Tuesday 30 October 2012

Puisi Refleksi


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Oh diri, engkau tidak faqih,
Maka awasi kata-kata mu,
Sekelumit cuma ilmu mu itu,
Maka sampaikan sekadar ilmu mu,
Jauhi berlebih-lebihan dalam berkata-kata, 
Kerna yang kebanyakan dalam kata-kata itu ialah dusta,
Dan dusta itu dosa,
Maka diam itu lebih utama, 
Bagi perkara yang kau tidak punya ilmu tentangnya,  
Namun wajib bagi mu, 
Untuk menyampaikan apa yang punya ilmu pada dirimu,
Kerna yang tidak disampaikan itu ialah penyembunyian ilmu,
Ketahuilah sesungguhnya Allah telah mengurniakan mu ilmu,
Yang engkau akan ditanya tentangnya, 
Pada hari perhitungan amal mu.




Lelaki yang Baik Menutup Auratnya



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Hari ini kita sering mendengar dan membaca segala macam ajakan dakwah kepada wanita muslimah supaya menutup aurat mereka. Pelbagai slogan yang digunakan. Di tengah-tengah perjuangan memimpin wanita muslimah supaya berpakaian menutup aurat dengan sempurna, kita mungkin terlepas pandang yang kaum wanita mempunyai saudara yang juga mempunyai aurat yang perlu ditutup. Mereka juga perlu diperingatkan supaya menutup aurat. Siapa saudara kepada kaum wanita ini? Jawapannya tentulah kaum lelaki.

Aurat Lelaki dan Masyarakat Kini 

Dalam Islam, lelaki juga mempunyai aurat yang perlu ditutup. Umumnya, ramai yang telah maklum bahawa aurat lelaki dengan semua orang kecuali isteri ialah antara pusat dengan lutut (nota: tiada aurat antara suami dan isteri). Mungkin kerana aurat yang ‘simple’ ini, maka ramai lelaki muslim yang mengambil mudah sehingga terbabas kepada pembukaan aurat. Sebagai contoh, lelaki yang tidak berpakaian di bahagian atas sambil memakai seluar dibawah paras pusat.

Pembukaan aurat juga selalu berlaku di rumah orang bujang lelaki dan asrama lelaki. Segelintir lelaki sering memakai seluar pendek yang pastinya menampakkan aurat ketika berada di dalam rumah bersama-sama dengan rakan-rakan sebilik atau serumah. Senario ini sering kali dilihat sebagai perkara biasa yang tidak mendatangkan dosa. “Alah, biasalah kalau pakai macam ni. Sama-sama lelaki ja kot, bukan ada perempuan pun kat sini.” Inilah ungkapan yang biasa penulis dengar ketika menegur tentang pembukaan aurat yang berleluasa di dalam asrama lelaki. Perlu difahami bahawa aurat lelaki bukan hanya perlu ditutup dihadapan perempuan tetapi juga sesama lelaki.

Situasi dalam rumah kelamin pula, ayah atau adik-beradik lelaki yang memakai seluar pendek atau memakai seluar dibawah paras pusat dan tidak berpakaian di bahagian atas telah mendedahkan auratnya kepada ahli keluarga yang lain sama ada lelaki atau perempuan.

Selain itu, ahli keluarga yang lelaki sering memakai kain tuala yang tidak cukup panjang ketika sebelum dan selepas mandi sehingga menampakkan pusat ataupun lutut. Di sini penulis ingin mencadangkan kepada kaum lelaki supaya mengunakan kain tuala yang labuh sedikit supaya aurat anda dapat dipelihara. Ingat, aurat lelaki walaupun dengan ahli keluarga ialah antara pusat dengan lutut.

Pembukaan aurat ini tidak seharusnya diambil mudah dan dianggap perkara biasa. Pembukaan aurat ialah satu dosa. Adakah kita mahu pulang menyahut seruan Ilahi dalam keadaan kita memikul dosa-dosa kita yang banyak lantaran sikap ambil mudah kita terhadap perintah menutup aurat ini dan akhirnya dihukum dengan seksaan di akhirat? Jawapannya ada pada diri kita. Kita ini hamba Allah dan Allah telah menetapkan peraturanNya yang perlu kita patuhi. Pastinya Allah lebih mengetahui hikmah bagi setiap ketetapan peraturanNya. Ubahlah diri kita, tutup aurat kita.

Seluar Tiga Suku      

Hari ini ramai lelaki muslim yang memakai seluar pendek yang melepasi paras lutut. Tiada salahnya jika pemakainya dapat memastikan aurat mereka sentiasa tertutup dalam semua keadaan sama ada duduk, berjalan, bercangkung dan lain-lain. Hal yang dikhuatiri ialah jika pemakaian seluar tiga suku ini akan menyingkap aurat pemakainya ketika mereka duduk, berjalan, mencangkung, membongkok dan lain-lain. Penting untuk difahami bahawa aurat itu perlu kekal tertutup dalam semua keadaan sama ada berjalan, duduk, mencangkung dan lain-lain. Oleh itu, perkara yang perlu diambil berat oleh pemakai seluar tiga suku ialah memastikan adakah aurat mereka kekal tertutup ketika mereka duduk, berjalan, mencangkung, membongkok dan lain-lain. Jika aurat mereka tersingkap, maka carilah seluar tiga suku yang lebih panjang atau yang lebih baik pakailah seluar panjang yang ternyata dapat menutup aurat. Tinggalkan apa yang diragui, ambillah apa yang diyakini.

Sukan dan Aurat

Isu sukan dan aurat merupakan satu isu yang perlu dititikberatkan oleh seorang muslim dan muslimah. Hari ini sukan diperkenalkan oleh Barat sebagai aktiviti yang sinonim dengan pendedahan aurat. Sukan digambarkan oleh Barat sebagai aktiviti yang mustahil untuk dilaksanakan tanpa pendedahan aurat. Perkara yang lebih menyedihkan ialah bukan sahaja Barat tetapi sesetengah negara umat Islam sendiri bagai mengiyakan teori Barat ini. Pakaian-pakaian sukan yang diperkenalkan banyak yang tidak menutup aurat. Kononnya pakaian yang menutup aurat akan menghalang mobiliti atlet untuk aktiviti sukan.

Pembohongan Barat ini terbongkar apabila ada atlet-atlet daripada negara Islam yang memakai pakaian menutup aurat ini yang mampu bersaing dengan para atlet lain yang berpakaian ‘primitif’ dalam kejohanan sukan bertaraf dunia. Oleh itu, penulis mengharapkan para pembaca dapat istiqomah menutup aurat walaupun ketika bersukan. Kita orang-orang Islam, bersukan untuk menyihatkan badan agar kuat beribadah dan mampu berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi, maka sukan bagi kita ialah ibadah. Maka mana mungkin kita akan merosakkan ibadah kita ini dengan pendedahan aurat. Ayuh muslimin, kita tunjukkan kepada dunia bahawa Islam itu sesuai dipratikkan walaupun di padang bola dan trek balapan!

Lelaki Yang Baik Menutup Auratnya

Selalunya kita mendengar slogan seperti ‘Wanita Solehah Menutup Auratnya’, ‘Wanita Yang Baik Melindungi Auratnya’ dan lain-lain untuk menggalakkan muslimat untuk menutup auratnya. Akhir kata, penulis mahu mulakan slogan baru pula untuk muslimin iaitu ‘Lelaki Yang Baik Menutup Auratnya’. Tutuplah aurat kita wahai muslimin, aurat kita maruah kita, aurat kita tanggungjawab kita.