Wednesday 16 January 2013

Kisah Luka Duka Syria (Bahagian 1)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Syria, sebuah negara yang bersempadan dengan Palestin, Lubnan, Jordan, Turki dan Iraq serta mempunyai pesisiran laut yang menghadap ke arah Laut Mediterranean. Syria merupakan sebahagian kawasan daripada negeri Syam yang sering kita dengar dalam sirah Rasulullah s.a.w.   

Sejarah moden mencatatkan Syria dahulunya diperintah oleh Khilafah Islam Uthmaniyyah sebelum dijajah oleh Perancis pada tahun 1920. Syria kemudiannya dimerdekakan pada tahun 1946. Sejak merdeka, suasana politik Syria sentiasa bergolak dengan beberapa siri rampasan kuasa sehingga rampasan kuasa yang terakhir pada 1970 oleh Hafez al-Assad. Selepas Hafez al-Assad merampas kuasa, beliau telah mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden dan mengukuhkan kedudukannya dengan melantik ahli keluarganya terdekat untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan menyingkirkan sekutu-sekutunya yang lain untuk mengelak rampasan kuasa ke atas dirinya. Rakyat Syria tidak bebas berpolitik kerana kerajaan Syria terus-terusan mengamalkan Undang-undang Darurat. (Undang-undang Darurat ini bagaimanapun telah dimansuhkan pada April 2011 sebagai taktik Presiden Basyar al-Assad untuk kekal berkuasa – akan diulas lebih lanjut dibawah)

Syria mempunyai jumlah penduduk sekitar 19.3 juta orang yang mana 74% daripadanya ialah muslim Sunni (Ahlul Sunnah wal Jamaah), 11% Syiah Nusairiyah (juga dikenali sebagai Alawiyyun), 9% Kristian dan selebihnya lain-lain. Menurut catatan sejarah, Syria pernah bergabung dengan Republik Arab Mesir membentuk Republik Arab Bersatu pada 1958 sebelum menarik diri daripada gabungan itu pada 1961.

Revolusi Syria: Punca

Menurut Syeikh Khaled Hasan Hendawi yang merupakan Pembantu Khas Presiden Ketua Ulama’ Sedunia, kebangkitan rakyat Syria baru-baru ini bermula dengan peristiwa penangkapan dan penyeksaan sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di daerah Hauran, wilayah Dar’a. Kumpulan kanak-kanak ini telah ditangkap oleh pihak polis tempatan kerana menconteng dinding sekolah mereka dengan slogan “Rakyat mahu sistem dijatuhkan”. Slogan yang diconteng itu merupakan slogan kebangkitan rakyat yang dilaung-laungkan oleh rakyat Tunisia dan Mesir ketika mereka dalam usaha menjatuhkan pemerintah tirani di negara masing-masing. Ternyata slogan ini menakutan kerajaan Syria pimpinan Basyar al-Assad yang sedang cuba menahan gelombang Arab Spring daripada melanggar Syria pada ketika itu.

Penyeksaan kejam telah dikenakan oleh pihak polis tempatan ke atas kanak-kanak yang ditangkap itu dengan cara mencabut kuku tangan dan kaki mereka. Ibu bapa kepada kanak-kanak yang ditangkap itu segera pergi ke balai polis untuk menuntut semula anak-anak mereka selepas mendapat berita penangkapan tersebut namun tidak dilayan oleh pihak polis. Pihak polis menyuruh para ibu bapa kanak-kanak yang ditangkap itu pulang ke rumah dan anggap sahaja anak-anak mereka sudah tiada atau jika mereka tidak dapat menerima hakikat itu, maka serahkan isteri-isteri mereka kepada pihak polis dan hasilnya itu nanti ialah anak-anak mereka yang baru. Sungguh biadap sekali kata-kata mereka.

Revolusi Syria
Keesokan harinya menyaksikan ahli keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dan jiran-jiran yang prihatin turun ke jalanan untuk mengadakan bantahan terhadap tindakan polis wilayah Dar’a itu. Mereka melaungkan slogan untuk menjatuhkan Ketua Polis wilayah Dar’a, Atif Najib. Atif Najib yang juga merupakan kenalan Presiden Basyar al-Assad telah mengarah serangan helikopter polis ke atas rakyat yang menuntut keadilan secara aman. Serangan itu telah mengakibatkan lebih 14 orang cedera dan puluhan yang lain cedera. Peristiwa ini dicatatkan berlaku pada 15 Mac 2011. Demonstrasi membantah kekejaman rejim pemerintah ini akhirnya dengan pantas meredak ke wilayah lain. Pada 18 Mac 2011, rakyat Syria yang tidak berpuas hati telah turun mengadakan demonstrasi besar-besaran membantah kezaliman rejim pada hari yang dinamakan “Hari Kemarahan Syria”. Slogan untuk menjatuhkan Atif Najib yang dilaungkan pada awalnya telah bertukar kepada kepada slogan untuk menjatuhkan Basyar al-Assad.

Siapa Basyar al-Assad?

Presiden Basyar al-Assad
Basyar al-Assad merupakan anak kepada kepada Presiden Syria sebelumnya Hafez al-Assad. Basyar mewarisi takhta Presiden Syria daripada Hafez al-Assad pada tahun 2000 selepas bapanya itu meninggal dunia akibat leukemia. Perlembagaan Syria mensyaratkan usia bagi membolehkan seseorang itu menjawat jawatan Presiden ialah 40 tahun tetapi Basyar al-Assad ketika ingin dilantik menjadi Presiden baru berumur 34 tahun. Keadaan ini memaksa Majlis Perlembagaan Rakyat Syria meminda syarat usia tersebut dengan menurunkan umur kelayakan menjawat jawatan Presiden Syria daripada 40 tahun kepada 34 tahun iaitu umur Basyar al-Assad ketika itu.

Basyar al-Assad berakidah Syiah Nusairiyah iaitu salah satu pecahan daripada fahaman Syiah. Fahaman Syiah Nusairiyah ini ialah salah satu fahaman Syiah yang menggangap Saidina Ali bin Abi Talib sebagai Ilah (Tuhan yang berhak disembah). Kelompok Syiah ini selain dikenali dengan nama Nusairiyah, mereka juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Alawiyyun dan Numairiyah.

Tindak balas melampau rejim kerajaan

Selepas beberapa hari protes mendesak pengunduran Basyar al-Assad daripada tampuk kuasa, Basyar al-Assad telah muncul di televisyen bagi menyampaikan ucapannya yang berisi janji-janjinya kepada rakyat Syria seperti melakukan perubahan terhadap politik Syria dan menghapuskan Undang-undang Darurat. Semua janji Basyar ini dibuat untuk meredakan protes rakyat terhadapnya dan memastikan beliau kekal berkuasa. Namun taktik untuk meredakan kemarahan rakyat ini tidak berhasil, rakyat Syria bertegas supaya beliau berundur daripada tampuk kuasa. Janji-janji Basyar al-Assad itu sebenarnya ialah taktik yang sama yang telah digunakan oleh mantan Presiden Mesir, Hosni Mubarak untuk meredakan kemarahan rakyat.

Melihat cara lembut ini tidak berhasil menamatkan protes rakyat. Basyar al-Assad mula melancarkan serangan ketenteraan terhadap rakyatnya sendiri. Beliau menggunakan kuasa tentera dibawah pimpinan saudara kandungnya, Maher al-Assad selaku pemimpin tentera Syria. Selain itu, Basyar juga menggunakan polis dan samseng upahan (dikenali sebagai syabih yang bermaksud hantu) untuk membantai rakyatnya. 

Pada April 2011, rakyat Syria tetap meneruskan protes walaupun Basyar telah membuat beberapa perubahan seperti permansuhan Undang-undang Darurat dan pembebasan tahanan politik. Rakyat menuntut Basyar berundur dan bukan melakuan apa-apa perubahan lagi dalam pemerintahannya kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan pemerintahan kuku besi beliau dan bapa beliau sebelum ini.

Sehingga 6 Februari 2012, sejumlah 7904 orang telah terkorban hasil pertembungan rejim pemerintah Syria ini dengan rakyatnya dan kebanyakan daripada korban ialah dari wilayah Homs dan Idlib. Angka korban meningkat kepada 10135 orang pada 5 Mac 2012 yang mana menyaksikan peningkatan jumlah angka korban sebanyak 2231 orang hanya dalam masa hampir sebulan.

Kegilaan rejim Basyar al-Assad membantai rakyat Syria ini berterusan hingga ke hari ini. Mereka bukan sahaja membunuh bahkan mereka juga menyeksa rakyat-rakyat Syria yang ditahan, merogol wanita-wanita dan membedil masjid-masjid. Kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada diseksa dan dibunuh. Tindakan yang paling melampau ialah mereka memaksa golongan muslim Sunni yang ditahan untuk berlaku syirik kepada Allah dengan mengucapkan “la ilaha illa Basyar” (Tiada Tuhan selain Basyar) dan sujud sembah kepada Basyar al-Assad atau terus-menerus diseksa sehingga mati.

Golongan penyokong Basyar al-Assad ini benar-benar zalim, mereka mengagung-agungkan Basyar sehingga sujud menyembahnya dan mengakui Basyar sebagai tuhan. Kezaliman apakah yang lebih besar daripada syirik kepada Allah?

(Bersambung…)

Tuesday 1 January 2013

Ada Apa dengan Palestina? (Bahagian 3)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(al-Isra’: 1)

9 Disember 2012

Nama Program: Save Syria Free Gaza
Tempat: Stadium Melawati Shah Alam

Selepas selesai ucapan oleh Abu Ayesh, majlis diteruskan lagi dengan pidato daripada ulama Syria, Syeikh Samir Saqqa. Syeikh Samir Saqqa menyampaikan pidatonya dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi Karim.

(catatan pidato Syeikh Samir Saqqa akan dimuatkan dalam artikel tentang Syria)

Seterusnya ialah pidato daripada Ustaz Riduan Mohamad Nor, seorang pendakwah bebas, penulis dan aktivis kemanusiaan. Beliau baru sahaja pulang daripada bumi Gaza selepas menyertai misi kemanusian di sana baru-baru ini bersama Muslim Care.

Pidato Ustaz Riduan Mohamad Nor

Bagi sesiapa yang biasa mendengar khutbah atau kuliahnya tentu sahaja tahu, fakta-fakta sejarah memang tidak pernah lekang daripada lantunan bicaranya. Fakta-fakta sejarah akan selalu menjadi hujah atau isi atau contoh dalam ucapannya.

Berikut ialah isi-isi kandungan lantunan bicaranya dengan sedikit adunan fakta-fakta yang saya ambil daripada beberapa buah buku tentang isu Palestin.

Sejarah panjang bumi Palestin yang bermula daripada golongan Yahudi yang berwawasan membina negara mereka di atas tanah yang dijanjikan. Mereka telah melaksanakan persidangan pertama mereka di Switzerland pada Ogos 1897 dan telah menubuhkan gerakan penubuhan negara bangsa bagi kaum Yahudi, iaitu Pergerakan Zionis. Matlamat mereka ialah untuk menubuhkan negara tersebut di atas tanah Palestin yang dianggap mereka sebagai tanah yang dijanjikan. Theodor Herzl dilantik sebagai pemimpin pertamanya.

Selepas itu mereka memulakan kutipan tabung yang bertujuan untuk ‘membeli’ tanah Palestin daripada Khilafah Islam Uthmaniyyah. Bagaimanapun mereka gagal membelinya lantaran sikap tegas Sultan Abdul Hamid II selaku khalifah umat Islam. Pada 1917, Deklarasi Balfour dikeluarkan oleh British untuk menyokong usaha Pergerakan Zionis membentuk negara Israel di atas tanah Palestin. Pihak British kemudiannya telah menjajah bumi Palestin selepas Perang Dunia Pertama.

Deklarasi Balfour yang berupa sepucuk surat daripada Setiausaha Luar British, Arthur  James Balfour kepada Pemimpin Yahudi British, Walter Rothchild 
Bencana besar bermula apabila Khilafah Islam Uthmaniyyah runtuh pada 3hb Mac 1924, kerana telah runtuhlah sebuah institusi kekuatan ummah yang mampu membela nasib bumi Palestin. Semasa tempoh penjajahan British maka pintu masuk kepada imigran Yahudi dibuka seluas-luasnya dan golongan imigran Yahudi ini diberikan pelbagai hak di bumi Palestin. November 1947, menyaksikan ke’munafiq’an PBB melalui Resolusi 181 yang mengiktiraf ‘hak’ orang-orang Yahudi untuk membina negara di atas tanah Palestin. Tanah Palestin dibahagikan kepada dua negara milik dua bangsa iaitu Yahudi dan Arab. Malapetaka 1948 (Nakbah 1948) berlaku dengan pengisytiharan penubuhan Negara Haram Israel pada 14 Mei 1948 oleh Perdana Menteri Israel yang pertama, David Ben-Gurion.


Perjuangan pembebasan tanah Palestin daripada cengkaman kuasa Zionis pada mulanya memuncak dek semangat kebangsaan Arab yang dilaung-laungkan oleh pemimpin dunia Arab. Perang dilancarkan oleh pakatan Arab pada 1967 yang dikenali sebagai Perang Enam Hari. Namun kekalahan pakatan Arab pada Perang Enam Hari itu menyaksikan Rejim Zionis semakin melebarkan sayapnya wilayah jajahannya dengan penawanan Semenanjung Gaza milik Palestin (dibawah tanggungjawab Mesir), Semenanjung Sinai milik Mesir, Tebing Barat milik Palestin (dibawah tanggungjawab Jordan) dan Bukit Golan milik Syria.

Perang Arab-Israel 1973 menyambung episod Palestin ini dengan kejayaan tentera Mesir membebaskan Semenanjung Sinai. Namun perang ini tidak dapat membebaskan wilayah-wilayah lain yang ditawan Rejim Zionis seperti Genting Gaza yang masih dibawah taklukan Israel. Selepas itu, Anwar Sadat yang merupakan Presiden Mesir ketika itu mula berjinak-jinak dengan Rejim Zionis apabila bersama-sama memeterai Perjanjian Camp David pertama dengan Israel yang menyaksikan Mesir sebagai negara Arab pertama yang mengiktiraf Negara Haram Israel di atas bumi Palestin. Anwar Sadat kemudiannya dibunuh oleh tenteranya sendiri lantaran tindakannya yang dianggap satu penghinaan ke atas penduduk Palestin. Bertitik tolak dari masa ini, semangat perjuangan untuk membebaskan Palestin dengan idealisme nasionalisme dan Ba’ath (Sosialis Arabisme) mula luntur. 

Perjanjian-perjanjian damai yang dimeterai antara PLO dan Rejim Zionis seterusnya hanya menyaksikan pengiktirafan Negara Haram Israel di atas bumi Palestin oleh PLO sementara rakyat Palestin terus dizalimi haknya. Akhirnya pada 1987, HAMAS ditubuhkan serentak dengan seruan Intifadhah pertama sebagai tindakan rakyat Palestin yang berfikrah Islamiah untuk berjuang memerdekakan setiap inci bumi Palestin. Ketika mana PLO sibuk memberikan ‘komitmen’ kepada perjanjian-perjanjian damai yang tidak pernah dipatuhi oleh Rejim Zionis, anak-anak muda berfikrah Islami mula mengangkat senjata sambil menjulang al-Quran menandakan bermulanya perjuangan bernuansakan Islam untuk membebaskan bumi Palestin sebagai tindakan refleks kepada kegagalan ideologi nasionalisme dan Ba’ath (Sosialis Arabisme) untuk memperjuangkan kebebasan Palestin. 

Alaf baru menyaksikan seruan Intifadhah kedua yang lebih bertenaga oleh para pejuang Palestin menggunakan ‘Bahasa Perang’ untuk menjawab kebiadapan Rejim Zionis kepada rakyat awam Palestin. ‘Bahasa Perang’ ini terpaksa digunakan kerana ketololan Rejim Zionis untuk memahami bahasa lisan dan kasih sayang.

Tahun 2004 pula telah ditakdirkan sebagai hari anugerah syahid kepada maestro perjuangan HAMAS iaitu Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz ar-Rantissi, mereka dijemput pulang oleh Ilahi dengan meninggalkan warisan perjuangan kepada anak-anak muda Palestin.

Operasi bom syahid (amaliyyah Istisyhadiyyah) dan serangan roket al-Qassam rekaan anak watan Palestin yang berterusan mula menimbulkan kebaculan Rejim Zionis yang takut mati apabila berhadapan rakyat Palestin yang cintakan syahid. Akhirnya pada 2005, Rejim Zionis berundur daripada Genting Gaza dan wilayah itu berjaya dimerdekakan.

Ustaz Riduan Mohamad Nor
Tahun 2006, HAMAS mendapat mandat daripada rakyat Gaza apabila menang dalam pilihan raya. Kemenangan HAMAS ini memberikan ketakutan buat Rejim Zionis yang menyebabkan mereka memulakan Operasi Cast Lead selama 22 hari pada hujung 2008 hingga awal 2009 untuk menghapuskan HAMAS dan menghancurkan Gaza. Namun dengan bantuan Allah, Rejim Zionis walaupun dengan kelengkapan perang yang canggih tetap gagal melumpuhkan Gaza dan rakyatnya.

Senario berulang lagi tahun ini, apabila Rejim Zionis mencuba lagi untuk menumbangkan HAMAS dan rakyat Gaza dengan Operasi Pillar of Cloud namun tetap menemui kegagalan dengan sebab pertolongan Allah kepada hamba-hambaNya.

Selesai pidato Ustaz Riduan maka sampailah kepada waktu yang ditunggu-tunggu iaitu kalam nasihat dan peringatan daripada as-Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni. 

(catatan pidato Dr Muhammad Ali as-Sobuni akan dimuatkan dalam artikel tentang Syria)