. Tinggalkan apa yang diragui, ambillah apa yang diyakini.

Sukan dan Aurat

Isu sukan dan aurat merupakan satu isu yang perlu dititikberatkan oleh seorang muslim dan muslimah. Hari ini sukan diperkenalkan oleh Barat sebagai aktiviti yang sinonim dengan pendedahan aurat. Sukan digambarkan oleh Barat sebagai aktiviti yang mustahil untuk dilaksanakan tanpa pendedahan aurat. Perkara yang lebih menyedihkan ialah bukan sahaja Barat tetapi sesetengah negara umat Islam sendiri bagai mengiyakan teori Barat ini. Pakaian-pakaian sukan yang diperkenalkan banyak yang tidak menutup aurat. Kononnya pakaian yang menutup aurat akan menghalang mobiliti atlet untuk aktiviti sukan.

Pembohongan Barat ini terbongkar apabila ada atlet-atlet daripada negara Islam yang memakai pakaian menutup aurat ini yang mampu bersaing dengan para atlet lain yang berpakaian ‘primitif’ dalam kejohanan sukan bertaraf dunia. Oleh itu, penulis mengharapkan para pembaca dapat istiqomah menutup aurat walaupun ketika bersukan. Kita orang-orang Islam, bersukan untuk menyihatkan badan agar kuat beribadah dan mampu berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi, maka sukan bagi kita ialah ibadah. Maka mana mungkin kita akan merosakkan ibadah kita ini dengan pendedahan aurat. Ayuh muslimin, kita tunjukkan kepada dunia bahawa Islam itu sesuai dipratikkan walaupun di padang bola dan trek balapan!

Lelaki Yang Baik Menutup Auratnya

Selalunya kita mendengar slogan seperti ‘Wanita Solehah Menutup Auratnya’, ‘Wanita Yang Baik Melindungi Auratnya’ dan lain-lain untuk menggalakkan muslimat untuk menutup auratnya. Akhir kata, penulis mahu mulakan slogan baru pula untuk muslimin iaitu ‘Lelaki Yang Baik Menutup Auratnya’. Tutuplah aurat kita wahai muslimin, aurat kita maruah kita, aurat kita tanggungjawab kita.

Friday 28 September 2012

HAMAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

HAMAS. Familiar dengan nama ini? Nama yang sangat sinonim dengan bumi Palestin.

Siapa HAMAS?

HAMAS ialah satu gerakan pertahanan Islam yang berjuang menjaga kebajikan rakyat Palestin, membebaskan bumi Palestin yang dijajah oleh Rejim Zionis dan mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa. HAMAS ialah akronim bahasa arab kepada Harakat al-Muqawamah al-Islamiah yang bermaksud Gerakan Pertahanan Islam (Bahasa Inggeris: The Islamic Resistance Movement). Mungkin bagi individu-individu yang tidak mengenali HAMAS secara jelas akan melabelkan gerakan ini sebagai gerakan yang ekstrem kerana gerakan bersenjata mereka untuk melawan Rejim Zionis dan ketegasan mereka yang tidak akan mengiktiraf negara Israel yang dibina di atas tanah Palestin. Memang benar HAMAS mempunyai sayap bersenjata yang diberi nama Briged Izzuddin al-Qassam, tetapi itu tidak membuktikan HAMAS sebagai pengganas. Kupasan tentang persoalan adakah HAMAS ganas & ekstrem  akan di ulas selepas ini.

Sejarah Penubuhan HAMAS

Logo Harakat al-Muqawamah al-Islamiah, HAMAS
HAMAS berasal daripada gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Gaza yang berjuang di medan senjata untuk menentang penjajahan Zionis di bumi Palestin. (Penting untuk diketahui bahawa selepas Perang 1948, peratusan wilayah yang besar di Palestin telah diberikan kepada Yahudi Pendatang untuk membina Negara Israel dan rakyat Palestin yang merupakan peribumi telah diusir daripada tanah air mereka sendiri. Peratusan wilayah yang berbaki iaitu Gaza dan Tebing Barat telah diletakkan masing-masing dibawah pemerintahan Mesir dan Jordan.) Semasa pemerintahan Presiden Jamal Abdul Naser di Mesir, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Gaza telah diberikan tekanan. Oleh hal demikian, Ikhwanul Muslimin di Gaza telah bergerak secara ‘underground’ untuk mengelakkan ancaman daripada Rejim Naser. Seterusnya, mereka menumpukan aktiviti mereka untuk merekrut ahli-ahli baru bagi pembinaan generasi baru yang lebih mantap untuk membebaskan Palestin. Mereka menumpukan usaha pembinaan masjid dan mengumpulkan pemuda-pemuda di masjid.  Hasil pembinaan generasi ini kemudiannya menampakkan hasil, fikrah Ikhwanul Muslimin dibawa masuk ke universiti-universiti. Akhirnya pada tahun 1987 HAMAS telah ditubuhkan serentak dengan seruan Intifadah pertama. HAMAS ditubuhkan pada 8 Disember 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi, Komander Syeikh Salah Syahadah, Abdul Fatah Dukhan, Muhammad Syama’, Dr. Ibrahim al-Yazur dan Isa an-Najjar. Mudahnya HAMAS ialah ‘evolusi’ kepada Ikhwanul Muslimin di Gaza yang memperjuangkan kebebasan Palestin, kebajikan rakyat Palestin dan kesucian Masjidil Aqsa.

Perjuangan di awal penubuhan

HAMAS sejak awal penubuhannya telah memilih cara bersenjata untuk menentang penjajahan Zionis Israel ke atas tanah Palestin. Mereka memilih jalan ini ketika PLO semakin lunak dengan Zionis Israel. Sayap persenjataan yang pertama ditubuhkan oleh HAMAS ialah Briged al-Mujahidun al-Falastiniyun sebelum membentuk Briged Izzuddin al-Qasssam yang lebih tersusun gerakan penentangannya. Komander Syeikh Salah Syahadah telah mengetuai pergerakan sayap ketenteraan HAMAS ini. Briged Izzudin al-Qassam banyak melakukan serangan balas keatas setiap tindakan biadap tentera Rejim Zionis Israel kepada rakyat Palestin. Strategi-strategi penentangan yang dirancang berkesan membantutkan usaha Zionis Israel untuk meluaskan lagi pencerobohan ke atas bumi Palestin. Rejim Zionis yang telah lama bersenang-lenang  selepas penentangan bersenjata mula dihentikan oleh negara-negara Arab sekeling telah dikelam-kabutkan semula dengan kehadiran Briged Izzuddin al-Qassam ini.   

HAMAS hari ini

HAMAS telah memenangi Pilihan Raya Majlis Legislatif Palestin pada 2006 dan diberi mandat untuk membentuk kerajaan Palestin. Bagaimanapun keputusan rakyat Palestin memilih HAMAS sebagai kerajaan melalui sistem demokrasi ini tidak dihormati oleh Amerika dan Kesatuan Eropah. Mereka bagai ingin menghukum rakyat Palestin yang memilih HAMAS sebagai kerajaan dengan memberikan sekatan ekonomi kepada kerajaan HAMAS. Padahal HAMAS telah dipilih oleh rakyat Palestin melalui sistem yang dilaung-laungkan oleh Barat dan Eropah sebagai sistem yang adil untuk memberikan hak bersuara kepada rakyat iaitu sistem demokrasi. 

Walaupun HAMAS telah menjadi kerajaan di Palestin, ini tidak bermakna HAMAS akan bersikap lunak dengan Zionis Israel dengan meninggalkan perjuangan bersenjata dan seterusnya mengiktiraf Israel. HAMAS kekal dengan prinsip perjuangannya untuk membebaskan bumi Palestin seluruhnya dan tidak sesekali mengiktiraf Israel. Hal ini ditegaskan oleh para pemimpin HAMAS seperti Ismail Haniyyeh (Perdana Menteri Palestin kini), Mahmoud Zahhar dan Ketua Biro Politik HAMAS, Khalid Mish’al.    

Adakah HAMAS pengganas?

Media Barat yang umumnya diketahui pro-Zionis pastinya mencanangkan HAMAS sebagai satu pertubuhan pengganas. Hakikatnya HAMAS bukanlah ekstrem dan ganas seperti yang dicanangkan. HAMAS yang berasal daripada Ikhwanul Muslimin mempunyai perjuangan yang yang berbentuk menyeluruh dan selari dengan tasawwur Islam yang lengkap dan meliputi seluruh bidang kehidupan. HAMAS tidak semata-mata terkongkong dalam medan pertempuran bersenjata tanpa meraikan tuntutan kehidupan umat yang sebenar. HAMAS ialah pergerakan yang komprehensif meliputi bidang politik, sosial, kerohanian, ekonomi, jasmani (sukan), intelek, ketenteraan dan lain-lain. HAMAS lebih dikenali sebagai pertubuhan kebajikan oleh rakyat Palestin berbanding pertubuhan pengganas yang dicanang Zionis dan pengikut-pengikut mereka. Hal ini kerana HAMAS disamping perjuangan bersenjata melawan Zionis mereka juga bergerak di lapangan politik, kebajikan dan lain-lain untuk rakyat Palestin.

Mungkin ada akan bertanya kenapa HAMAS tetap tidak mahu mengiktiraf Israel. Bagi menjawab pertanyaan itu mungkin analogi ini boleh membantu, sebuah rumah(tanah rakyat Palestin) dimasuki perompak(Zionis Israel) dan kemudian perompak itu mengisytiharkan kepada tuan rumah (rakyat Palestin) bahawa sebahagian besar kawasan rumah itu milik perompak itu dan hanya kawasan tertentu sahaja menjadi milik tuan rumah. Adakah wajar kita mengiktiraf ‘hak’ perompak itu ke atas rumah yang dirompak? Tentu sekali jawapannya TIDAK.

Mungkin ada pula yang bertanya kenapa HAMAS memilih penentangan bersenjata, tidak bolehkah melalui rundingan damai. Sebenarnya HAMAS sangat mengalu-alukan rundingan damai tetapi masalahnya semua rundingan damai yang ditaja oleh Barat bersifat berat sebelah dan menguntungkan Zionis Israel seperti Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993. HAMAS juga pernah mencadangkan satu tempoh gencatan senjata yang panjang (hudna) antara HAMAS dengan Zionis Israel tetapi ditolak oleh Zionis Israel kerana usul HAMAS itu memerlukan komitmen kedua-dua pihak dan semestinya Zionis Israel tidak bersedia untuk memberikan komitmen kerana itu memang sifat mereka. Selain itu, perlu dijelaskan disini bahawa penentangan bersenjata HAMAS mempunyai sasaran yang jelas iaitu memerangi Zionis Israel dan golongan yang menyokongnya.  HAMAS tidak memerangi orang-orang Yahudi dan tidak pula memusuhi agama Yahudi tetapi HAMAS memerangi orang yang merampas tanah Palestin, membunuh ramai rakyat Palestin, mengancam Masjidil Aqsa dan menyahudikan kota Baitul Maqdis iaitu Zionis Israel. HAMAS sangat teliti dalam menumpukan senjata mereka kepada musuh mereka yang sebenar iaitu Zionis Israel. Ini menjadi sebab HAMAS tidak meluaskan penentangan bersenjata ke luar Palestin. 

Tokoh-tokoh HAMAS

As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin
As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin – Syeikh Ahmad Yassin atau juga dikenali sebagai Syeikh Palestin ini merupakan murabbi yang menjadi pembina generasi mujahidin Palestin yang terdiri daripada para pemuda Palestin. Beliaulah yang sentiasa menjadi peniup semangat kepada pemuda-pemuda palestin untuk terus berjuang mempertahankan bumi Isra’ ini. Pejuang di atas kerusi roda ini sangat digeruni Zionis Israel sehingga mereka perlu menggunakan cara paling pengecut untuk membunuh syeikh yang lumpuh ini dengan melancarkankan peluru Hellfire yang daripada helikopter Apache untuk membunuhnya. As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin kembali ke rahmatullah pada 22 Mac 2004 dengan membawa hujah bersamanya untuk dibentangkan di Hari Pembalasan bahawa beliau telah berjuang semampunya untuk membela kesucian Masjidil Aqsa.

As-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi – Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi ialah salah seorang pengasas HAMAS. Beliau ialah genius yang telah membantu perjuangan HAMAS. Lulusan Sarjana Peditriasi (Perubatan Kanak-kanak) Universiti Iskandariah ini telah berjaya membina mimpi ngeri kepada Rejim Zionis. Kefasihannya dalam bahasa Inggeris telah menjadikan beliau sering kunjungi wartawan ketika berada dalam tempoh pengusiran di Selatan Lubnan, dengan itu beliau telah menjadi lidah kepada HAMAS untuk menjelaskan apa yang diperjuangkan HAMAS kepada dunia. Pada 17 April 2004, pembela al-Quds ini menyambut panggilan pulang Ilahi dengan hadiah syahid daripadaNya selepas beliau dibedil oleh roket daripada helikopter Apache milik Rejim Zionis.

Khalid Mish'al, Ketua Biro Politik HAMAS

Khalid Mish’al – Khalid Mish’al ialah Ketua Biro Politik HAMAS, sebelum ini beliau pernah tinggal di Jordan dan bertanggungjawab mengumpul dana untuk kebajikan rakyat Palestin. Wang yang disalurkan melalui dana ini digunakan untuk kebajikan rakyat Palestin seperti membina masjid, sekolah dan klinik dan aktiviti-aktiviti kebajikan.

Ismail Haniyyeh, Perdana Menteri Palestin
Ismail Haniyyeh – Ismail Haniyyeh ialah Perdana Menteri Palestin kini yang menerajui kerajaan Palestin di Gaza. Beliau dilantik sebagai ketua kempen-kempen HAMAS semasa pilihan raya dan diberi amanah untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan yang baru selepas HAMAS memenangi pilihan raya . Beliau mempunyai hubungan rapat dengan as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin.

HAMAS bukanlah pertubuhan yang bergantung kepada populariti pemimpinnya, buktinya HAMAS tidak goyah walaupun selepas pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi bahkan HAMAS tidak kering untuk melahirkan generasi pelapis penyambung perjuangan. Nama-nama yang disebut di atas cuma sebahagian daripada individu-individu yang berada dalam HAMAS. Hakikatnya masih ramai lagi nama-nama yang tidak disebut yang turut sama dalam jihad mempertahankan bumi al-Quds ini.

*

Di akhir post panjang saya tentang HAMAS ini, saya ingin mengajak pembaca berdoa untuk keselamatan umat Islam di Palestin, Syria, dan Rohingya serta doa untuk usaha pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Tidak lupa juga menyedekahkan al-Fatihah kepada para mujahidin pembebas al-Quds dan mujahidin di tempat lain di serata dunia yang telah kembali menyahut seruan Ilahi.

Al-Fatihah…
   

Friday 21 September 2012

Ada Aku Kesah?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Insan bernama A menceritakan kepada roommatenya tentang perkembangan isu Politik di Mesir, “Alhamdulillah, calon Islamis daripada parti FJP atau Ikhwanul Muslimin, Dr Muhammad Mursi dah menang pada pilihan raya Mesir mengalahkan calon fulul, Ahmed Syafiq.” Lalu roommatenya menjawab “Tak payah la kita sibuk-sibuk hal politik ni, fokus pada apa yang kita belajar sudah la.” Kata-kata bernada selamba itu terus meng’hempap’ semangat si A untuk terus bercerita tentang perkembangan Politik Mesir kepada roommatenya.
Dr Muhammad Mursi, Presiden Mesir yang baru.
*

B memulakan ‘sembang petang’nya bersama C dan D, “Cuba teka, ada berapa planet dalam sistem dalam sistem suria?” tanya B kepada C dan D. “Dia dah mula dah, mesti lah ada 9 planet.” jawab D sambil mempersenda B.  “Mana ada 9, sekarang ada 8 buah planet lah dalam sistem suria dan 5 planet kerdil.” jawab B dengan nada agak tinggi. C dan D kemudian terlopong.
Ceres, Makemake, Eris, Pluto & Haumea (tiada dalam gambar) planet-planet kerdil dalam Sistem Suria 
Planet-planet di Sistem Suria
*


Weh, malam ni ada diskusi umum tajuk Isu Umat Islam Rohingya dan Syria kat Lecture Hall A. Jom la kita pegi.” Si E mengajak roommate-roomatenya. “Tak minat la bro, baca update pasal isu tu kat FB sudah la.” jawab F manakala yang lain tiada respon, sedang kusyu’ buat assignment barangkali.
*


Mungkin ramai yang pernah mengalami ‘deja vu’ di atas, sama ada yang berada di posisi orang yang cakna atau di posisi ‘ada aku kisah’. Sebagai seorang individu muslim kita seharusnya cakna ataupun ambil tahu tentang hal-hal semasa. Bukanlah saya menyuruh kita buat research teliti untuk tahu semua hal yang berlaku di dunia ini, tetapi sekurang-kurangnya kita ambil peduli isu-isu yang sedang berlaku. Mungkin sahaja ada orang yang kurang minat terhadap isu-isu tertentu macam politik atau ekonomi, tetapi jangan jadikan kekurangan minat kita itu sebagai sebab untuk kita menghidap sindrom AKU TIDAK PEDULISME (terma yang digunakan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil), iaitu tidak ambil tahu langsung. Kalau kita sebagai pelajar atau mahasiswa, janganlah kita menjadi ‘pendrive’ yang hanya tahu import maklumat pelajaran kita ke dalam otak. Kalau sebagai pekerja, jangan pula kita menjadi ‘mesin’ yang tahu tentang hal kerjanya sahaja. Kita manusia, makhluk yang di kurniakan akal oleh Allah SWT maka gunakan akal kita sebaik-baiknya.

Disini ingin saya kongsikan perbualan saya bersama senior saya Bro Helmey tentang Cakna Isu Semasa. “Ana rasa ramai lagi sahabat-sahabat kita yang tak kisah dengan perkembangan semasa, depa anggap isu semasa tu tak penting pun untuk di ambik tahu.” kata saya kepada Bro Helmey. “Umm… memang kebanyakannya macam tu la, sebenarnya dalam Islam pun ada suruh kita ambil tahu hal semasa. Ana biasa dengar satu ceramah yang hurai pasal ayat dalam surah ar-Rum, ayat yang cerita pasal peperangan antara tentera Rom dengan tentera Parsi. Dalam huraian tu sebut hikmah daripada turunnya ayat ni, maknanya Allah nak kita ni ambik tahu apa yang sedang berlaku kat sekitar kita.” balas Bro Helmey. “Betul gak macam tu, kalau kita fikir balik isu pasal perang antara Rom dengan Parsi apa kaitan utamanya dengan dakwah nabi kat semenanjung Arab kan.” respon saya semula.  
*


Bangsa Romawi telah dikalahkan,
Di negeri yang terdekat dan mereka setelah kekalahannya itu akan menang,
Dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah –lah urusan sebelum dan setelah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman,
kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang Dia kehendaki. Dia Maha Perkasa, Maha Penyayang.
(ar-Rum: 2-5)
 
*


Caknalah kita, terutama terhadap isu-isu ummah seperti Isu Palestin dan rakyat-rakyatnya, Isu Umat Islam Rohingya dan Isu Umat Islam di Syria. Cintailah saudara seaqidah kita, hulur semampu yang kita boleh. Sesungguhnya Rasulullah bersabda, mafhumnya:

Daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a., pembantu Rasulullah s.a.w., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)   

Ayuh muslimin, tinggalkan sindrom AKU TIDAK PEDULISME.    



Saturday 15 September 2012

Wahai Da’ie=Blogger, Tajdid Niatmu Semula!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a. berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana (ingin) mendapatkan  keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan dinilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Post ini dimulakan dengan hadis tentang niat supaya menjadi tazkirah buat dirimu agar sentiasa membetulkan niatmu dalam berblog iaitu untuk menyebarkan dakwah kerana Allah. Boleh sahaja niat hatimu terpesong akibat ‘serangan’ dunia yang tidak pernah luntur, maka post ini untuk mengingatkan dirimu semula agar engkau sentiasa membetulkan niatmu iaitu untuk mencari redha-Nya. Ikhlas itu amat sukar, hanya Allah mampu menilainya.  Aku tahu mungkin ramai sahaja da’ie= blogger yang menjadi terkenal kerana tulisan blog mereka tapi janganlah kamu jadikan terkenal itu sebagai niatmu. Ikhlaslah wahai diriku, dunia ini hanya sementara dan akhirat jualah tempat kembali yang kekal. Allah berfirman dalam al-Quran; mafhumnya:

Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.

(al-Ankabut: 64)

Wahai diriku, ingatlah setiap amalan kita akan dihisab kelak maka persiapkanlah amalanmu. Wahai diriku, jadilah dirimu orang yang melaksanakan setiap nasihat dan kata-katamu. Ingatlah, Allah berfirman; mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 
(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. 
(as-Saff: 2-3)

Akhir, berjuanglah kamu pada jalan Allah dengan niat yang betul semoga engkau bertemu kejayaan.

~ Daripada aku dirimu, untukmu diriku ~

Muqaddimah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi Allah dan Tiada tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar. Syukur dipanjatkan kepadaMu ya Allah atas segala nikmat, limpah kurnia dan rahmatMu kepada hambaMu ini.  Selawat dan salam ke atas junjungan  besar Nabi Muhammad s.a.w. , sebagai tanda kasihku kepadanya, dialah Rasulullah yang tidak kenal erti putus asa dan penat lelah dalam dakwah baginda. Tidak lupa juga doa semoga dirahmati Allah kepada para da’ie yang ikhlas pada jalanNya daripada golongan para sahabat, tabi’in dan seterusnya sehinggalah para penyambung perjuangan rasul pada abad ke-21 ini.

Alhamdulillah atas rahmatNya dapat saya memulakan tapak pertama saya dalam dunia blog untuk menyebar luaskan lagi dakwah dengan fokusnya kepada menyebarkan idea pemikiran seorang muslim untuk dikongsikan dengan pembaca semua. Fikrul Muslim ialah nama yang telah saya pilih untuk blog ini selepas membelek beberapa perkataan dalam kamus bahasa Arab. Fikr ialah perkataan Arab yang bermaksud pemikiran dan al-Muslim pula bermaksud orang Islam, jadi Fikr al-Muslim atau Fikrul Muslim ini ialah blog yang saya cita-citakan untuk menyampaikan cetusan-cetusan minda berpaksikan Islam supaya pembaca-pembaca dapat menghayati semula cara kita berfikir pada hari ini yang mungkin telah dikeruhkan dengan acuan-acuan seperti sekularisme, materialisme atau idealime-idealisme lain yang direka-reka oleh musuh Islam untuk mengaburkan pemikiran asal umat Islam yang sepatutnya berasaskan Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Tulisan-tulisan dalam blog ini jauh sekali daripada kesempurnaan, hanya ditulis oleh seorang hamba yang juga sedang sentiasa membaiki diri tetapi inilah usaha yang termampu dibuat oleh diri ini untuk membantu perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi.  Firman Allah SWT; mafhumnya:

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. 
(at-Taubah: 41)

Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.
(az-Zariyat: 55)

Segala yang baik maka ambillah manakala yang buruk pula maka tinggalkanlah. Saya juga mengalu-alukan sebarang teguran atau kritikan membina sebagai tazkirah kepada saya dalam usaha kerdil saya ini.

Sekian sahaja muqadimmah daripada saya ini, selamat membaca kepada para pembaca dan semoga beroleh kebaikan daripadanya. InsyaAllah…..