Friday 7 February 2014

Hidup ini ialah tentang Pilihan

Jalan kehidupan yang panjang

“Amirul Ashraf.” Ckgu Fitri memanggil.

“Ya Cikgu.” Saya menyahut.

Malam itu saya dan beberapa orang sahabat bermalam di rumah Cikgu Fitri, guru Sejarah yang mengajar kami di tingkatan lima.

Esok ialah hari keputusan SPM akan diumumkan. Saya dan beberapa orang sahabat lagi datang sehari awal ke maktab untuk menziarahi semua guru-guru dan warden asrama.

“Kenapa kamu tolak tawaran fast track ke UTM Skudai tu?” Cikgu Fitri bertanya.

Dalam hati saya mula rasa tidak sedap. Akal mula memikirkan jawapan.

“Aduh… mahu dijawab apa ni?” Soalan menjengah di minda.

“Err… Sebenarnya saya dapat tawaran tu dah agak lewat cikgu. Tambahan pula, waktu itu saya sedang ada di Melaka. Rasanya memang tak sempat kalau nak siapkan segala dokumen penting yang diperlukan.” Mulut melantunkan jawapan rapuh itu.

Sekali dengar sahaja boleh tahu yang jawapan itu berisi alasan-alasan yang remeh.

Jika betul-betul bersungguh mahu ke situ, boleh sahaja pulang serta merta ke Pulau Pinang dan ikhtiarkan caranya untuk mempersiapkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan dalam masa singkat.

“Kenapa cikgu?” Giliran saya bertanya pula. Tujuan untuk elak respon cikgu terhadap alasan saya tadi.

“Tak ada apa-apa, cuma pelik sebab ramai orang lain berebut nak ikut program fast track tu tetapi kamu tolak.” Cikgu Fitri menjawab sambil tersenyum.

Hidup ini ialah tentang pilihan

Pertengahan tahun 2012, saya mendaftarkan diri ke Pusat Asasi UIAM sebagai pelajar asasi Farmasi.
Sebelumnya, ketika mengisi borang atas talian UPU, saya memang meletakkan Asasi Farmasi UIAM di pilihan pertama.  Saya optimis yang saya akan dapat tawaran ke UIAM kerana Allah mengurniakan saya keputusan yang kecemerlang dalam SPM. Dalam minda saya memang tidak memikirkan kemungkinan lain.  UIAM memang dibidik sebagai sasaran.

Apabila masuk ke Pusat Asasi UIAM saya bertemu pula dengan beberapa orang sahabat daripada MRSM lain. Masing-masing bagai tidak percaya apabila saya bercerita tentang penolakan saya terhadap program fast track yang saya terima ketika tempoh keputusan SPM belum keluar.

Pelik dan hairan.

Semua bertanyakan mengapa.

Mana tidaknya, jika mengikuti program fast track pembiayaan pendidikannya terjamin. Pasti satu hal yang merugikan jika tidak mengikutinya.

Maka saya jawab kepada mereka dengan jawapan yang ringkas dan bersimpul makna tersirat.

Hidup ini ialah tentang pilihan.

Simpang-siur kehidupan.

Dalam meniti jalan kehidupan ini apa banyak simpang-siurnya, kita sendiri yang perlu berijtihad memilih jalan mana yang ingin dilalui. Pandangan orang lain hanya sekadar rujukan untuk penilaian sahaja, bukan panduan yang wajib diikut. Kita sendiri yang perlu memilih.

Apabila pilihan sudah dibuat, maka berimanlah bersungguh-sungguh dengan qada’ dan qadar Allah. Jangan ada penyesalan terhadap pilihan itu, tiada lagi ‘kalau itu’ atau ‘kalau ini’ selepas pilihan dibuat. Jika melewati tempoh sukar kerana keputusan yang dipilih, maka tempuhilah dengan hati yang tabah.

Sejenak saya ingin mengajak kita menyelak kembali lembaran sirah Rasulullah S.A.W.

Ingatkah kita tentang Peperangan Uhud?

Tatkala itu, Nabi Muhammad S.A.W. berpandangan supaya kaum muslimin berperang secara bertahan di dalam kota tetapi sahabat berpandangan untuk berperang diluar kota. Setelah mesyuarat selesai, maka semua menyetujui keputusan mesyuarat untuk berperang di luar kota. Nabi Muhammad S.A.W. sendiri telah membatalkan cadangannya untuk berperang di dalam kota kerana menghormati keputusan mesyuarat.

Apabila menghampiri detik akan bergemerincing mata-mata pedang, maka timbul rasa menyesal para sahabat kerana mereka menyalahi cadangan Rasulullah S.A.W.

Mereka berkata kepada Rasulullah bahawa tidak mengapa untuk mengabaikan keputusan mesyuarat yang telah diputuskan sebelum ini dan mengambil saranan Rasulullah S.A.W. bagi berperang di dalam kota.

Lalu lihat apa jawapan Rasulullah S.A.W.

"Seorang Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuhNya."

Rasulullah tidak menyesali keputusan yang telah diputuskan dan tidak berpatah balik.

Demikian juga kita, seharusnya kita mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W.

Tegas dalam pilihan yang sudah dibuat.

Mencari Sesuatu

Mungkin yang membaca nukilan ini masih sahaja tertanya-tanya apa sebabnya yang sebenar sehingga saya membuat pilihan yang jika dilihat pada mata umum sebagai pilihan yang merugikan.

Mengapa saya memilih jalan untuk belajar di UIAM berbanding mengikuti program fast track yang terjamin pembiayaannya? Mengapa perlu menolak peluang keemasan?

Semuanya kerana saya mencari sesuatu.

Sesuatu yang saya rasa saya akan lebih mudah temukannya di UIAM. Bukan bermakna di tempat lain saya tidak boleh ditemukan perkara itu, boleh sahaja tetapi susah. Saya tidak mahu mengambil risiko kerana saya sangat rindu dan perlukannya. Saya perlukannya lebih daripada sebuah bantuan pembiayaan kewangan pelajaran.

Itulah… biah solehah.

Suasana yang nyaman untuk melakukan kebaikan dan berada dalam kebaikan.

Inilah rahmat Allah yang terbesar.

Hati saya aman berada di UIAM. Taman Ilmu dan Budi ini begitu mendamaikan. Nuansa Islaminya, itu yang saya tercari-cari. Saya rela kehilangan kesenangan dunia demi memiliki sebuah ketenangan hidup beragama. 

Saya rela cagarkan kesenangan dunia untuk memilikinya.

Wilayah Islam ini memang saya rindui.

Dan hari ini, saya tidak menyesali pilihan saya sedikit pun.


Alhamdulillah.