Wednesday 18 December 2013

Dua Nasihat yang Terpisah


Suasana pagi sabtu yang cerah dan ceria itu tidak dapat menenangkan hati saya. Hati terasa bagi dirobek-robek. Usaha murni yang cuba dilakukan tidak difahami, lalu kritikan-kritikan dilontar melalui tulisan di cebisan-cebisan kertas. Salah saya juga, saya yang menyuruh mereka melakukan demikian. Hati yang halus ini mudah terasa dengan kritikan sekalipun diterjemahkan dengan bahasa yang halus.

Tugas menjadi Presiden Badan Wakil Pelajar sewaktu itu sangat mencabar. Saya menjadi jambatan penghubung antara dua pihak yang biasanya bertembung keinginan mereka, pelajar-pelajar dan pentadbiran maktab. Saya akui era kepimpinan saya tidak sebagus mana. Suasana masyarakat maktab yang ditinggalkan kepada saya untuk dipimpin bagaikan sedang mengalami era jahiliyah. Skip kelas persediaan atau prep, fly daripada asrama, isap dan edar rokok, tidak puasa di bulan Ramadhan, dating dan couple semuanya ditinggalkan sebagai legasi budaya masyarakat pelajar ketika itu untuk ditangani oleh saf kepimpinan pelajar dan guru-guru. Lebih buruk lagi apabila ada daripada kalangan kepimpinan pelajar sendiri yang turut menyuburkan budaya jahiliyah itu.

Pertengahan tahun 2010, saya menerima amanah yang diberikan. Berbekalkan tarbiyah yang diberikan oleh Ustaz Radzi lewat usrah yang saya hadiri bersamanya. Saya memulakan misi memerangi jahiliyah tersebut bersama beberapa orang sahabat yang juga berada dalam saf kepimpinan Badan Wakil Pelajar. Manakan tidak luka hati ini, sahabiah yang turut sama menerima tarbiyah turut mengkritik. Orang yang memahami apa aspirasi yang saya bawa turut mengkritik saya.

“Syariatik tetapi tak saintifik. ” Sebaris nota ringkas saya terima ketika melakukan refleksi tugas saya sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar.

Nota-nota refleksi yang lain tidak begitu menyentap hati saya tetapi nota ini berbeza kerana datangnya nota  ini daripada orang saya hormati dan maklumi tarbiyah yang diterimanya.

Dengan hati yang sedih saya mendengar penjelasan yang diberikan olehnya. Panjang lebar dia menerangkan, akhirnya saya akur. Benar apa yang dikatanya, saya agak terburu-buru ‘menegakkan syariat’ dalam era kepimpinan saya sehingga mengundang suatu impak buruk kembali kepada saya. Saya tidak strategis dalam mengatur dakwah melalui siyasah. Saya masih belum matang bermain politik. Mungkin nasib saya hampir serupa dengan Necmettin Erbakan. Cuma keluasan lapangannya dan saiz impaknya sahaja yang berbeza, skripnya sama.

Barangkali perkara ini berlaku kepada saya ketika itu kerana saya masih belum menelaah tentang sejarah era kepimpinan Parti Refah di Turki agaknya, masih belum kenal siapa Necmettin Erbakan dan siapa Recep Tayyip Erdogan ketika itu. Tak perlu dikesalkan, pengalaman itu guru yang terbaik. Ujiannya datang dahulu sebelum sesi belajarnya.

Pahit betul untuk menelan penjelasan yang diberikan oleh sahabiah saya itu. Namun demi kebaikan diri, saya telan jua. Ubat memang selalunya pahit.

Saya masih ingat khitam kepada penjelasannya.

“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita faham.”

Nasihatnya itu saya simpan sehingga hari ini sebagai pedoman dalam berdakwah.

Benar.

Tidak semua orang faham seperti yang kita faham, maka dakwah itu perlu kena pada caranya.
Dakwah tidak boleh bersifat revolusi. Unsur masa tidak dapat diketepikan dalam memahamkan manusia akan dakwah yang disampaikan, kerana itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

***
LRT meluncur laju di atas landasannya. Kami dalam perjalanan kembali ke Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya. Abang Hafizzuddin sedang khusyuk membaca. Dia sedang duduk di kerusi berhadapan dengan saya. Melihat dia hati saya teringatkan suatu peristiwa yang berlaku kepada saya pada cuti yang lepas.

Peristiwa bagaimana saya dikritik dengan hebat sekali apabila saya berbicara tentang politik di bumi Turki. Saya dikritik dengan sangat tajam ketika berbicara tentang model sebuah kerajaan yang sedang perlahan-perlahan mengembalikan nuansa Islami di negara bekas bumi Khilafah Uthmaniyah itu. Turki yang dicabut identiti Islamnya oleh Mustafa Kamal AtaTurk mula mengalami proses Islamisasi secara halus melalui kepimpinan Parti AK.

Saya dikritik dengan naif sekali. Orang itu berhujah dengan hujah yang dangkal. Turki negara sekular, Turki negara sekular. Itu sahaja yang saya boleh simpulkan daripada apa yang dikatakannya. Berdalilkan dengan dalil yang naif seperti perihal orang perempuan Turki bersolat dengan memakai skirt, dia menafikan apa yang saya katakan tentang Islamisme yang berlaku secara perlahan di Turki. Entah dimana dan bila fakta ‘solat pakai skirt’ itu ditemukannya pun saya tidak tahu. Semua fakta-fakta yang saya kemukakan langsung tidak mahu didengarinya. Akhirnya, apabila setiap hujah saya dinaqalkan kepada setiap buku tertentu dan diskusi tertentu yang saya baca dan hadiri. Dia mengeluarkan satu respon kesimpulan yang sangat tidak boleh diterima oleh saya. Dia mengatakan saya masih muda dan kurang membaca sedangkan hujahnya yang naif dari sudut rujukan.

Ingin sahaja saya bertanyakan dia, “Lantas buku apa yang kamu baca?”

Niat itu sebaliknya saya urungkan sahaja. Itu lebih baik rasanya. Teringat seketika kata-kata Imam Syaf’ie.

“Aku boleh menang berhujah dengan orang cerdik tetapi aku tidak boleh menang berhujah dengan orang jahil.”

Selepas saya masuk ke UIAM, minda saya semakin luas meneroka dunia lewat pembacaan. Subjek yang paling menarik perhatian saya ialah fenomena Arab Spring yang sedang berlaku ketika itu. Fenomena di mana kebangkitan rakyat Timur Tengah menggugah kuasa pemerintah tirani di negara masing-masing. Bicara tentang politik dunia Islam menjadi satu perbincangan yang sangat menarik ketika itu terutama apabila Mesir menerima Presiden baru iaitu Dr Muhammad Mursi daripada Parti Kebebasan dan Keadilan yang merupakan sayap politik gerakan Islam di Mesir, Ikhwanul Muslimin. Diskusi-diskusi dan sembang-sembang tentang dunia Islam sangat mengasyikkan saya.

Saya tersedar daripada lamunan. Seketika hati saya terdetik untuk bertanyakan soalan yang sekian lama bersarang di hati kepada Abang Hafizzuddin.

“Abg Bidin. Ana nak tanya sesuatu ni.” Saya memulakan bicara.

Dia mendongakkan kepala. Bukunya masih terbuka.

“Ya ada apa?”

“Erm… Apa pendapat abang bila ada seseorang yang apabila kita cuba sampaikan sesuatu perkara kepada dia, dia bersikap pesimis dan terus menolak penyampaian kita. Macam mana kita nak buat supaya dia faham? ” Soal saya panjang.

Dia mengukir senyum. Bukunya ditutup dengan selitan jari ibu untuk menanda muka surat bacaan.

“Enta kena fahamkan dia betul-betul.” Dia meletakkan buku ke ribaannya.

“Tetapi dia menolak, macam mana nak fahamkan dia apa yang kita faham?” Saya menujah pertanyaan balas.

“Kita tak perlu fahamkan dia apa yang kita faham, kita cuma perlu fahamkan dia apa yang dia perlu faham.” Hikmah itu keluar dari mulutnya.

“Betul juga tu.” Hati saya membenarkan hikmah yang Abang Hafizzuddin lontarkan.

Hikmahnya itu bagai sudah menjawab seluruh persoalan saya. Saya kira itu jawapan bijaksana yang telah menjawab pelbagai persoalan dalam dunia dakwah dan hal berkaitan hubungan antara da’ie dan mad’u. Cuma perlu fahamkan orang lain apa yang perlu difahaminya, tidak perlu carbon copy kefahaman kita ke minda mereka.

Dia telah menjawab semua persoalan yang bakal saya lontarkan. Apa perlu saya tanyakan lagi? Mungkin sekadar meminta dia menghurai sedikit hikmahnya tadi untuk lebih jelas walaupun hikmah itu sudah muhkamat sifatnya.

***
Saya duduk termenung di tangga surau. Menunggu masuknya waktu Isya’.

Dua nasihat yang terpisah.

Itu yang saya dapat simpulkan apabila terkenangkan dua kalam hikmah yang saya terima daripada dua individu yang saya kisahkan pada dua juzu’ coretan sebelum ini.

“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita faham.”

Dan

“Kita tak perlu fahamkan orang lain apa yang kita faham, kita cuma perlu fahamkannya dengan apa yang dia perlu faham.”

Saya kira tiada kalam yang mampu saya susunkan lagi untuk menerangkan dengan lebih mendalam hubung kait antara kedua-duanya, namun saya pasti setiap orang yang menatap coretan ini sudah mampu memahami apa yang dimaksudkan dengan hanya mengabung jalin dua hikmah ini. Hikmah bukanlah falsafah rumit yang hanya difahami oleh ahlinya tetapi yang namanya hikmah itu cukup dengan satu kalam mudah yang dapat menjelaskan hal-hal susah kepada semua manusia.

Sekadar berkongsi dua hikmah berharga yang saya temui sepanjang menjalani jalan dakwah ini.

Moga ada manfaatnya.

Dan buat dua insan yang menuturkan hikmah ini, saya doakan agar kalian tsabat pada jalan dakwah ini.

"Hikmah ialah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."

(Hadis)

No comments:

Post a Comment