Friday 28 September 2012

HAMAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

HAMAS. Familiar dengan nama ini? Nama yang sangat sinonim dengan bumi Palestin.

Siapa HAMAS?

HAMAS ialah satu gerakan pertahanan Islam yang berjuang menjaga kebajikan rakyat Palestin, membebaskan bumi Palestin yang dijajah oleh Rejim Zionis dan mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa. HAMAS ialah akronim bahasa arab kepada Harakat al-Muqawamah al-Islamiah yang bermaksud Gerakan Pertahanan Islam (Bahasa Inggeris: The Islamic Resistance Movement). Mungkin bagi individu-individu yang tidak mengenali HAMAS secara jelas akan melabelkan gerakan ini sebagai gerakan yang ekstrem kerana gerakan bersenjata mereka untuk melawan Rejim Zionis dan ketegasan mereka yang tidak akan mengiktiraf negara Israel yang dibina di atas tanah Palestin. Memang benar HAMAS mempunyai sayap bersenjata yang diberi nama Briged Izzuddin al-Qassam, tetapi itu tidak membuktikan HAMAS sebagai pengganas. Kupasan tentang persoalan adakah HAMAS ganas & ekstrem  akan di ulas selepas ini.

Sejarah Penubuhan HAMAS

Logo Harakat al-Muqawamah al-Islamiah, HAMAS
HAMAS berasal daripada gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Gaza yang berjuang di medan senjata untuk menentang penjajahan Zionis di bumi Palestin. (Penting untuk diketahui bahawa selepas Perang 1948, peratusan wilayah yang besar di Palestin telah diberikan kepada Yahudi Pendatang untuk membina Negara Israel dan rakyat Palestin yang merupakan peribumi telah diusir daripada tanah air mereka sendiri. Peratusan wilayah yang berbaki iaitu Gaza dan Tebing Barat telah diletakkan masing-masing dibawah pemerintahan Mesir dan Jordan.) Semasa pemerintahan Presiden Jamal Abdul Naser di Mesir, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Gaza telah diberikan tekanan. Oleh hal demikian, Ikhwanul Muslimin di Gaza telah bergerak secara ‘underground’ untuk mengelakkan ancaman daripada Rejim Naser. Seterusnya, mereka menumpukan aktiviti mereka untuk merekrut ahli-ahli baru bagi pembinaan generasi baru yang lebih mantap untuk membebaskan Palestin. Mereka menumpukan usaha pembinaan masjid dan mengumpulkan pemuda-pemuda di masjid.  Hasil pembinaan generasi ini kemudiannya menampakkan hasil, fikrah Ikhwanul Muslimin dibawa masuk ke universiti-universiti. Akhirnya pada tahun 1987 HAMAS telah ditubuhkan serentak dengan seruan Intifadah pertama. HAMAS ditubuhkan pada 8 Disember 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi, Komander Syeikh Salah Syahadah, Abdul Fatah Dukhan, Muhammad Syama’, Dr. Ibrahim al-Yazur dan Isa an-Najjar. Mudahnya HAMAS ialah ‘evolusi’ kepada Ikhwanul Muslimin di Gaza yang memperjuangkan kebebasan Palestin, kebajikan rakyat Palestin dan kesucian Masjidil Aqsa.

Perjuangan di awal penubuhan

HAMAS sejak awal penubuhannya telah memilih cara bersenjata untuk menentang penjajahan Zionis Israel ke atas tanah Palestin. Mereka memilih jalan ini ketika PLO semakin lunak dengan Zionis Israel. Sayap persenjataan yang pertama ditubuhkan oleh HAMAS ialah Briged al-Mujahidun al-Falastiniyun sebelum membentuk Briged Izzuddin al-Qasssam yang lebih tersusun gerakan penentangannya. Komander Syeikh Salah Syahadah telah mengetuai pergerakan sayap ketenteraan HAMAS ini. Briged Izzudin al-Qassam banyak melakukan serangan balas keatas setiap tindakan biadap tentera Rejim Zionis Israel kepada rakyat Palestin. Strategi-strategi penentangan yang dirancang berkesan membantutkan usaha Zionis Israel untuk meluaskan lagi pencerobohan ke atas bumi Palestin. Rejim Zionis yang telah lama bersenang-lenang  selepas penentangan bersenjata mula dihentikan oleh negara-negara Arab sekeling telah dikelam-kabutkan semula dengan kehadiran Briged Izzuddin al-Qassam ini.   

HAMAS hari ini

HAMAS telah memenangi Pilihan Raya Majlis Legislatif Palestin pada 2006 dan diberi mandat untuk membentuk kerajaan Palestin. Bagaimanapun keputusan rakyat Palestin memilih HAMAS sebagai kerajaan melalui sistem demokrasi ini tidak dihormati oleh Amerika dan Kesatuan Eropah. Mereka bagai ingin menghukum rakyat Palestin yang memilih HAMAS sebagai kerajaan dengan memberikan sekatan ekonomi kepada kerajaan HAMAS. Padahal HAMAS telah dipilih oleh rakyat Palestin melalui sistem yang dilaung-laungkan oleh Barat dan Eropah sebagai sistem yang adil untuk memberikan hak bersuara kepada rakyat iaitu sistem demokrasi. 

Walaupun HAMAS telah menjadi kerajaan di Palestin, ini tidak bermakna HAMAS akan bersikap lunak dengan Zionis Israel dengan meninggalkan perjuangan bersenjata dan seterusnya mengiktiraf Israel. HAMAS kekal dengan prinsip perjuangannya untuk membebaskan bumi Palestin seluruhnya dan tidak sesekali mengiktiraf Israel. Hal ini ditegaskan oleh para pemimpin HAMAS seperti Ismail Haniyyeh (Perdana Menteri Palestin kini), Mahmoud Zahhar dan Ketua Biro Politik HAMAS, Khalid Mish’al.    

Adakah HAMAS pengganas?

Media Barat yang umumnya diketahui pro-Zionis pastinya mencanangkan HAMAS sebagai satu pertubuhan pengganas. Hakikatnya HAMAS bukanlah ekstrem dan ganas seperti yang dicanangkan. HAMAS yang berasal daripada Ikhwanul Muslimin mempunyai perjuangan yang yang berbentuk menyeluruh dan selari dengan tasawwur Islam yang lengkap dan meliputi seluruh bidang kehidupan. HAMAS tidak semata-mata terkongkong dalam medan pertempuran bersenjata tanpa meraikan tuntutan kehidupan umat yang sebenar. HAMAS ialah pergerakan yang komprehensif meliputi bidang politik, sosial, kerohanian, ekonomi, jasmani (sukan), intelek, ketenteraan dan lain-lain. HAMAS lebih dikenali sebagai pertubuhan kebajikan oleh rakyat Palestin berbanding pertubuhan pengganas yang dicanang Zionis dan pengikut-pengikut mereka. Hal ini kerana HAMAS disamping perjuangan bersenjata melawan Zionis mereka juga bergerak di lapangan politik, kebajikan dan lain-lain untuk rakyat Palestin.

Mungkin ada akan bertanya kenapa HAMAS tetap tidak mahu mengiktiraf Israel. Bagi menjawab pertanyaan itu mungkin analogi ini boleh membantu, sebuah rumah(tanah rakyat Palestin) dimasuki perompak(Zionis Israel) dan kemudian perompak itu mengisytiharkan kepada tuan rumah (rakyat Palestin) bahawa sebahagian besar kawasan rumah itu milik perompak itu dan hanya kawasan tertentu sahaja menjadi milik tuan rumah. Adakah wajar kita mengiktiraf ‘hak’ perompak itu ke atas rumah yang dirompak? Tentu sekali jawapannya TIDAK.

Mungkin ada pula yang bertanya kenapa HAMAS memilih penentangan bersenjata, tidak bolehkah melalui rundingan damai. Sebenarnya HAMAS sangat mengalu-alukan rundingan damai tetapi masalahnya semua rundingan damai yang ditaja oleh Barat bersifat berat sebelah dan menguntungkan Zionis Israel seperti Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993. HAMAS juga pernah mencadangkan satu tempoh gencatan senjata yang panjang (hudna) antara HAMAS dengan Zionis Israel tetapi ditolak oleh Zionis Israel kerana usul HAMAS itu memerlukan komitmen kedua-dua pihak dan semestinya Zionis Israel tidak bersedia untuk memberikan komitmen kerana itu memang sifat mereka. Selain itu, perlu dijelaskan disini bahawa penentangan bersenjata HAMAS mempunyai sasaran yang jelas iaitu memerangi Zionis Israel dan golongan yang menyokongnya.  HAMAS tidak memerangi orang-orang Yahudi dan tidak pula memusuhi agama Yahudi tetapi HAMAS memerangi orang yang merampas tanah Palestin, membunuh ramai rakyat Palestin, mengancam Masjidil Aqsa dan menyahudikan kota Baitul Maqdis iaitu Zionis Israel. HAMAS sangat teliti dalam menumpukan senjata mereka kepada musuh mereka yang sebenar iaitu Zionis Israel. Ini menjadi sebab HAMAS tidak meluaskan penentangan bersenjata ke luar Palestin. 

Tokoh-tokoh HAMAS

As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin
As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin – Syeikh Ahmad Yassin atau juga dikenali sebagai Syeikh Palestin ini merupakan murabbi yang menjadi pembina generasi mujahidin Palestin yang terdiri daripada para pemuda Palestin. Beliaulah yang sentiasa menjadi peniup semangat kepada pemuda-pemuda palestin untuk terus berjuang mempertahankan bumi Isra’ ini. Pejuang di atas kerusi roda ini sangat digeruni Zionis Israel sehingga mereka perlu menggunakan cara paling pengecut untuk membunuh syeikh yang lumpuh ini dengan melancarkankan peluru Hellfire yang daripada helikopter Apache untuk membunuhnya. As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin kembali ke rahmatullah pada 22 Mac 2004 dengan membawa hujah bersamanya untuk dibentangkan di Hari Pembalasan bahawa beliau telah berjuang semampunya untuk membela kesucian Masjidil Aqsa.

As-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi – Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi ialah salah seorang pengasas HAMAS. Beliau ialah genius yang telah membantu perjuangan HAMAS. Lulusan Sarjana Peditriasi (Perubatan Kanak-kanak) Universiti Iskandariah ini telah berjaya membina mimpi ngeri kepada Rejim Zionis. Kefasihannya dalam bahasa Inggeris telah menjadikan beliau sering kunjungi wartawan ketika berada dalam tempoh pengusiran di Selatan Lubnan, dengan itu beliau telah menjadi lidah kepada HAMAS untuk menjelaskan apa yang diperjuangkan HAMAS kepada dunia. Pada 17 April 2004, pembela al-Quds ini menyambut panggilan pulang Ilahi dengan hadiah syahid daripadaNya selepas beliau dibedil oleh roket daripada helikopter Apache milik Rejim Zionis.

Khalid Mish'al, Ketua Biro Politik HAMAS

Khalid Mish’al – Khalid Mish’al ialah Ketua Biro Politik HAMAS, sebelum ini beliau pernah tinggal di Jordan dan bertanggungjawab mengumpul dana untuk kebajikan rakyat Palestin. Wang yang disalurkan melalui dana ini digunakan untuk kebajikan rakyat Palestin seperti membina masjid, sekolah dan klinik dan aktiviti-aktiviti kebajikan.

Ismail Haniyyeh, Perdana Menteri Palestin
Ismail Haniyyeh – Ismail Haniyyeh ialah Perdana Menteri Palestin kini yang menerajui kerajaan Palestin di Gaza. Beliau dilantik sebagai ketua kempen-kempen HAMAS semasa pilihan raya dan diberi amanah untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan yang baru selepas HAMAS memenangi pilihan raya . Beliau mempunyai hubungan rapat dengan as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin.

HAMAS bukanlah pertubuhan yang bergantung kepada populariti pemimpinnya, buktinya HAMAS tidak goyah walaupun selepas pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi bahkan HAMAS tidak kering untuk melahirkan generasi pelapis penyambung perjuangan. Nama-nama yang disebut di atas cuma sebahagian daripada individu-individu yang berada dalam HAMAS. Hakikatnya masih ramai lagi nama-nama yang tidak disebut yang turut sama dalam jihad mempertahankan bumi al-Quds ini.

*

Di akhir post panjang saya tentang HAMAS ini, saya ingin mengajak pembaca berdoa untuk keselamatan umat Islam di Palestin, Syria, dan Rohingya serta doa untuk usaha pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Tidak lupa juga menyedekahkan al-Fatihah kepada para mujahidin pembebas al-Quds dan mujahidin di tempat lain di serata dunia yang telah kembali menyahut seruan Ilahi.

Al-Fatihah…
   

No comments:

Post a Comment