Friday 7 February 2014

Hidup ini ialah tentang Pilihan

Jalan kehidupan yang panjang

“Amirul Ashraf.” Ckgu Fitri memanggil.

“Ya Cikgu.” Saya menyahut.

Malam itu saya dan beberapa orang sahabat bermalam di rumah Cikgu Fitri, guru Sejarah yang mengajar kami di tingkatan lima.

Esok ialah hari keputusan SPM akan diumumkan. Saya dan beberapa orang sahabat lagi datang sehari awal ke maktab untuk menziarahi semua guru-guru dan warden asrama.

“Kenapa kamu tolak tawaran fast track ke UTM Skudai tu?” Cikgu Fitri bertanya.

Dalam hati saya mula rasa tidak sedap. Akal mula memikirkan jawapan.

“Aduh… mahu dijawab apa ni?” Soalan menjengah di minda.

“Err… Sebenarnya saya dapat tawaran tu dah agak lewat cikgu. Tambahan pula, waktu itu saya sedang ada di Melaka. Rasanya memang tak sempat kalau nak siapkan segala dokumen penting yang diperlukan.” Mulut melantunkan jawapan rapuh itu.

Sekali dengar sahaja boleh tahu yang jawapan itu berisi alasan-alasan yang remeh.

Jika betul-betul bersungguh mahu ke situ, boleh sahaja pulang serta merta ke Pulau Pinang dan ikhtiarkan caranya untuk mempersiapkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan dalam masa singkat.

“Kenapa cikgu?” Giliran saya bertanya pula. Tujuan untuk elak respon cikgu terhadap alasan saya tadi.

“Tak ada apa-apa, cuma pelik sebab ramai orang lain berebut nak ikut program fast track tu tetapi kamu tolak.” Cikgu Fitri menjawab sambil tersenyum.

Hidup ini ialah tentang pilihan

Pertengahan tahun 2012, saya mendaftarkan diri ke Pusat Asasi UIAM sebagai pelajar asasi Farmasi.
Sebelumnya, ketika mengisi borang atas talian UPU, saya memang meletakkan Asasi Farmasi UIAM di pilihan pertama.  Saya optimis yang saya akan dapat tawaran ke UIAM kerana Allah mengurniakan saya keputusan yang kecemerlang dalam SPM. Dalam minda saya memang tidak memikirkan kemungkinan lain.  UIAM memang dibidik sebagai sasaran.

Apabila masuk ke Pusat Asasi UIAM saya bertemu pula dengan beberapa orang sahabat daripada MRSM lain. Masing-masing bagai tidak percaya apabila saya bercerita tentang penolakan saya terhadap program fast track yang saya terima ketika tempoh keputusan SPM belum keluar.

Pelik dan hairan.

Semua bertanyakan mengapa.

Mana tidaknya, jika mengikuti program fast track pembiayaan pendidikannya terjamin. Pasti satu hal yang merugikan jika tidak mengikutinya.

Maka saya jawab kepada mereka dengan jawapan yang ringkas dan bersimpul makna tersirat.

Hidup ini ialah tentang pilihan.

Simpang-siur kehidupan.

Dalam meniti jalan kehidupan ini apa banyak simpang-siurnya, kita sendiri yang perlu berijtihad memilih jalan mana yang ingin dilalui. Pandangan orang lain hanya sekadar rujukan untuk penilaian sahaja, bukan panduan yang wajib diikut. Kita sendiri yang perlu memilih.

Apabila pilihan sudah dibuat, maka berimanlah bersungguh-sungguh dengan qada’ dan qadar Allah. Jangan ada penyesalan terhadap pilihan itu, tiada lagi ‘kalau itu’ atau ‘kalau ini’ selepas pilihan dibuat. Jika melewati tempoh sukar kerana keputusan yang dipilih, maka tempuhilah dengan hati yang tabah.

Sejenak saya ingin mengajak kita menyelak kembali lembaran sirah Rasulullah S.A.W.

Ingatkah kita tentang Peperangan Uhud?

Tatkala itu, Nabi Muhammad S.A.W. berpandangan supaya kaum muslimin berperang secara bertahan di dalam kota tetapi sahabat berpandangan untuk berperang diluar kota. Setelah mesyuarat selesai, maka semua menyetujui keputusan mesyuarat untuk berperang di luar kota. Nabi Muhammad S.A.W. sendiri telah membatalkan cadangannya untuk berperang di dalam kota kerana menghormati keputusan mesyuarat.

Apabila menghampiri detik akan bergemerincing mata-mata pedang, maka timbul rasa menyesal para sahabat kerana mereka menyalahi cadangan Rasulullah S.A.W.

Mereka berkata kepada Rasulullah bahawa tidak mengapa untuk mengabaikan keputusan mesyuarat yang telah diputuskan sebelum ini dan mengambil saranan Rasulullah S.A.W. bagi berperang di dalam kota.

Lalu lihat apa jawapan Rasulullah S.A.W.

"Seorang Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuhNya."

Rasulullah tidak menyesali keputusan yang telah diputuskan dan tidak berpatah balik.

Demikian juga kita, seharusnya kita mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W.

Tegas dalam pilihan yang sudah dibuat.

Mencari Sesuatu

Mungkin yang membaca nukilan ini masih sahaja tertanya-tanya apa sebabnya yang sebenar sehingga saya membuat pilihan yang jika dilihat pada mata umum sebagai pilihan yang merugikan.

Mengapa saya memilih jalan untuk belajar di UIAM berbanding mengikuti program fast track yang terjamin pembiayaannya? Mengapa perlu menolak peluang keemasan?

Semuanya kerana saya mencari sesuatu.

Sesuatu yang saya rasa saya akan lebih mudah temukannya di UIAM. Bukan bermakna di tempat lain saya tidak boleh ditemukan perkara itu, boleh sahaja tetapi susah. Saya tidak mahu mengambil risiko kerana saya sangat rindu dan perlukannya. Saya perlukannya lebih daripada sebuah bantuan pembiayaan kewangan pelajaran.

Itulah… biah solehah.

Suasana yang nyaman untuk melakukan kebaikan dan berada dalam kebaikan.

Inilah rahmat Allah yang terbesar.

Hati saya aman berada di UIAM. Taman Ilmu dan Budi ini begitu mendamaikan. Nuansa Islaminya, itu yang saya tercari-cari. Saya rela kehilangan kesenangan dunia demi memiliki sebuah ketenangan hidup beragama. 

Saya rela cagarkan kesenangan dunia untuk memilikinya.

Wilayah Islam ini memang saya rindui.

Dan hari ini, saya tidak menyesali pilihan saya sedikit pun.


Alhamdulillah.  

Tuesday 21 January 2014

Layakkah Aku untuk Solat?


Hari Sabtu yang lengang. Restoran Ayam Penyet itu agak tenang daripada kebiasaannya. Hari minggu mungkin. Di tambah pula dengan cuti sekolah, pasti banyak kenduri kahwin yang berlangsung.

Saya mengambil keputusan untuk bekerja di Restoran Ayam Penyet di Transkrian sepanjang bulan Disember untuk mengisi masa kosong cuti semester sambil mengumpul sedikit duit poket. Cuti semester bagi pelajar Pusat Asasi UIAM memang panjang jika tidak perlu mengambil subjek ketika semester pendek, lebih kurang tiga bulan cutinya.

Bertugas di dapur, kini saya memiliki dua orang kenalan baharu. Pertamanya ialah Muiz, seorang penuntut jurusan kejuruteraan awam di UiTM Permatang Pauh dan keduannya Akmirul yang juga penuntut jurusan yang sama tetapi belajar di Politeknik Tanjung Malim.

"Hari itu ada mamat warga Indonesia tumpang bermalam kat rumah aku. Pakai subang dan bertatu." Akmirul memecah kesunyian kami berdua yang khusyuk bersama gadjet masing-masing.

"Islamkah?" Saya bertanya dengan nada bersahaja.

"Islam. Siap solat subuh lagi." Akmirul menutup surat khabar yang dibacanya. Bersungguh bercerita.

"Sebelum balik; pulang dulu ya, assalamualaikum." Ajuknya pula  dengan dialek Indonesia.

Saya hanya senyum sahaja mendengar kisahnya. Muiz pula masih khusyuk dengan Candy Crush.

"Yang peliknya, dia solat subuh lagi. Bolehkah?" Akmirul kini menimbulkan persoalan. Matanya merenung saya.

Nada soalannya seperti bukan bukan bertanyakan tentang hukum fiqh kerana dia seperti sudah tahu hukum memakai tatu dan status tidak sah solat orang yang bertatu kerana tidak sempurna wudu'. Sebaliknya, nadanya bagai bertanya tentang kebolehan untuk orang yang bertatu itu bersolat. Tidak salahkah orang itu bersolat?

Minda saya berputar memikirkan jawapan paling berhikmah.

"Boleh." Saya menjawab sambil meletakkan gadjet yang sedang dipegang.

Wajahnya kini mengekpreksikan kekeliruan. Sudah dijangka.

"Hukum solat itu kan wajib bagi setiap orang Islam." Saya menyambung lagi.

"Tetapi, bukankah tak sah?" Dia kini meluahkan kekeliruannya.

"Tidak sah tetapi tidak bermakna kewajipan solat itu terangkat." Saya menyimpulkan konsep asas yang perlu difahaminya.

***

Begitulah yang selalu berlaku dalam masyarakat. Terkurung dalam persoalan sah dan tidak sah sehinggakan semua perkara dilihat melalui kaca mata 'sah-tidak sah'.

"Dia pakai subang dan bertatu itu memang sudah satu dosa tetapi dia tetap wajib solat. Kalau dia tinggal solat, dia akan dapat dosa meninggalkan solat pula." Seorang da'ie melantun bicara dakwahnya.

"Kalau dia solat pun, solat dia tidak sah kan? Kiranya macam tidak solat juga lah. " Si mad'u menzahirkan kefahamannya. Riak wajahnya benar-benar mencari kepastian.

Benar apa yang dikatakan. Namun bagi orang yang mengetahui kewajipan solat, pasti ada beza nilaian perbuatannya di sisi Allah. Pastinya berbeza antara perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja jika dibandingkan dengan perbuatan melakukan solat yang tidak sah dalam keadaan jahil. Sekurang-kurangnya orang itu cuba memenuhi kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas dirinya.

Lainlah jika dia memang sudah tahu tentang perkara yang menyebabkan solat tidak sah dan sengaja melakukan solat itu walaupun tidak sah. Itu baru haram.

Itupun jika kita bincang tentang tatu yang menyebabkan tidak sahnya wudu' yang menatijahkan tidak sah solat. Jika kita bincang tentang subang yang dipakai oleh lelaki, tiada apa yang menyebabkan wuduk dan solat tidak sah. Perkara yang relevan hanya keharaman memakai subang bagi lelaki dalam Islam.

Lelaki yang memakai subang itu fasiq tetapi solat tetap wajib ke atas dirinya dan dia berdosa jika tidak melakukannnya. Demikian juga seorang perempuan yang free hair, berpakaian ketat atau tidak menutup aurat dengan sempurna, dia tetap wajib solat.

Solat dan subang itu dua perkara yang berbeza. Jangan kerana subang, kita menghukum seseorang lelaki itu hilang 'kelayakan' untuk menunaikan solat.

Tidak berstatus 'tidak layak' bagi seorang pendosa untuk menunaikan solat.

Allah itu bukan sahaja Tuhan kepada orang-orang soleh tetapi juga Tuhan kepada para pelaku maksiat.

Justeru hati-hati dengan ungkapan kita.

Jangan sampai ada yang berkata, "Jika 'begini-begini', lebih baik tak payah solat."

Solat tetap wajib sekalipun kepada seorang perompak.

***
"Perkara ni macam bacaan surah al-Fatihah dalam solat." Saya merenung semula muka Akmirul.

"Surah al-Fatihah itu rukun solat. Tidak sah solat kalau tidak dibaca surah al-Fatihah atau bacaannya salah." Saya memperincikan kenyataan.

Muiz mengalih pandangannya kepada saya. Galaxy S2 miliknya diletakkan daripada pegangan.

Dia menumpu mendengar bicara saya.

"Bagaimanapun, kejahilan seseorang itu untuk membaca surah al-Fatihah tidak mengangkat kewajipannya untuk solat. Dia tetap wajib solat. Cumanya  orang jahil itu wajib pula untuk belajar membaca surah al-Fatihah dengan betul." Saya mengangkat jari telunjuk kiri dan kanan, mengayakan diri seperti seorang motivator. Bagai Amin Idris barangkali.

Seketika teringat pula saya dengan salah satu kaedah fiqh yang digunakan untuk menetapkan hukum.

MA LA YATIMMU WAJIB ILLA BIHI, FA HUWA WAJIB

Perkara apa yang jika tanpanya menyebabkan suatu perkara wajib tidak sempurna maka perkara itu menjadi wajib.

"Seperkara lagi. Siapa tahu dengan solat yang dia masih amalkan itu akan bawa dia kembali kepada Allah suatu hari nanti." Saya meneruskan bicara.

"Ayam Penyet dua." Pesanan disampaikan kepada kami di dapur.

Saya dan Muiz bingkas bangun untuk menyediakan pesanan.

"Pernah tengok filem Dalam Mihrab Cinta?" Saya sengaja bertanya untuk mengimbangi semula dominasi saya dalam penerangan tadi.

Tangan lekas mencedok nasi.

"Tak." Akmirul dan Muiz masing-masing menggeleng.

"Tengok filem tu. Dalam filem tu, watak utamanya seorang penyeluk saku tetapi istiqomah solat berjemaah di surau. Siap jadi imam lagi." Tangan mengambil dua potongan timun.

Akmirul yang masih duduk khusyuk mendengar.

"Akhirnya, penyeluk saku itu berubah jadi baik sebab malu dengan diri sendiri. Dia malu bila orang lain anggap dia orang soleh dan lantik dia jadi imam solat." Khitam saya.

Akmirul mengangguk. Dia masih duduk di kerusi. Berfikir mungkin.

"Eh Akmirul, jangan lupa buat pesanan minuman tu." Muiz mengingatkan.

"Oh, baik." Akmirul segera bangun dari kerusi dan bergegas menyiapkan pesanan minuman.

Terleka seketika tadi.

Mata saya memerhatikan dinding kosong.

"Umat ini perlukan lebih ramai da'ie, bukan qadi." Hati bermonolong.

Mata seketika mengerling semula Akmirul.

"Semoga sampai maksudnya." Saya berdoa dalam hati.


Monday 6 January 2014

Semudah memiliki zaujah bertudung labuhkah?


“Bagaimanalah agaknya baitul muslim akan aku bina nanti?” Soalan ‘hangat’ itu tiba-tiba menjengah hati.

“Adakah dengan sekadar ada zaujah bertudung labuh atau bertudung litup bidang 60 gaya butterfly sudah dikira punyai baitul muslim?” Persoalan menjawab soalan.

“Tak mungkin parameternya semudah itu.” Akal pula menyimpul hipotesisnya.

Mula Berfikir

Hati saya mula resah memikirkan hal tersebut apabila minda mula melukiskan gambaran kehidupan selepas nikah. Alangkah ruginya jika baitul muslim yang dibina oleh sepasang mujahid dan mujahidah itu tidak berbeza sedikitpun daripada rumah tangga yang dibina oleh orang-orang yang tidak mengikuti manhaj tarbiyah. 

Kesedaran tentang melakukan solat di awal waktu dan berjemaah tidak ditekankan dalam kehidupan rumah tangga. Amalan membaca al-Quran tidak dihidupkan. Hiburan melalui televisyen dan playstation di luar kawalan sehingga menatijahkan kelalaian. Mula-mula suami dan isteri, kemudian berjangkit pula kepada anak-anak.

Anak-anak yang lahir daripada pernikahan yang diawali dengan objektif pembaikan ummah dan keredhaan Allah ini akhirnya tersia-sia. Bahkan lebih buruk jika anak-anak tersebut gagal mendapat tarbiyah yang sebenarnya sehingga tersasar daripada jalan yang diikuti oleh kedua orang tuanya. Natijahnya, perkara ini akan menjadi back fire kepada institusi baitul muslim itu sendiri. Baitul muslim yang diletakkan harapan sebagai pembaik pulih masyarakat tidak dapat menjalankan tugasnya jika tidak menjadi baitul muslim yang sebenar.

Pengisian dalam baitul muslim itu sendiri sangat penting untuk membolehkannya menjadi agen pembaik pulih masyarakat. Baitul muslim bukan sekadar tempat rehat dan bermadu kasih bagi seorang mujahid dan mujahidah, bahkan baitul muslim itu sebahagian daripada perjuangan dua individu yang mengikat hati tersebut untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi.  

Membina baitul muslim tidak selesai dengan akad pernikahan sebaliknya akad pernikahan itu hanya peletakan batu asas bagi pembinaan sebuah bangunan yang  bernama baitul muslim. Justeru kedua-dua suami dan isteri perlu bersedia untuk membina baitul muslim tersebut.

Ubah Sikap

“Kalau kamu tak berubah hari ini dan kamu tidak sabar-sabar lagi hendak berumah tangga. Percayalah, perangai buruk kamu sebelum berkahwin itu akan terbawa-bawa hingga ke alam rumah tangga.” Ustaz Syaari berpesan dalam satu forumnya.

Pesanannya itu membuatkan saya berfikir sejenak.

Jika tiada apa-apa yang membuatkan kita terasa untuk mengubah sikap negatif kita sebelum berumah tangga, maka apakah yang membuatkan kita berfikir yang kita akan mengubah sikap negatif kita itu selepas berumah tangga.

Mahu mengharapkan isteri mengubah diri kita ketika sudah berumah tangga nanti?

Atau

Mengharapkan berlakunya suatu magic dalam rumah tangga kita?

Tiba-tiba sahaja boleh berubah menjadi lebih baik daripada diri kita sebelum bernikah macam yang selalu digambarkan dalam drama-drama televisyen.

Jika kita mengharapkan isteri akan mengubah diri kita selepas berumah tangga maka kita perlu sedar yang kebarangkalian untuk perkara itu berlaku sangatlah kecil.

“Kalau kita ini jenis yang lewat menunaikan solat, isteri kita pula jenis menunaikan solat di awal waktu. Akhir sekali dua-dua akan lewat menunaikan solat. Isteri kita akan terikut-ikut dengan cara kita. Percayalah.” Kata-kata Bro Sharif tergiang-ngiang di telinga saya.

Hari ini saya menyedari bahawa sesebuah baitul muslim yang dibina itu tidak terjamin akan wujud dalamnya biah solehah jika usaha ke arah membina suasana itu tidak dilakukan oleh pasangan suami dan isteri yang menerima tarbiyah tadi. Usratul solehah dan baitul muslim ialah dua perkara yang berbeza. Usratul solehah atau keluarga solehah itu perlu diusahakan.

Jika tidak baitul muslim hanya akan jadi baitul muslim. Sebuah rumah tangga oleh dibina oleh seorang lelaki dan seorang perempuan yang menerima tarbiyah Islamiyyah, tidak lebih dari itu. Anak-anak yang lahir pula belum tentu akan jadi soleh dan solehah kerana biah solehah dalam keluarga tidak ada. Bahkan masyarakat pula akan memandang dengan sinis jika baitul muslim itu gagal menampilkan sifat muslimnya. Akhirnya perkara ini akan menjatuhkan kewibawaan sesebuah baitul muslim dalam mengislah masyarakat.

Training Ground

“Keluarga ana bukan macam keluarga enta.” Seorang aktivis dakwah kampus berbicara kepada sahabatnya.

“Bukan macam keluarga ana? Apa maksud enta?” Sahabatnya menyoal kembali.

“Beruntung enta sebab lahir dalam baitul muslim. Ibu dan Ayah sudah tersedia ditarbiyah.” Sang pemula bicara mengungkap maksud lantunan katanya.

“Ish, jangan kata macam tu. Sebenarnya enta yang beruntung.” Sahabatnya menjawab.

“Beruntung?”

“Ya, enta beruntung kerana diberi peluang untuk mempraktikkan ilmu dakwah yang enta dapat dalam keluarga sendiri.”

Si pemula bicara itu senyap seketika.

Berfikir.

“Erm… Enta selalu bercakap pasal baitul muslim kan?” Si sahabat bertanya untuk memecah kesenyapan yang tiba-tiba.

“Aah. Ya, kenapa pula dengan hal itu?”

“Pada ana, keluarga enta itulah training ground untuk enta. Training ground untuk latih enta membumikan biah solehah dalam baitul muslim enta nanti.”  Riak wajahnya menunjukkan ekpresi nakal terutama sekali bila sampai pada frasa ‘baitul muslim enta nanti’.

Si pemula bicara ketawa kecil.

Kesimpulan

Training ground.

Itulah yang  mahu saya simpulkan. Mungkin ramai antara kita yang berasa kerugian kerana keluarga mereka bukan sebuah ’baitul muslim’. Kita terlupa yang sebenarnya itulah peluang bagi diri kita.

Pepatah cina ada menyebut,

“Pada setiap ancaman itu ada peluang.”

Mungkin selama ini kita terlalu ghairah bermimpikan betapa indah dan sempurnanya sebuah keluarga yang bernama baitul muslim sehingga terlupa hakikat yang baitul muslim itu perlu diisi dan dibina biah solehah dalamnya. Proses membina biah solehah itu pula memakan masa dan perlu kepada latihan dan persediaan.

Justeru, pandanglah semula keluarga kita.  Sedarilah bahawa keluarga kita yang sekarang inilah medan latihan untuk kita sebenarnya. Medan latihan membina biah solehah sebelum tiba hari kita melangkah ke alam rumah tangga yang mana pada saat itu akan terpundaklah amanah membina biah solehah dalam keluarga di atas bahu kita. 

Wednesday 18 December 2013

Dua Nasihat yang Terpisah


Suasana pagi sabtu yang cerah dan ceria itu tidak dapat menenangkan hati saya. Hati terasa bagi dirobek-robek. Usaha murni yang cuba dilakukan tidak difahami, lalu kritikan-kritikan dilontar melalui tulisan di cebisan-cebisan kertas. Salah saya juga, saya yang menyuruh mereka melakukan demikian. Hati yang halus ini mudah terasa dengan kritikan sekalipun diterjemahkan dengan bahasa yang halus.

Tugas menjadi Presiden Badan Wakil Pelajar sewaktu itu sangat mencabar. Saya menjadi jambatan penghubung antara dua pihak yang biasanya bertembung keinginan mereka, pelajar-pelajar dan pentadbiran maktab. Saya akui era kepimpinan saya tidak sebagus mana. Suasana masyarakat maktab yang ditinggalkan kepada saya untuk dipimpin bagaikan sedang mengalami era jahiliyah. Skip kelas persediaan atau prep, fly daripada asrama, isap dan edar rokok, tidak puasa di bulan Ramadhan, dating dan couple semuanya ditinggalkan sebagai legasi budaya masyarakat pelajar ketika itu untuk ditangani oleh saf kepimpinan pelajar dan guru-guru. Lebih buruk lagi apabila ada daripada kalangan kepimpinan pelajar sendiri yang turut menyuburkan budaya jahiliyah itu.

Pertengahan tahun 2010, saya menerima amanah yang diberikan. Berbekalkan tarbiyah yang diberikan oleh Ustaz Radzi lewat usrah yang saya hadiri bersamanya. Saya memulakan misi memerangi jahiliyah tersebut bersama beberapa orang sahabat yang juga berada dalam saf kepimpinan Badan Wakil Pelajar. Manakan tidak luka hati ini, sahabiah yang turut sama menerima tarbiyah turut mengkritik. Orang yang memahami apa aspirasi yang saya bawa turut mengkritik saya.

“Syariatik tetapi tak saintifik. ” Sebaris nota ringkas saya terima ketika melakukan refleksi tugas saya sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar.

Nota-nota refleksi yang lain tidak begitu menyentap hati saya tetapi nota ini berbeza kerana datangnya nota  ini daripada orang saya hormati dan maklumi tarbiyah yang diterimanya.

Dengan hati yang sedih saya mendengar penjelasan yang diberikan olehnya. Panjang lebar dia menerangkan, akhirnya saya akur. Benar apa yang dikatanya, saya agak terburu-buru ‘menegakkan syariat’ dalam era kepimpinan saya sehingga mengundang suatu impak buruk kembali kepada saya. Saya tidak strategis dalam mengatur dakwah melalui siyasah. Saya masih belum matang bermain politik. Mungkin nasib saya hampir serupa dengan Necmettin Erbakan. Cuma keluasan lapangannya dan saiz impaknya sahaja yang berbeza, skripnya sama.

Barangkali perkara ini berlaku kepada saya ketika itu kerana saya masih belum menelaah tentang sejarah era kepimpinan Parti Refah di Turki agaknya, masih belum kenal siapa Necmettin Erbakan dan siapa Recep Tayyip Erdogan ketika itu. Tak perlu dikesalkan, pengalaman itu guru yang terbaik. Ujiannya datang dahulu sebelum sesi belajarnya.

Pahit betul untuk menelan penjelasan yang diberikan oleh sahabiah saya itu. Namun demi kebaikan diri, saya telan jua. Ubat memang selalunya pahit.

Saya masih ingat khitam kepada penjelasannya.

“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita faham.”

Nasihatnya itu saya simpan sehingga hari ini sebagai pedoman dalam berdakwah.

Benar.

Tidak semua orang faham seperti yang kita faham, maka dakwah itu perlu kena pada caranya.
Dakwah tidak boleh bersifat revolusi. Unsur masa tidak dapat diketepikan dalam memahamkan manusia akan dakwah yang disampaikan, kerana itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

***
LRT meluncur laju di atas landasannya. Kami dalam perjalanan kembali ke Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya. Abang Hafizzuddin sedang khusyuk membaca. Dia sedang duduk di kerusi berhadapan dengan saya. Melihat dia hati saya teringatkan suatu peristiwa yang berlaku kepada saya pada cuti yang lepas.

Peristiwa bagaimana saya dikritik dengan hebat sekali apabila saya berbicara tentang politik di bumi Turki. Saya dikritik dengan sangat tajam ketika berbicara tentang model sebuah kerajaan yang sedang perlahan-perlahan mengembalikan nuansa Islami di negara bekas bumi Khilafah Uthmaniyah itu. Turki yang dicabut identiti Islamnya oleh Mustafa Kamal AtaTurk mula mengalami proses Islamisasi secara halus melalui kepimpinan Parti AK.

Saya dikritik dengan naif sekali. Orang itu berhujah dengan hujah yang dangkal. Turki negara sekular, Turki negara sekular. Itu sahaja yang saya boleh simpulkan daripada apa yang dikatakannya. Berdalilkan dengan dalil yang naif seperti perihal orang perempuan Turki bersolat dengan memakai skirt, dia menafikan apa yang saya katakan tentang Islamisme yang berlaku secara perlahan di Turki. Entah dimana dan bila fakta ‘solat pakai skirt’ itu ditemukannya pun saya tidak tahu. Semua fakta-fakta yang saya kemukakan langsung tidak mahu didengarinya. Akhirnya, apabila setiap hujah saya dinaqalkan kepada setiap buku tertentu dan diskusi tertentu yang saya baca dan hadiri. Dia mengeluarkan satu respon kesimpulan yang sangat tidak boleh diterima oleh saya. Dia mengatakan saya masih muda dan kurang membaca sedangkan hujahnya yang naif dari sudut rujukan.

Ingin sahaja saya bertanyakan dia, “Lantas buku apa yang kamu baca?”

Niat itu sebaliknya saya urungkan sahaja. Itu lebih baik rasanya. Teringat seketika kata-kata Imam Syaf’ie.

“Aku boleh menang berhujah dengan orang cerdik tetapi aku tidak boleh menang berhujah dengan orang jahil.”

Selepas saya masuk ke UIAM, minda saya semakin luas meneroka dunia lewat pembacaan. Subjek yang paling menarik perhatian saya ialah fenomena Arab Spring yang sedang berlaku ketika itu. Fenomena di mana kebangkitan rakyat Timur Tengah menggugah kuasa pemerintah tirani di negara masing-masing. Bicara tentang politik dunia Islam menjadi satu perbincangan yang sangat menarik ketika itu terutama apabila Mesir menerima Presiden baru iaitu Dr Muhammad Mursi daripada Parti Kebebasan dan Keadilan yang merupakan sayap politik gerakan Islam di Mesir, Ikhwanul Muslimin. Diskusi-diskusi dan sembang-sembang tentang dunia Islam sangat mengasyikkan saya.

Saya tersedar daripada lamunan. Seketika hati saya terdetik untuk bertanyakan soalan yang sekian lama bersarang di hati kepada Abang Hafizzuddin.

“Abg Bidin. Ana nak tanya sesuatu ni.” Saya memulakan bicara.

Dia mendongakkan kepala. Bukunya masih terbuka.

“Ya ada apa?”

“Erm… Apa pendapat abang bila ada seseorang yang apabila kita cuba sampaikan sesuatu perkara kepada dia, dia bersikap pesimis dan terus menolak penyampaian kita. Macam mana kita nak buat supaya dia faham? ” Soal saya panjang.

Dia mengukir senyum. Bukunya ditutup dengan selitan jari ibu untuk menanda muka surat bacaan.

“Enta kena fahamkan dia betul-betul.” Dia meletakkan buku ke ribaannya.

“Tetapi dia menolak, macam mana nak fahamkan dia apa yang kita faham?” Saya menujah pertanyaan balas.

“Kita tak perlu fahamkan dia apa yang kita faham, kita cuma perlu fahamkan dia apa yang dia perlu faham.” Hikmah itu keluar dari mulutnya.

“Betul juga tu.” Hati saya membenarkan hikmah yang Abang Hafizzuddin lontarkan.

Hikmahnya itu bagai sudah menjawab seluruh persoalan saya. Saya kira itu jawapan bijaksana yang telah menjawab pelbagai persoalan dalam dunia dakwah dan hal berkaitan hubungan antara da’ie dan mad’u. Cuma perlu fahamkan orang lain apa yang perlu difahaminya, tidak perlu carbon copy kefahaman kita ke minda mereka.

Dia telah menjawab semua persoalan yang bakal saya lontarkan. Apa perlu saya tanyakan lagi? Mungkin sekadar meminta dia menghurai sedikit hikmahnya tadi untuk lebih jelas walaupun hikmah itu sudah muhkamat sifatnya.

***
Saya duduk termenung di tangga surau. Menunggu masuknya waktu Isya’.

Dua nasihat yang terpisah.

Itu yang saya dapat simpulkan apabila terkenangkan dua kalam hikmah yang saya terima daripada dua individu yang saya kisahkan pada dua juzu’ coretan sebelum ini.

“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita faham.”

Dan

“Kita tak perlu fahamkan orang lain apa yang kita faham, kita cuma perlu fahamkannya dengan apa yang dia perlu faham.”

Saya kira tiada kalam yang mampu saya susunkan lagi untuk menerangkan dengan lebih mendalam hubung kait antara kedua-duanya, namun saya pasti setiap orang yang menatap coretan ini sudah mampu memahami apa yang dimaksudkan dengan hanya mengabung jalin dua hikmah ini. Hikmah bukanlah falsafah rumit yang hanya difahami oleh ahlinya tetapi yang namanya hikmah itu cukup dengan satu kalam mudah yang dapat menjelaskan hal-hal susah kepada semua manusia.

Sekadar berkongsi dua hikmah berharga yang saya temui sepanjang menjalani jalan dakwah ini.

Moga ada manfaatnya.

Dan buat dua insan yang menuturkan hikmah ini, saya doakan agar kalian tsabat pada jalan dakwah ini.

"Hikmah ialah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."

(Hadis)

Monday 9 December 2013

Bingkisan Jihad

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman itu jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga… ”

(at-Taubah: 111)

Saya menitiskan air mata apabila membaca ayat ini. Tidak tergambar perasaan yang dirasai ini dengan kata-kata.

INNALLAHA YASYTARO MINAL  MU’MININA ANFUSAHUM WA AMWALAHUM BI ANNA LAHUMUL JANNAH

Setiap kali terkenangkan ayat ini, maka saat itulah hati terasa begitu syahdu sekali.

Hati menangis terharu mendengar janji agung ini. Janji yang mengobarkan semangat jihad dalam diri setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya.

Allah menggunakan perkataan yasytaro yang bermakna membeli dalam janjiNya itu. Mengapa beli, sedangkan Allah ialah pemilik diri kita, pencipta kita, kita ini hambaNya tetapi mengapa Allah menggunakan perkataan ‘membeli’ sedang Dia berhak ke atas diri kita.

Membeli bermakna ada imbalan atas apa yang diserahkan.  

Apa yang diserahkan?

Diri dan harta benda.

Fikirkan semula, Dia berhak menyuruh kita berjuang tanpa sebarang imbalan untuk diberikan.

Apakah makna yang lebih mendalam dalam janji Allah ini?

Pastinya, Allah mengetahui  bahawa mengorbankan diri dan harta benda pada jalan Allah itu bukanlah suatu hal yang mudah. Peritnya terasa. Hanya orang-orang yang hidup untuk Allah sahaja yang mampu melakukannya.

Sesungguhnya Allah itu ar-Rahim, Maha Pengasih. Sebagai bukti kasihnya Dia kepada hamba-hambaNya yang sanggup berjerih payah berjuang pada jalanNya itu lalu dibayar kepada mereka dengan imbalan syurga.

Indahnya ayat ini. Bingkisan janji dari Kekasih Agung kepada setiap pejuangNya, kepada setiap Jundullah sebagai peniup semangat jihad untuk berjuang.

Pertama kali memahami maknanya, sudah terpahat di hati.

Indahnya janji Ilahi buat para penjulang kalimahNya.


~ Sempena ulang tahun seruan Intifada pertama dan penubuhan HAMAS pada 8 Disember 1987

AL-QUDS LANA, NAHNU QODIMUN

Sunday 1 December 2013

THOR; Taghut Purba yang dimodenkan

Thor dan Captain America
THOR; The Dark World yang ditayangkan pada 31 Oktober ini mendapat sambutan hangat para peminatnya. Mungkin yang tidak berminat sebelum ini pun turut terdorong untuk pergi menontonnya di panggung kerana promosi hangat filem tersebut di televisyen dan internet. Trailernya sahaja pun sudah cukup menarik apatah lagi kalau disertakan dengan soalan kuiz dan tayangan semula beberapa siri animasi adiwira Marvel Comics yang melibatkan Thor.

                Thor, anak Odin dan abang kepada Loki yang berasal daripada Asgard. Watak lelaki sasa berambut perang panjang dan bermantel merah ini kelihatan gagah dengan memegang tukul Mjolnir. Watak lakonan Chris Hemsworth ini asalnya ialah watak adiwira dalam Marvel Comics seperti Spiderman, Iron Man, Captain America dan Hulk.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sebenarnya Thor bukanlah watak adiwira rekaan seperti Iron Man dan Spiderman. Thor sebenarnya memang sudah lama wujud dalam sejarah panjang tamadun manusia, dia ialah dewa kilat dan guruh dalam kepercayaan orang-orang Norse ataupun Viking. Dewa Thor ialah anak kepada Dewa Odin yang merupakan Ketua Dewa atau Dewa Teragung dalam mitologi Norse seperti mana Dewa Zeus yang menjadi Ketua Dewa dalam mitologi Yunani. Dewa Odin yang disembah oleh orang-orang Norse digambarkan dalam bentuk berhala seorang lelaki yang menunggang kuda berkaki lapan.

Dewa Thor mempunyai adik iaitu Dewa Loki yang merupakan dewa kenakalan. Dalam filem Thor yang sebelum ini, watak Loki dan Odin telah pun ditampilkan. Loki juga muncul dalam filem The Avengers. Apa yang boleh dirumuskan, Thor dan Loki mengikut kepercayaan orang-orang Norse merupakan dewa yang menguasai hal-hal tertentu dalam alam ini.

Berbalik kepada filem THOR, filem ini dilihat seperti mempunyai propagandanya yang  tersirat melalui latar zaman jalan ceritanya. Latar zaman moden yang digunakan dalam filem tersebut seperti ingin melontarkan satu kecelaruan kepada minda penonton. Umum mengetahui bahawa agama pagan kuno Norse ini tidak lagi diamalkan pada zaman moden kita ini sekalipun oleh kelompok manusia yang sedang tinggal di wilayah asal usul kepercayaan itu – Eropah Utara. Pada zaman dimana kebanyakan manusia sudah meninggalkan agama-agama pagan dan amalan animisme, filem THOR ini seolah-olah ingin membangkitkan semula kepercayaan pagan Norse ini dalam bentuk yang lebih hidup.

Jika kita fikirkan semula, filem tersebut dilatarkan pada zaman moden kita sekarang ini dengan latar tempat yang penuh dengan kemajuan di Eropah  beserta dengan latar masyarakat yang menganut agama Kristian. Pada saat manusia tidak lagi menyembah dewa-dewi Norse ini, kewujudan Thor, Loki dan Odin dizahirkan. Hal ini memberikan satu mesej halus kepada minda kita secara tidak sedar iaitu menafikan kebenaran agama-agama yang sedang dianuti oleh manusia pada zaman moden termasuklah agama Islam yang sedang kita imani tika ini.

Hal yang sama juga berlaku dalam filem Percy Jackson and The Lightning Thief. Percy Jackson dikisahkan sebagai anak kepada dewa Poseidon iaitu dewa yang mengawal lautan dalam mitologi Yunani. Jalan ceritanya jelas memaparkan latar zaman moden di Amerika dengan memperlihatkan Hollywood menjadi pintu masuk ke underworld yang dikuasai dewa kematian Yunani, Hades dan Empire State Building yang mempunyai lif untuk naik ke Olympus, suatu yang dipercayai menjadi tempat persidangan dewa-dewi Yunani.

Secara tidak sedar, kita sebenarnya sudah diindoktrinkan dengan propaganda taghut ini. Tambahan pula, watak Thor dan Percy Jackson ini dijadikan protagonis dalam filem tersebut. Thor diangkat menjadi adiwira dalam komik, animasi dan filem live action. Jika hanya sebagai adiwira komik dan animasi mungkin Thor hanya akan diagung-agungkan oleh kanak-kanak, tetapi hari ini Thor sudah diangkat sebagai adiwira yang lebih hidup seperti Spiderman dan Iron Man yang bakal menjemput juga sanjungan oleh golongan dewasa. Bukanlah maksudnya tidak mengapa jika watak Thor ini hanya diagungkan oleh kanak-kanak bahkan perkara tersebut yang perlu diutamakan untuk dibendung cumanya sekadar menjentik sedikit minda kita supaya menyedari ditahap manakah serangan pemikiran sudah dilancarkan terhadap umat Islam.

Sedarkah kita, mengangkat Thor menjadi adiwira sebenarnya sama sahaja seperti kita mengangkat berhala-berhala arab jahiliyyah seperti Latta, Uzza dan Manat menjadi adiwira. Thor yang dikisahkan dalam filem tersebut tidak lain hanyalah seperti satu bentuk berhala moden yang lebih hidup sifatnya. Mari renung seketika firman Allah:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

(an-Nahl: 36)

Serangan yang melibatkan hal aqidah ini sangat perlu kita hadapi dengan bijak, teliti dan hati-hati. Kelicikan musuh Islam mengangkat taghut purba yang telah dilupakan seperti Thor untuk menjadi dipuja semula dengan ‘ritual moden’ perlu dihadapi dengan ilmu iaitu ilmu tentang aqidah Islamiyyah dan ditambah dengan budaya suka mengkaji agar kita tidak menjadi umat yang mudah dipermainkan kerana bertulang belakangkan sikap taqlid buta.


Saturday 23 November 2013

Kita di Zon Selesa

Kredit Foto: Aiman Hizami
Pagi itu sungguh dingin. Saya, Zikri, Fikri dan Hizami keluar bersarapan di sebuah gerai di Jenderam Hilir.

"Zikri, ana rasa betullah apa yang enta beritahu hari tu." Saya memulakan bicara sambil mengaul nasi lemak yang terhidang.

"Beritahu tentang apa?" Zikri menghirup sedikit teh tariknya.

"Hari itu ada ahli Leader Council MEDCY yang tegur ana tentang program-program yang MEDCY adakan. Dia kata program-program yang dirancang tidak terkesan kepada pelajar-pelajar UIA. Ana fikir betul juga apa yang dia katakan, sama macam yang enta beritahu ana di Musolla UKC dulu." Saya menyambung bicara.

"Itulah, kita yang hidup dalam UIA ni hidup dalam zon selesa." Respon Zikri.

"Zon selesa macam mana tu?" Fikri menyoal mencari kepastian sambil mengoyakkan roti canai.

"Ya, zon selesa. Enta tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita?" Zikri melontar persoalan ke meja perbincangan teh tarik kami.

Saya sekadar mendengar soalan yang dilontarkan Zikri. Berfikir sejenak tentang kata-katanya.

"Kita hidup dalam persekitaran yang baik. Kita berlatih menjadi da'ie tetapi kita sekadar berada dalam UIA yang terjaga biah solehahnya. Kita tidak turun ke medan sebenar, medan masyarakat." Zikri menyambung.

Zikri menceritakan pengalamannya mengikuti seorang sahabatnya keluar lepak bersama dengan remaja kurang tarbiyah. Malah turut mengikuti mereka berkunjung ke 'tempat-tempat gelap' di Kuala Lumpur pada malam minggu.

"Baru kedai makan tepi-tepi jalan, itu pun kiri dan kanan orang teguk arak. Muka melayu. Kalau nightclub ana tak tahu la, tak berani nak masuk." Air teh tarik saya tinggal separuh.

Khusyuk saya mendengar kisah Zikri dan sahabatnya yang menerobos keluar daripada zon selesa UIA. Berkelana ke wilayah asing yang tidak kenal pun erti biah solehah.
Wilayah yang sangat asing bagi saya, tetapi wilayah itulah wilayah mega yang mewarnai wajah sebenar Malaysia.

Bila difikirkan, tidak wajar dinamakan wilayah asing kerana hakikatnya kami di UIA yang terasing. Syok sendiri dengan biah solehah dalam wilayah sekangkang kera.

"Enta tak rasa apa-apa pergi tempat itu?" Fikri menyoal.

"Mesti la rasa syeikh, tak kan la tak rasa apa-apa. Meremang juga bulu roma ana ni." Balas Zikri.

"Ada sekali tu, diajaknya ana dan sahabat ana ni masuk nightclub. Kami tak masuk la, cuma tunggu di kedai mamak." Zikri meneruskan ceriteranya.

Tertawa juga saya apabila mendengar Zikri menceritakan bagaimana dia dan sahabatnya itu solat isya' di kaki lima kedai mamak tersebut.

"Semua orang pelik tengok kami." Zikri tersenyum.

Banyak lagi yang dikisahkan Zikri kepada kami bertiga namun saya kira tidak perlu dinukilkan semuanya disini. Cukuplah sekadar apa yang sudah tertulis di atas. Matlamat saya bukan untuk meriwayatkan seluruh kembara malam minggu yang dilalui Zikri tetapi sekadar coretan buat kita merefleksikan semula kewajipan amar ma'ruf nahi mungkar kita. Sesaat saya teringatkan pesanan murabbi saya ketika saya baru mula belajar di UIA, ketika baru pertama kali tinggal di Kuala Lumpur.

"Rasa macam tak mahu keluarlah ustaz. Banyak yang pelik-pelik." Saya mengadu kepada Ustaz Radzi.

"Jangan macam tu. Keluar. Lihat realiti Malaysia." Ustaz Radzi berpesan sebaliknya.

Ustaz Radzi menyuruh saya melihat dunia agar saya sedar bahawa masih banyak lagi kerja Islam berupa dakwah dan tarbiyah yang perlu dilaksanakan. Usah terlalu selesa dan seronok dengan suasana Islamik di dalam UIA.

"Kita sepatutnya bergaul dengan golongan macam mereka ini. Kita bergaul bukan untuk dipengaruhi tetapi untuk mempengaruhi." Zikri menyimpulkan kisahnya.

"Entah lah Zikri, ana rasa memang perlu ada orang yang bergaul dengan mereka tetapi bukan semua da'ie boleh 'masuk' dalam dunia mereka. Macam enta yang diberi kekuatan untuk 'masuk' dalam dunia mereka, boleh teruskan usaha enta. Jadi perisik dakwah atau masterfront dakwah. Ada orang yang memang tidak boleh 'masuk' dunia mereka. Macam ana. Orang macam ana ini rasanya lebih sesuai untuk berada di sebalik tabir amal Islami ini." Saya memberi respon atas kesimpulan yang dibuat oleh Zikri.

Zikri senyum sahaja sambil menghabiskan teh tarik yang berbaki di dalam gelas.