Wednesday 18 December 2013

Dua Nasihat yang Terpisah


Suasana pagi sabtu yang cerah dan ceria itu tidak dapat menenangkan hati saya. Hati terasa bagi dirobek-robek. Usaha murni yang cuba dilakukan tidak difahami, lalu kritikan-kritikan dilontar melalui tulisan di cebisan-cebisan kertas. Salah saya juga, saya yang menyuruh mereka melakukan demikian. Hati yang halus ini mudah terasa dengan kritikan sekalipun diterjemahkan dengan bahasa yang halus.

Tugas menjadi Presiden Badan Wakil Pelajar sewaktu itu sangat mencabar. Saya menjadi jambatan penghubung antara dua pihak yang biasanya bertembung keinginan mereka, pelajar-pelajar dan pentadbiran maktab. Saya akui era kepimpinan saya tidak sebagus mana. Suasana masyarakat maktab yang ditinggalkan kepada saya untuk dipimpin bagaikan sedang mengalami era jahiliyah. Skip kelas persediaan atau prep, fly daripada asrama, isap dan edar rokok, tidak puasa di bulan Ramadhan, dating dan couple semuanya ditinggalkan sebagai legasi budaya masyarakat pelajar ketika itu untuk ditangani oleh saf kepimpinan pelajar dan guru-guru. Lebih buruk lagi apabila ada daripada kalangan kepimpinan pelajar sendiri yang turut menyuburkan budaya jahiliyah itu.

Pertengahan tahun 2010, saya menerima amanah yang diberikan. Berbekalkan tarbiyah yang diberikan oleh Ustaz Radzi lewat usrah yang saya hadiri bersamanya. Saya memulakan misi memerangi jahiliyah tersebut bersama beberapa orang sahabat yang juga berada dalam saf kepimpinan Badan Wakil Pelajar. Manakan tidak luka hati ini, sahabiah yang turut sama menerima tarbiyah turut mengkritik. Orang yang memahami apa aspirasi yang saya bawa turut mengkritik saya.

“Syariatik tetapi tak saintifik. ” Sebaris nota ringkas saya terima ketika melakukan refleksi tugas saya sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar.

Nota-nota refleksi yang lain tidak begitu menyentap hati saya tetapi nota ini berbeza kerana datangnya nota  ini daripada orang saya hormati dan maklumi tarbiyah yang diterimanya.

Dengan hati yang sedih saya mendengar penjelasan yang diberikan olehnya. Panjang lebar dia menerangkan, akhirnya saya akur. Benar apa yang dikatanya, saya agak terburu-buru ‘menegakkan syariat’ dalam era kepimpinan saya sehingga mengundang suatu impak buruk kembali kepada saya. Saya tidak strategis dalam mengatur dakwah melalui siyasah. Saya masih belum matang bermain politik. Mungkin nasib saya hampir serupa dengan Necmettin Erbakan. Cuma keluasan lapangannya dan saiz impaknya sahaja yang berbeza, skripnya sama.

Barangkali perkara ini berlaku kepada saya ketika itu kerana saya masih belum menelaah tentang sejarah era kepimpinan Parti Refah di Turki agaknya, masih belum kenal siapa Necmettin Erbakan dan siapa Recep Tayyip Erdogan ketika itu. Tak perlu dikesalkan, pengalaman itu guru yang terbaik. Ujiannya datang dahulu sebelum sesi belajarnya.

Pahit betul untuk menelan penjelasan yang diberikan oleh sahabiah saya itu. Namun demi kebaikan diri, saya telan jua. Ubat memang selalunya pahit.

Saya masih ingat khitam kepada penjelasannya.

“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita faham.”

Nasihatnya itu saya simpan sehingga hari ini sebagai pedoman dalam berdakwah.

Benar.

Tidak semua orang faham seperti yang kita faham, maka dakwah itu perlu kena pada caranya.
Dakwah tidak boleh bersifat revolusi. Unsur masa tidak dapat diketepikan dalam memahamkan manusia akan dakwah yang disampaikan, kerana itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

***
LRT meluncur laju di atas landasannya. Kami dalam perjalanan kembali ke Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya. Abang Hafizzuddin sedang khusyuk membaca. Dia sedang duduk di kerusi berhadapan dengan saya. Melihat dia hati saya teringatkan suatu peristiwa yang berlaku kepada saya pada cuti yang lepas.

Peristiwa bagaimana saya dikritik dengan hebat sekali apabila saya berbicara tentang politik di bumi Turki. Saya dikritik dengan sangat tajam ketika berbicara tentang model sebuah kerajaan yang sedang perlahan-perlahan mengembalikan nuansa Islami di negara bekas bumi Khilafah Uthmaniyah itu. Turki yang dicabut identiti Islamnya oleh Mustafa Kamal AtaTurk mula mengalami proses Islamisasi secara halus melalui kepimpinan Parti AK.

Saya dikritik dengan naif sekali. Orang itu berhujah dengan hujah yang dangkal. Turki negara sekular, Turki negara sekular. Itu sahaja yang saya boleh simpulkan daripada apa yang dikatakannya. Berdalilkan dengan dalil yang naif seperti perihal orang perempuan Turki bersolat dengan memakai skirt, dia menafikan apa yang saya katakan tentang Islamisme yang berlaku secara perlahan di Turki. Entah dimana dan bila fakta ‘solat pakai skirt’ itu ditemukannya pun saya tidak tahu. Semua fakta-fakta yang saya kemukakan langsung tidak mahu didengarinya. Akhirnya, apabila setiap hujah saya dinaqalkan kepada setiap buku tertentu dan diskusi tertentu yang saya baca dan hadiri. Dia mengeluarkan satu respon kesimpulan yang sangat tidak boleh diterima oleh saya. Dia mengatakan saya masih muda dan kurang membaca sedangkan hujahnya yang naif dari sudut rujukan.

Ingin sahaja saya bertanyakan dia, “Lantas buku apa yang kamu baca?”

Niat itu sebaliknya saya urungkan sahaja. Itu lebih baik rasanya. Teringat seketika kata-kata Imam Syaf’ie.

“Aku boleh menang berhujah dengan orang cerdik tetapi aku tidak boleh menang berhujah dengan orang jahil.”

Selepas saya masuk ke UIAM, minda saya semakin luas meneroka dunia lewat pembacaan. Subjek yang paling menarik perhatian saya ialah fenomena Arab Spring yang sedang berlaku ketika itu. Fenomena di mana kebangkitan rakyat Timur Tengah menggugah kuasa pemerintah tirani di negara masing-masing. Bicara tentang politik dunia Islam menjadi satu perbincangan yang sangat menarik ketika itu terutama apabila Mesir menerima Presiden baru iaitu Dr Muhammad Mursi daripada Parti Kebebasan dan Keadilan yang merupakan sayap politik gerakan Islam di Mesir, Ikhwanul Muslimin. Diskusi-diskusi dan sembang-sembang tentang dunia Islam sangat mengasyikkan saya.

Saya tersedar daripada lamunan. Seketika hati saya terdetik untuk bertanyakan soalan yang sekian lama bersarang di hati kepada Abang Hafizzuddin.

“Abg Bidin. Ana nak tanya sesuatu ni.” Saya memulakan bicara.

Dia mendongakkan kepala. Bukunya masih terbuka.

“Ya ada apa?”

“Erm… Apa pendapat abang bila ada seseorang yang apabila kita cuba sampaikan sesuatu perkara kepada dia, dia bersikap pesimis dan terus menolak penyampaian kita. Macam mana kita nak buat supaya dia faham? ” Soal saya panjang.

Dia mengukir senyum. Bukunya ditutup dengan selitan jari ibu untuk menanda muka surat bacaan.

“Enta kena fahamkan dia betul-betul.” Dia meletakkan buku ke ribaannya.

“Tetapi dia menolak, macam mana nak fahamkan dia apa yang kita faham?” Saya menujah pertanyaan balas.

“Kita tak perlu fahamkan dia apa yang kita faham, kita cuma perlu fahamkan dia apa yang dia perlu faham.” Hikmah itu keluar dari mulutnya.

“Betul juga tu.” Hati saya membenarkan hikmah yang Abang Hafizzuddin lontarkan.

Hikmahnya itu bagai sudah menjawab seluruh persoalan saya. Saya kira itu jawapan bijaksana yang telah menjawab pelbagai persoalan dalam dunia dakwah dan hal berkaitan hubungan antara da’ie dan mad’u. Cuma perlu fahamkan orang lain apa yang perlu difahaminya, tidak perlu carbon copy kefahaman kita ke minda mereka.

Dia telah menjawab semua persoalan yang bakal saya lontarkan. Apa perlu saya tanyakan lagi? Mungkin sekadar meminta dia menghurai sedikit hikmahnya tadi untuk lebih jelas walaupun hikmah itu sudah muhkamat sifatnya.

***
Saya duduk termenung di tangga surau. Menunggu masuknya waktu Isya’.

Dua nasihat yang terpisah.

Itu yang saya dapat simpulkan apabila terkenangkan dua kalam hikmah yang saya terima daripada dua individu yang saya kisahkan pada dua juzu’ coretan sebelum ini.

“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita faham.”

Dan

“Kita tak perlu fahamkan orang lain apa yang kita faham, kita cuma perlu fahamkannya dengan apa yang dia perlu faham.”

Saya kira tiada kalam yang mampu saya susunkan lagi untuk menerangkan dengan lebih mendalam hubung kait antara kedua-duanya, namun saya pasti setiap orang yang menatap coretan ini sudah mampu memahami apa yang dimaksudkan dengan hanya mengabung jalin dua hikmah ini. Hikmah bukanlah falsafah rumit yang hanya difahami oleh ahlinya tetapi yang namanya hikmah itu cukup dengan satu kalam mudah yang dapat menjelaskan hal-hal susah kepada semua manusia.

Sekadar berkongsi dua hikmah berharga yang saya temui sepanjang menjalani jalan dakwah ini.

Moga ada manfaatnya.

Dan buat dua insan yang menuturkan hikmah ini, saya doakan agar kalian tsabat pada jalan dakwah ini.

"Hikmah ialah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."

(Hadis)

Monday 9 December 2013

Bingkisan Jihad

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman itu jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga… ”

(at-Taubah: 111)

Saya menitiskan air mata apabila membaca ayat ini. Tidak tergambar perasaan yang dirasai ini dengan kata-kata.

INNALLAHA YASYTARO MINAL  MU’MININA ANFUSAHUM WA AMWALAHUM BI ANNA LAHUMUL JANNAH

Setiap kali terkenangkan ayat ini, maka saat itulah hati terasa begitu syahdu sekali.

Hati menangis terharu mendengar janji agung ini. Janji yang mengobarkan semangat jihad dalam diri setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya.

Allah menggunakan perkataan yasytaro yang bermakna membeli dalam janjiNya itu. Mengapa beli, sedangkan Allah ialah pemilik diri kita, pencipta kita, kita ini hambaNya tetapi mengapa Allah menggunakan perkataan ‘membeli’ sedang Dia berhak ke atas diri kita.

Membeli bermakna ada imbalan atas apa yang diserahkan.  

Apa yang diserahkan?

Diri dan harta benda.

Fikirkan semula, Dia berhak menyuruh kita berjuang tanpa sebarang imbalan untuk diberikan.

Apakah makna yang lebih mendalam dalam janji Allah ini?

Pastinya, Allah mengetahui  bahawa mengorbankan diri dan harta benda pada jalan Allah itu bukanlah suatu hal yang mudah. Peritnya terasa. Hanya orang-orang yang hidup untuk Allah sahaja yang mampu melakukannya.

Sesungguhnya Allah itu ar-Rahim, Maha Pengasih. Sebagai bukti kasihnya Dia kepada hamba-hambaNya yang sanggup berjerih payah berjuang pada jalanNya itu lalu dibayar kepada mereka dengan imbalan syurga.

Indahnya ayat ini. Bingkisan janji dari Kekasih Agung kepada setiap pejuangNya, kepada setiap Jundullah sebagai peniup semangat jihad untuk berjuang.

Pertama kali memahami maknanya, sudah terpahat di hati.

Indahnya janji Ilahi buat para penjulang kalimahNya.


~ Sempena ulang tahun seruan Intifada pertama dan penubuhan HAMAS pada 8 Disember 1987

AL-QUDS LANA, NAHNU QODIMUN

Sunday 1 December 2013

THOR; Taghut Purba yang dimodenkan

Thor dan Captain America
THOR; The Dark World yang ditayangkan pada 31 Oktober ini mendapat sambutan hangat para peminatnya. Mungkin yang tidak berminat sebelum ini pun turut terdorong untuk pergi menontonnya di panggung kerana promosi hangat filem tersebut di televisyen dan internet. Trailernya sahaja pun sudah cukup menarik apatah lagi kalau disertakan dengan soalan kuiz dan tayangan semula beberapa siri animasi adiwira Marvel Comics yang melibatkan Thor.

                Thor, anak Odin dan abang kepada Loki yang berasal daripada Asgard. Watak lelaki sasa berambut perang panjang dan bermantel merah ini kelihatan gagah dengan memegang tukul Mjolnir. Watak lakonan Chris Hemsworth ini asalnya ialah watak adiwira dalam Marvel Comics seperti Spiderman, Iron Man, Captain America dan Hulk.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sebenarnya Thor bukanlah watak adiwira rekaan seperti Iron Man dan Spiderman. Thor sebenarnya memang sudah lama wujud dalam sejarah panjang tamadun manusia, dia ialah dewa kilat dan guruh dalam kepercayaan orang-orang Norse ataupun Viking. Dewa Thor ialah anak kepada Dewa Odin yang merupakan Ketua Dewa atau Dewa Teragung dalam mitologi Norse seperti mana Dewa Zeus yang menjadi Ketua Dewa dalam mitologi Yunani. Dewa Odin yang disembah oleh orang-orang Norse digambarkan dalam bentuk berhala seorang lelaki yang menunggang kuda berkaki lapan.

Dewa Thor mempunyai adik iaitu Dewa Loki yang merupakan dewa kenakalan. Dalam filem Thor yang sebelum ini, watak Loki dan Odin telah pun ditampilkan. Loki juga muncul dalam filem The Avengers. Apa yang boleh dirumuskan, Thor dan Loki mengikut kepercayaan orang-orang Norse merupakan dewa yang menguasai hal-hal tertentu dalam alam ini.

Berbalik kepada filem THOR, filem ini dilihat seperti mempunyai propagandanya yang  tersirat melalui latar zaman jalan ceritanya. Latar zaman moden yang digunakan dalam filem tersebut seperti ingin melontarkan satu kecelaruan kepada minda penonton. Umum mengetahui bahawa agama pagan kuno Norse ini tidak lagi diamalkan pada zaman moden kita ini sekalipun oleh kelompok manusia yang sedang tinggal di wilayah asal usul kepercayaan itu – Eropah Utara. Pada zaman dimana kebanyakan manusia sudah meninggalkan agama-agama pagan dan amalan animisme, filem THOR ini seolah-olah ingin membangkitkan semula kepercayaan pagan Norse ini dalam bentuk yang lebih hidup.

Jika kita fikirkan semula, filem tersebut dilatarkan pada zaman moden kita sekarang ini dengan latar tempat yang penuh dengan kemajuan di Eropah  beserta dengan latar masyarakat yang menganut agama Kristian. Pada saat manusia tidak lagi menyembah dewa-dewi Norse ini, kewujudan Thor, Loki dan Odin dizahirkan. Hal ini memberikan satu mesej halus kepada minda kita secara tidak sedar iaitu menafikan kebenaran agama-agama yang sedang dianuti oleh manusia pada zaman moden termasuklah agama Islam yang sedang kita imani tika ini.

Hal yang sama juga berlaku dalam filem Percy Jackson and The Lightning Thief. Percy Jackson dikisahkan sebagai anak kepada dewa Poseidon iaitu dewa yang mengawal lautan dalam mitologi Yunani. Jalan ceritanya jelas memaparkan latar zaman moden di Amerika dengan memperlihatkan Hollywood menjadi pintu masuk ke underworld yang dikuasai dewa kematian Yunani, Hades dan Empire State Building yang mempunyai lif untuk naik ke Olympus, suatu yang dipercayai menjadi tempat persidangan dewa-dewi Yunani.

Secara tidak sedar, kita sebenarnya sudah diindoktrinkan dengan propaganda taghut ini. Tambahan pula, watak Thor dan Percy Jackson ini dijadikan protagonis dalam filem tersebut. Thor diangkat menjadi adiwira dalam komik, animasi dan filem live action. Jika hanya sebagai adiwira komik dan animasi mungkin Thor hanya akan diagung-agungkan oleh kanak-kanak, tetapi hari ini Thor sudah diangkat sebagai adiwira yang lebih hidup seperti Spiderman dan Iron Man yang bakal menjemput juga sanjungan oleh golongan dewasa. Bukanlah maksudnya tidak mengapa jika watak Thor ini hanya diagungkan oleh kanak-kanak bahkan perkara tersebut yang perlu diutamakan untuk dibendung cumanya sekadar menjentik sedikit minda kita supaya menyedari ditahap manakah serangan pemikiran sudah dilancarkan terhadap umat Islam.

Sedarkah kita, mengangkat Thor menjadi adiwira sebenarnya sama sahaja seperti kita mengangkat berhala-berhala arab jahiliyyah seperti Latta, Uzza dan Manat menjadi adiwira. Thor yang dikisahkan dalam filem tersebut tidak lain hanyalah seperti satu bentuk berhala moden yang lebih hidup sifatnya. Mari renung seketika firman Allah:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.

(an-Nahl: 36)

Serangan yang melibatkan hal aqidah ini sangat perlu kita hadapi dengan bijak, teliti dan hati-hati. Kelicikan musuh Islam mengangkat taghut purba yang telah dilupakan seperti Thor untuk menjadi dipuja semula dengan ‘ritual moden’ perlu dihadapi dengan ilmu iaitu ilmu tentang aqidah Islamiyyah dan ditambah dengan budaya suka mengkaji agar kita tidak menjadi umat yang mudah dipermainkan kerana bertulang belakangkan sikap taqlid buta.


Saturday 23 November 2013

Kita di Zon Selesa

Kredit Foto: Aiman Hizami
Pagi itu sungguh dingin. Saya, Zikri, Fikri dan Hizami keluar bersarapan di sebuah gerai di Jenderam Hilir.

"Zikri, ana rasa betullah apa yang enta beritahu hari tu." Saya memulakan bicara sambil mengaul nasi lemak yang terhidang.

"Beritahu tentang apa?" Zikri menghirup sedikit teh tariknya.

"Hari itu ada ahli Leader Council MEDCY yang tegur ana tentang program-program yang MEDCY adakan. Dia kata program-program yang dirancang tidak terkesan kepada pelajar-pelajar UIA. Ana fikir betul juga apa yang dia katakan, sama macam yang enta beritahu ana di Musolla UKC dulu." Saya menyambung bicara.

"Itulah, kita yang hidup dalam UIA ni hidup dalam zon selesa." Respon Zikri.

"Zon selesa macam mana tu?" Fikri menyoal mencari kepastian sambil mengoyakkan roti canai.

"Ya, zon selesa. Enta tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita?" Zikri melontar persoalan ke meja perbincangan teh tarik kami.

Saya sekadar mendengar soalan yang dilontarkan Zikri. Berfikir sejenak tentang kata-katanya.

"Kita hidup dalam persekitaran yang baik. Kita berlatih menjadi da'ie tetapi kita sekadar berada dalam UIA yang terjaga biah solehahnya. Kita tidak turun ke medan sebenar, medan masyarakat." Zikri menyambung.

Zikri menceritakan pengalamannya mengikuti seorang sahabatnya keluar lepak bersama dengan remaja kurang tarbiyah. Malah turut mengikuti mereka berkunjung ke 'tempat-tempat gelap' di Kuala Lumpur pada malam minggu.

"Baru kedai makan tepi-tepi jalan, itu pun kiri dan kanan orang teguk arak. Muka melayu. Kalau nightclub ana tak tahu la, tak berani nak masuk." Air teh tarik saya tinggal separuh.

Khusyuk saya mendengar kisah Zikri dan sahabatnya yang menerobos keluar daripada zon selesa UIA. Berkelana ke wilayah asing yang tidak kenal pun erti biah solehah.
Wilayah yang sangat asing bagi saya, tetapi wilayah itulah wilayah mega yang mewarnai wajah sebenar Malaysia.

Bila difikirkan, tidak wajar dinamakan wilayah asing kerana hakikatnya kami di UIA yang terasing. Syok sendiri dengan biah solehah dalam wilayah sekangkang kera.

"Enta tak rasa apa-apa pergi tempat itu?" Fikri menyoal.

"Mesti la rasa syeikh, tak kan la tak rasa apa-apa. Meremang juga bulu roma ana ni." Balas Zikri.

"Ada sekali tu, diajaknya ana dan sahabat ana ni masuk nightclub. Kami tak masuk la, cuma tunggu di kedai mamak." Zikri meneruskan ceriteranya.

Tertawa juga saya apabila mendengar Zikri menceritakan bagaimana dia dan sahabatnya itu solat isya' di kaki lima kedai mamak tersebut.

"Semua orang pelik tengok kami." Zikri tersenyum.

Banyak lagi yang dikisahkan Zikri kepada kami bertiga namun saya kira tidak perlu dinukilkan semuanya disini. Cukuplah sekadar apa yang sudah tertulis di atas. Matlamat saya bukan untuk meriwayatkan seluruh kembara malam minggu yang dilalui Zikri tetapi sekadar coretan buat kita merefleksikan semula kewajipan amar ma'ruf nahi mungkar kita. Sesaat saya teringatkan pesanan murabbi saya ketika saya baru mula belajar di UIA, ketika baru pertama kali tinggal di Kuala Lumpur.

"Rasa macam tak mahu keluarlah ustaz. Banyak yang pelik-pelik." Saya mengadu kepada Ustaz Radzi.

"Jangan macam tu. Keluar. Lihat realiti Malaysia." Ustaz Radzi berpesan sebaliknya.

Ustaz Radzi menyuruh saya melihat dunia agar saya sedar bahawa masih banyak lagi kerja Islam berupa dakwah dan tarbiyah yang perlu dilaksanakan. Usah terlalu selesa dan seronok dengan suasana Islamik di dalam UIA.

"Kita sepatutnya bergaul dengan golongan macam mereka ini. Kita bergaul bukan untuk dipengaruhi tetapi untuk mempengaruhi." Zikri menyimpulkan kisahnya.

"Entah lah Zikri, ana rasa memang perlu ada orang yang bergaul dengan mereka tetapi bukan semua da'ie boleh 'masuk' dalam dunia mereka. Macam enta yang diberi kekuatan untuk 'masuk' dalam dunia mereka, boleh teruskan usaha enta. Jadi perisik dakwah atau masterfront dakwah. Ada orang yang memang tidak boleh 'masuk' dunia mereka. Macam ana. Orang macam ana ini rasanya lebih sesuai untuk berada di sebalik tabir amal Islami ini." Saya memberi respon atas kesimpulan yang dibuat oleh Zikri.

Zikri senyum sahaja sambil menghabiskan teh tarik yang berbaki di dalam gelas.

Sunday 10 November 2013

Masihkah Kau Memboikot Zionis?

“Nak minum air Aiman?” Pelawa Bro Izdihar.

“Tak, tak. Saya tak minum Nescafe Bro Iz.” Aiman Azahan menjawab spontan.

Malam itu ialah Malam Apresiasi untuk komiti-komiti Program Minggu Ta’aruf Pusat Asasi UIAM. Saya, Aiman Azahan dan Danial yang menjadi barisan pengarah program makan bersama dengan Dekan, Timbalan Dekan SDD dan Penasihat FSCC pada malam itu.

“Kenapa tak minum Aiman?” Tanya Bro Izdihar.

“Boikot.” Jawab Aiman Azahan dengan suara yang agak perlahan.

Konsistensi memboikot barangan jaringan Zionis

Ketika bumi Palestin bersimbah darah dibantai oleh Rejim Zionis maka akan kendengaranlah riuhnya suara-suara menyeru ke arah boikot barangan Zionis. Cast Lead pada Disember 2008 dan Pillar of Cloud pada November 2012, kedua-dua dua operasi serangan besaran-besaran Rejim Zionis ini disambut dengan seruan boikot ke atas barangan jaringan Zionis sama ada oleh golongan Islamis ataupun golongan penyokong hak asasi kemanusiaan.

Alhamdulillah. Seruan boikot ini disambut dengan begitu baik oleh penduduk dunia terutamanya umat Islam.
Namun, setelah beberapa tempoh berlalu maka timbul satu persoalan. Adakah kita masih konsisten memboikot barangan jaringan Zionis ini? Adakah kita konsisten atau boikot kita bermusim? Masihkah kita memalingkan wajah daripada produk-produk Nestle, Coca-Cola dan McDonald ataupun kita sudah kembali menyantap hidangan tersebut hanya kerana tiada hujan peluru yang turun di bumi Palestin?

“Selalunya masyarakat kita ni cakna pasal isu Palestin dan boikot barangan Zionis secara bermusim.”  Saya berkata kepada Abg Imad.

Abg Imad ialah jiran saya yang aktif terlibat dalam Aqsa Syarif.

“Kalau macam tu tanggungjawab kita la untuk pastikan kempen ini bukan bersifat bermusim tetapi terus evergreen dalam masyarakat.”

Konsistensi dalam memboikot barangan Zionis sangat diperlukan. Kita tidak mampu untuk ke sana berjuang bersama mereka tetapi apa yang kita mampu lakukan ialah terus berjihad dalam lapangan ekonomi dengan memberikan tekanan kepada ekonomi Zionis. Tekanan yang diberikan pula perlulah berterusan supaya Zionis terus-menerus dalam keadaan tertekan ekonominya dan tidak mampu untuk melakukan kezaliman.

Boikot? Buang masa sahaja….

“Boikot -boikot ni buang masa ja. Bukan ada kesan pun.” Suara seorang rakan saya ketika kami berbicara tentang kezaliman Zionis.

Lantunan katanya bagai halilintar yang mendiamkan bicara kami sebentar. Kata-katanya menongkah arus perbincangan kami dan nyata kontra sekali dengan semangat membuak-buak kami yang lain untuk menghentikan kezaliman Rejim  Zionis.

Sama ada kata-kata itu lahir daripada kekecewaan atau sikap suka meremehkan, tiada siapa yang tahu.
Saya memilih untuk beranggapan dia kecewa dengan usaha boikot yang dilihatnya tidak efektif untuk menangani kezaliman Rejim Zionis.

“Ramai orang yang nak boikot barangan jaringan Zionis tetapi tak tahu cara yang betul dan tepat. Akhirnya, ramai yang sekadar hangat-hangat sup ayam.” Saya memecah tawa tiga sahabat yang lain di meja makan sambil tangan mencedok sup ayam panas. 

“Macam mana nak boikot dengan cara yang betul tu?” Habib bertanya.
“Salah satu kesilapan kita ialah apabila kita berkempen suruh boikot barangan jaringan Zionis, kita terlupa untuk mention sekali produk jenama lain yang boleh dijadikan alternatif. ” Saya menjelaskan.

“Kalau kita perasan, produk-produk jaringan Zionis yang perlu diboikot ni memang menjadi jenama pilihan utama dalam masyarakat. Apabila jenama yang biasa digunakan ini tiba-tiba diseru untuk diboikot maka masyarakat akan jadi tidak keruan sekejap sebab terpaksa mengubah kebiasaan yang diamalkan selama ini.” Amin menyambung penjelasan saya.

Menilai prioriti

“Nanti orang-orang kita jugak yang susah. Lagipun, apalah sangat kesannya boikot ni?” Seorang mak cik memberi respon terhadap saya apabila saya bercerita tentang kempen boikot.  

“Orang-orang kita?” Saya pelik.

“Ya la, orang-orang kita yang kerja dekat McDonald tu contohnya.” Dia menyambung bicaranya.

Saya sekadar diam. Sengaja tidak mahu menyambung perbualan kerana takut berlaku pertikaman lidah yang sia-sia. Sudah arif benar dengan sikap sebahagian masyarakat yang berfikiran sempit. Sindrom ‘aku tidak pedulisme’ dan kelemahan menilai prioriti memang menjadi masalah umat ini.

Entah apalah parameter penilaian yang digunakan mak cik tadi.

Kaedah fiqh menyebut, “Apabila  bertembung dua kemudaratan maka hendaklah diambil kemudaratan yang lebih kecil kesannya.”

Antara ribuan nyawa yang melayang akibat tebukan peluru-peluru senapang dan ledakan bom fosforus dengan kesan ekonomi terhadap segelintir orang yang bekerja dengan syarikat jaringan Zionis.

Mana satu lebih besar mudaratnya?

Jawapannya ada pada anda.

Pipit tidak setara dengan Enggang

“Aku tahu air ini tidak akan mencukupi untuk memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim tetapi ini bakal menjadi hujah bahawa aku telah berusaha memadamkannya apabila disoal Allah kelak.”  Kata Si Pipit kepada malaikat.

Orang tua-tua kita kata, “Pipit tidak setara dengan Enggang.”

Benarlah.

Memang Pipit tidak setara dengan Enggang.

Pada saat Enggang diam membatu. Pipit berparuh kecil telah memulakan langkah besar jihadnya dengan misi memadam api yang membakar kekasih Allah, Nabi Ibrahim.

Begitu juga kita dalam usaha boikot ini. Kesan yang ‘kecil’ kepada Rejim Zionis daripada usaha boikot kita tidak boleh dijadikan alasan untuk kita buat tidak peduli dan terus menyumbang dana kepada penyembelih saudara-saudara kita di sana. 


It is the effort that count, not the result.

Thursday 17 October 2013

Poster dan flyers dakwah, berkesankah?

Poster Biah Solehah Campaign di CFS IIUM.
“Flyers dan poster dah siap?” Tanya Habib.

“Flyers dah siap fotokopi semua dan sekarang cuma tinggal nak potong ja .” Jawab Aiman.

“Poster-poster tengah tunggu cap pengesahan daripada SDD. Esok siap dan boleh tampal, insyaAllah.” Balas Luqman pula.

“OK,bagus. Nanti poster tu kita lekatkan di kawasan-kawasan strategik yang ramai orang lalu-lalang dan flyers pulak kita sebarkan kepada kawan-kawan kelas dan bilik masing-masing.”

Mesyuarat Biro Dakwah and Welfare FSCC malam itu ialah persiapan terakhir sebelum bermulanya Kempen Biah Solehah di CFS IIUM pada minggu hadapan.

“Nak cakap atau tak ni?” Hati Aiman bermonolog.

Dia tidak setuju dengan cara penyebaran flyers dakwah seperti yang Habib sebutkan.

Hikmah dalam penurunan wahyu

“Al-Quran ni berbeza dengan kitab-kitab terdahulu.” Kata Luqman sambil mengusap mushaf al-Quran berzipnya yang berwarna hitam.

“Berbeza macam mana tu bang?” Balas salah seorang anak usrahnya.

Malam itu dingin sekali, rahmat Allah turun berupa titis-titis halus air dari langit. Bumi Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dibasahi gerimis.  Halaqah usrah berjumlah 6 orang di musollah ar-Rayyan itu sedang rancak membincangkan perihal al-Quran yang menjadi sumber rujukan pertama dalam Islam.

“Berbeza daripada sudut cara penurunannya. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur berbeza dengan Injil dan Taurat yang turun sekaligus.”  Luqman memberikan penjelasan.

“Kenapa tak turun sekaligus? Kan lebih mudah.” Si anak usrah bersungguh ingin tahu.

“Ha, ada sesiapa yang boleh jawab?” Luqman memberi peluang untuk anak usrahnya yang lain untuk menjawab.

“Hikmah disebalik penurunan al-Quran secara beransur-ansur ialah agar orang-orang Islam lebih mudah faham dengan wahyu yang diturunkan tu.”  Shakril memberikan jawapan.

“Ayat-ayat al-Quran turun setelah berlaku peristiwa-peristiwa tertentu dalam masyarakat Islam ketika zaman Rasulullah. Contoh mudah ialah ayat al-Quran yang menegah kita daripada solat dalam keadaan tidak sedar atau mabuk iaitu ayat 43, Surah an-Nisa’. Ayat ini turun setelah peristiwa seorang sahabat tersilap membaca ayat al-Quran kerana mabuk, tambah sikit, waktu tu arak belum diharamkan secara mutlak.” Luqman menambah jawapan Shakril.

“Oh, baru ana nampak hikmahnya.” Anak usrah yang bertanya tadi mengangguk kefahaman.

Ibrah Asbabun Nuzul dalam berdakwah

Sepanjang tempoh 23 tahun penurunan wahyu daripada Allah kepada Rasulullah, Allah telah menurunkan ayat-ayat al-Quran yang terutamanya berkaitan hukum syariat dengan berlatarkan peristiwa tertentu untuk memudahkan kefahaman umat Islam tentang ayat yang diturunkan.

Betapa Maha Bijaksananya Allah memahamkan hamba-hambaNya dengan wahyu yang diturunkan.

Sebab-sebab penurunan wahyu atau asbabun nuzul ini sebenarnya perlu diambil iktibar oleh kita dalam berdakwah. Menyemak kembali peristiwa-peristiwa asbabun nuzul, kita dapat mengkonklusikan bahawa sesuatu mesej yang ingin disampaikan itu perlu disampaikan kepada orang yang betul dan pada waktu yang tepat untuk meningkatkan keberkesan dakwah tersebut.

Contohnya, flyers dakwah mencegah pergaulan lelaki dan perempuan atau ikhtilat yang tidak syar’ie di tempat umum perlu disampaikan terus kepada si pelaku ketika perkara itu sedang berlangsung untuk impak yang lebih efektif.

Cuba bayangkan jika flyers dakwah tersebut sekadar diberikan kepada rakan-rakan sekelas atau sebilik yang mungkin tidak terlibatpun dengan aktiviti ikhtilat tersebut. Bukankah itu satu kerugian. Jika mereka terlibat sekalipun mungkin flyers itu hanya akan dipandang sepi dan akan mengambil tempatnya dalam bakul sampah kerana disampaikan pada waktu yang tidak tepat.

Research and Development dalam dakwah

Bicara tentang meningkatkan keberkesanan penyampaian dakwah maka kita tidak boleh lari dengan perkataan Research and Development atau RnD ringkasnya.

“Ana kagum melihat kemajuan Apple Inc. Sebab utama kemajuan mereka ialah kerana RnD sentiasa berada dibelakang mereka. ” Kata Bro Hafizul Faiz ketika saya berjumpa dengannya di Kafe HS, UIAM Gombak.

“Kita perlukan RnD dalam dakwah untuk tingkatkan keberkesanan dakwah. Contohnya, kalau kita nak sebar flyers dakwah kat Kafe HS ni pasal couple. Kita perlu ada orang yang turun buat kajian dulu di sini. Survey dulu. Waktu bila couple-couple ni berada di sini? Kebanyakannya pada hari apa? Dan lebih baik jika ada yang boleh tanya pendekatan dakwah yang bagaimana yang diingini oleh mad’u-mad’u ni.” Bro Hafizul Faiz bercerita dengan bersungguh-sungguh.

Jika sebuah syarikat besar seperti Apple Inc dan Microsoft Corp boleh melaksanakan RnD untuk memastikan matlamat duniawi mereka yang berupa keuntungan ekonomi dapat dicapai, maka adakah patut bagi kita yang berada di medan dakwah dengan bermatlamatkan redha Allah yang pastinya lebih besar daripada keuntungan ekonomi boleh bersikap sambil lewa dalam dakwah dengan tidak menjalankan RnD yang betul?

Kisah si pemancing

Seorang pemancing sedang menyiapkan kelengkapannya dengan begitu teliti untuk pergi memancing di laut. Jorannya dibersihkan, mata kail, ladung and umpan disediakan dengan jumlah yang patut, bekalan makanan dan ubat disiapkan, pisau pun dipastikan dibawa bersama dan bot untuk pergi ke tengah laut pun telah disewa.

Malangnya si pemancing tidak tahu masa ikan-ikan keluar dengan kitaran pasang-surut air laut. Dia sekadar membaling jorannya dan mengharap dapat membawa pulang hasil yang dipancingnya. Akibat waktu memancing yang tidak betul, si pemancing pulang dengan tangan kosong. 

Begitulah analogi para da’ie atau organisasi dakwah yang menjalankan kerja dakwah tanpa sebarang kajian yang dilakukan kepada teknik dan taktik dakwah, cara pendekatan atau keadaan mad’u mereka. Natijahnya, dana dakwah berkurang dan impak dakwah tidak terlihat.

Saturday 5 October 2013

Siapa sayap kirimu?


“Syeikh, ana ada benda nak tanya ni?” Syahmi datang duduk di sebelah saya.

“Apa dia?” Saya mengalihkan pandangan kepadanya.

“Antara dua jenis perempuan ini, mana satu yang enta pilih?” Wajahnya nampak serius.

“Pertama, dia jenis orang yang sedia baik. Yang kedua, dia sedang berubah jadi baik.” Dia meneruskan kata-katanya.

“Oh hal ni ka?” Saya tersenyum sambil melemparkan semula pandangan ke arah adik-adik yang berkumpul di Lecture Hall A.

“Kalau ana, ana pilih yang sedang berubah jadi baik tu.” Saya jawab dengan sedikit ukiran senyum di bibir.

“Kenapa?” Tanya dia kembali.

Semua baik agamanya?

Kita sering berfikir ciri-ciri perempuan yang bagaimanakah yang baik untuk dipilih menjadi peneman hidup atau dalam bahasa perjuangan dakwah dipanggil ‘sayap kiri’.

Di dalam sebuah hadis yang masyhur apabila berbicara topik ini, Rasulullah berpesan supaya kita mencari seseorang yang baik agamanya untuk berjaya. Hadis yang menyatakan seseorang perempuan dinikahi kerana empat perkara iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama itu yang diakhiri dengan saranan memilih yang beragama supaya berjaya.

Sebelum ini, beberapa asatizah telah menerangkan bahawa hadis ini tidak mengetepikan soal kecantikan paras rupa atau kekayaan harta benda atau kemuliaan keturunan untuk dijadikan kayu ukur  dalam pemilihan calon asalkan kayu ukur yang paling utama ialah agama. Jadi fahamilah tiada salahnya memilih yang cantik asalkan baik agamanya.

Walaupun setelah  membuat beberapa tapisan berdasarkan tunjuk ajar Rasulullah pastinya masih ada beberapa pilihan yang semuanya baik agamanya dan paras rupanya. Maka ketika itu akan timbul persoalan.

Mana satu perlu dipilih?

Maka ketika itu buatlah refleksi diri. Nilai semula diri. Di mana kita? Bagaimana diri kita? Siapa yang paling sesuai untuk kita?

Just find the modest

“Just find the modest girl. You know, maybe she not really good before, but Alhamdulillah she had changed. Before, maybe she not really aware about the aurah but now she had changed by fully cover her aurah.” Pesan Sheikh Daood Butt ketika saya menghadiri HEROES Conference di UIAM Gombak.

Ustaz Hasrizal dalam buku Aku Terima Nikahnya juga menyatakan perkara yang sama. Mungkin dia bukan seseorang yang bertudung seperti ustazah sekolah agama, sekadar bertudung bawal bidang 60 atau mungkin tudung bawal biasa tetapi dia ada keinginan untuk menjadi lebih baik dan itu pada saya sangat-sangat mahal harganya. Kerendahan hati yang dibawa oleh insan yang ingin berubah menjadi baik dan sedang berjihad dalam memperbaiki dirinya.

Kerendahan hati

“Sebab ana tahu di mana ana dan ana lebih selesa untuk terima yang ‘biasa-biasa’ saja.” Saya menjawab persoalan Syahmi.

Kami kini berpindah tempat duduk dari kerusi committee di depan dewan ke kerusi kosong dalam kawasan adik-adik peserta program Am I True Muslim?

Acara penutup bakal bermula.

“Yang ‘biasa-biasa’ bukan bermakna yang acuh tak acuh dengan suruhan agama tetapi seseorang yang mungkin datangnya daripada keluarga yang ‘biasa-biasa’ atau kita kata orang umum, ayah dan ibunya bukan ustaz dan ustazah. Sebab ana yakin dia bawa kerendahan hati dalam dirinya yang pada ana sangat mahal nilainya.” Saya menyambung lagi.

“MasyaAllah… Doakan ana ye?” Syahmi tersenyum panjang.

Saturday 28 September 2013

Sepiring Teh Seputar Memori


“Mana dia yang kami nak jaga tu?” Tanya seorang lelaki 50-an yang berwajah riang.

“Nanti dulu, budak tu belum lahir pun lagi.” Balas isterinya.

Mama sekadar tersenyum.

Kisah hampir dua puluh tahun lepas sentiasa diulang-ulang oleh mama setiap kali kami sekeluarga akan pergi menziarahi rumah Wan Ya, pengasuh saya ketika saya masih kecil.

“Cerita itu lagi.” Ridhwan, adik bongsu yang tercinta bersuara.

Mungkin dia pelik agaknya. Tertanya-tanya apalah yang terlalu istimewa tentang keluarga Wan Ya kepada saya, mama dan ayah sehinggakan setiap kali berziarah ke rumah Wan Ya yang terletak di Kampung Kijang itu pasti cerita sama akan diputarkan kembali.

Apa yang istimewa? Jawabnya segalanya.

“Abang tak mahu balik lagi.” Saya ketika berumur tiga tahun bersuara.

“Tak apa, tak apa. Balik la dulu, lepas maghrib nanti kami hantar dia balik.” Wan Ya memberitahu mama.

Sekitar pukul 5.15 petang, mama yang baru pulang daripada pejabatnya di Seberang Jaya akan datang menjemput saya di rumah Wan Ya untuk dibawa pulang ke rumah. Begitulah rutin hariannya ketika itu.

Tatkala umur saya masuk ke lingkungan tiga tahun dan sudah pandai berbicara. Sering saja saya enggan pulang ke rumah apabila mama datang menjemput pada waktu petang. Seronok tinggal di rumah Wan Ya. Saya dilayannya bagai cucu sendiri, ke hulu ke hilir sentiasa diusungnya. Sehinggakan penduduk-penduduk Kampung Kijang lebih mengenali saya daripada mama dan ayah kerana sering dibawa oleh Wan Ya berjalan-jalan pusing kampung.

“Panas la Wan. Macam mana nak minum?” Saya merungut.

Suatu pagi Wan Ya bawa saya pergi ke warung kopi.

“Uuh…. Panas ka?” Wan Ya menjawab.

Air teh susu yang telah dipesan itu tidak dapat saya minum kerana panas. Sekadar memerhati dengan penuh keinginan dan merungut kepada Wan Ya.

“Kalau panas, buat la macam ni.” Dia menuang air teh susu tersebut ke dalam piring.

“Tunggu sat, lepas tu minum la dari piring tu.”

Itulah kali pertama saya belajar cara hendak minum minuman yang panas. Tuangkan dalam piring kemudian minum. Penjelasan rasional tentang perbuatan itu hanya saya temukan setelah saya masuk ke tingkatan dua. Haba lebih mudah terbebas apabila nisbah pemukaan per isipadu bahan lebih besar. Wan Ya tidak masuk MRSM pun tetapi ilmu fizik itu telah dipraktiknya kepada saya tatkala saya masih belum kenal huruf-huruf.

Rumah saya dan Wan Ya ketika itu dekat sahaja. Kampung Kijang dan taman perumahan yang saya sekeluarga duduki hanya dipisahkan oleh sebatang jalan raya. Oleh kerana jarak yang dekat itulah yang menyebabkan saya suka tinggal di rumah Wan Ya sehingga malam.Ttidak mahu balik rumah sendiri.

Pada tahun penghujung tahun 1999, kami sekeluarga berpindah rumah dari Alma yang berada dalam mukim Bukit Mertajam ke Simpang Ampat yang berada dalam mukim Batu Kawan. Saya ketika itu sudah hampir berumur 6 tahun. Perpindahan kami menjadikan jarak saya dengan Wan Ya semakin jauh walaupun masih dalam negeri yang sama iaitu Pulau Pinang. Meskipun begitu hubungan kami tidak terputus. Sering sahaja saya sekeluarga berkunjung  ke rumahnya pada cuti sekolah, cuti umum dan hari raya.

Apabila masuk ke sekolah menengah, saya dan Wan Ya semakin jarang bertemu kerana saya tinggal di asrama. Risau jika hubungan saya dengan keluarga Wan Ya akan terputus atau timbul perasaan segan kerana lama tidak berjumpanya, maka saya pastikan saya keluarga akan menziarahinya apabila ada peluang ketika cuti.

“Tak lama lagi nanti boleh la mai sini sendiri dengan motor.” Gurau Wan Ya.

“Mana ada lesen lagi Wan.” Saya tersenyum.

Sesekali mata saya melirik melihat ayah. Ayah sekadar senyum. Faham benar saya dengan ayah. Dia memang tidak akan benarkan saya untuk tunggang motosikal selagi belum ada lesen.

Memori saya ketika dijaga oleh Wan Ya sangat istimewa. Kadang-kadang apabila sedih menghingap hati maka saya akan layarkan minda mengimbau kenangan ketika tinggal dengan Wan Ya. Kenangan manis itu selalu menjadi ubat kepada kesedihan saya.

Sekarang Wan Ya masih tinggal di rumahnya yang dahulu sedangkan kami telah dua kali berpindah rumah. Alhamdulillah, walaupun begitu hubungan kami masih tersambung.

Wan Ya ialah antara orang terpenting dalam hidup saya selain ayah dan mama. Orang yang turut sama mewarnai kehidupan saya ketika kecil. Sehingga hari ini saya masih menziarahinya ketika ada kelapangan dan insyaAllah akan terus-menerus menghubungkan tali kasih ini.

Saya bertekad apabila sudah berkeluarga nanti saya akan pastikan juga keluarga saya akan terus menyambung silaturrahim dengan keluarga Wan Ya. Saya mahu mereka turut sama mengenali insan yang berjasa dalam hidup saya ini.  

Terima kasih Wan Ya.

Wednesday 8 May 2013

Kenyataan ‘Tsunami Cina’ rencatkan Dakwah Islamiyyah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang….

Kenyataan bersifat perkauman yang dikeluarkan oleh beberapa media arus perdana pasca-PRU 13 sangat dikesali.

Kenyataan seperti ini bukan sahaja boleh mencetus ketegangan kaum bahkan boleh merencatkan perjalanan usaha dakwah Islamiyyah kepada Non-Muslim berbangsa Cina dan India yang sedia perlahan.

Dakwah kepada non-Muslim, kasih sayang yang meruntuhkan tembok prasangka antara kaum
Xifu Naser & Mu'adz Dzulkefly

Sebelum ini, saya pernah terbaca perbentangan kertas kerja K-FIQH Wasatiyy oleh Xifu Naser (Nama Sebenar: Abdul Naser Abdul Rahman), seorang pensyarah UIAM berbangsa Cina yang merupakan seorang mualaf. Beliau mengkritik sifat sebilangan masyarakat yang sering mengikat Melayu dengan Islam. Hal ini meyebabkan Islam dilihat sebagai hak eksklusif untuk orang Melayu dan orang Cina dan India yang tidak beragama Islam berapa asing dengan Islam. Fahaman mengeksklusifkan Islam kepada orang Melayu ini telah mengakibatkan pergerakkan dakwah Islamiyyah menjadi perlahan. Beliau tidak membawa contoh besar untuk membuktikan hal ini, hanyalah sebuah misalan daripada cerita Upin & Ipin.


Mengapa watak kanak-kanak bukan berbangsa Melayu seperti Mei Mei mesti digambarkan sebagai seorang non-Muslim? Salahkah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu watak seorang Cina beragama Islam dalam cerita yang bersifat mendidik kanak-kanak itu? Setidak-tidaknya Islam telah digambarkan sesuai untuk orang Cina.

Itu hanyalah satu contoh kecil. Banyak lagi peluang dakwah yang kita yang lepaskan. Sikap mengeksklusifkan Islam untuk orang Melayu akan terus merugikan umat Islam di negara ini.

Persoalan yang perlu kita tanyakan kepada diri ialah sampai bila masyarakat Melayu Islam mahu terus-menerus hidup dalam prasangka buruk terhadap orang Cina yang tidak beragama Islam di negara ini? Tidak habis-habis dengan ungkapan “Jangan bagi muka kat Cina, nanti jadi itu dan ini.”, “Bersatulah sesama Melayu atau nanti Cina akan berkuasa.” dan pelbagai lagi ayat bersifat perkauman. Ayuh pecahkan prasangka itu, ikhlaskan niat hidup bersama mereka dalam sebuah negara! Bawakan Islam kepada mereka, setidak-tidaknya persaudaraan Islam itu akan meruntuhkan tembok prasangka yang terbina hasil kejumudan doktrin perkauman.  
Islamkah ucapan Tahun Baru China ini? Bukan masalah dan tiada persoalan bagi saya.
Islam bukan khas untuk mana-mana bangsa. 
Pengurungan Islam di dalam pagar masjid ialah satu kesilapan, demikian juga menjauhkan Islam daripada bukan Islam. Islam bukan hanya untuk orang yang sedia Islam, Islam itu untuk semua bangsa sama ada yang sudah Islam atau yang belum Islam. Islam itu rahmat bagi sekalian alam.

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(al-Anbiya’: 107)

Kenyataan bersifat perkauman merencatkan dakwah

Kembali kepada isu asal. Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh media arus perdana selepas PRU 13 seperti ‘Tsunami Cina’ dan ‘Pengundi Cina Talam Dua Muka’ untuk mengulas beralihnya sokongan masyarakat Cina di negara ini daripada menyokong parti Barisan Nasional sangat merisaukan saya dan pastinya kenyataan ini menyakitkan hati masyarakat Cina di negara ini. Kenyataan ini akan mewujudkan ketegangan kaum yang sangat ingin dibendung sebelum ini dengan pelbagai usaha penyatu paduan kaum seperti slogan 1Malaysia dan pengharaman novel Interlok yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum. 

Apabila hubungan antara kaum ini terjejas,maka jurang persefahaman dan kasih sayang antara masyarakat Cina yang kebanyakannya masih belum mendapat nikmat hidayah Islam dengan masyarakat Melayu beragama Islam akan semakin melebar. Ini pastinya akan lebih menyulitkan dan memperlahankan lagi usaha dakwah yang sedia bergerak perlahan.  



Suasana aman juga sangat diperlukan untuk proses dakwah kepada non-Muslim. Sirah menceritakan bagaimana Perjanjian Hudaibiyyah telah mewujudkan satu tempoh keamanan berupa gencatan senjata 10 tahun yang telah memudahkan Islam tersebar ke seluruh semenanjung Arab. Bahkan hingga Rasulullah mampu menyampaikan risalah dakwah kepada Kaisar Rom, Kisra Parsi, Najasyi Habsyah dan Mauqaqis Mesir.  

Saya mengkritik sikap media arus perdana yang bermulut lancang dalam sebaran berita mereka. Seharusnya kita berhemah dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan. 

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. 

Saya berdoa agar suasana tegang antara kaum tidak berlaku supaya kelangsungan dakwah Islamiyyah kekal terpelihara walaupun dalam kelajuan yang perlahan. Seiring waktu marilah sama-sama kita tingkatkan pecutannya. Dakwah seharusnya berhikmah. 

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

(an-Nahl: 125)

WE STAND AGAINST RACISM

Sunday 3 February 2013

Kisah Luka Duka Syria (Bahagian 2)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Dalam artikel yang lepas, saya telah mengupas sedikit sebanyak punca Revolusi Syria dan kekejaman rejim Basyar al-Assad terhadap rakyat Syria. Kekejaman pemerintah Syria terhadap rakyatnya sebenarnya bukanlah satu coretan baru dalam lembaran diari negara itu. 

Sebelum ini telah pernah terjadi beberapa siri pembantaian oleh rejim pemerintah terhadap rakyat Syria. Antara pembantaian yang paling tragis ialah Peristiwa Hama yang berlaku selama 27 hari bermula pada 2 Februari 1982.

Refleks Sejarah: Peristiwa Hama

Peristiwa ini terjadi pada tahun yang sama dengan peristiwa pembantaian rakyat Palestin oleh Rejim Zionis di khemah pelarian Shabra dan Shatila. Pembantaian rejim pemerintah Syria dalam Peristiwa Hama ini telah berlaku di wilayah Hama atas arahan Presiden Syria ketika itu, Hafez al-Assad (bapa kepada Basyar al-Assad). Hafez al-Assad telah mengarahkan adiknya, Rifa’at al-Assad untuk mengepalai operasi pembantaian ini yang bertujuan untuk menghancurkan gerakan Ikhwanul Muslimin di Hama serta menghapuskan gerakan kebangkitan rakyat di sana.

Peristiwa Hama ini telah mengakibatan puluhan ribu nyawa menjadi korban. Berikut ialah perbandingan antara Peristiwa Hama dengan Peristiwa Shabra dan Shatila yang terjadi dalam tahun yang sama.

Keterangan
Peristiwa Hama                               
Peristiwa Shabra dan Shatila
Lokasi
Wilayah dalam negara Syria
Khemah Pelarian Palestin di Lubnan
Bilangan Kematian
10000 hingga 40000 orang
3500 hingga 5000 orang
Ketua Operasi
Rifa’at al-Assad
Ariel Sharon
Tempoh Operasi
27 hari
3 hari
Masa Operasi
2 hingga 28 Februari 1982
16 hingga 18 September 1982

Jika diteliti maka kita akan dapati seolah-olah tiada bezanya rejim pemerintah Syria ini dengan Rejim Zionis. Inilah hakikat yang berlaku lebih 30 tahun dahulu terhadap rakyat Syria dan hari ini peristiwa tersebut berulang lagi, bahkan hari ini bukan hanya berlaku di Hama tetapi hampir di seluruh Syria.

FSA: Penganas atau Pembela?

Jata Tentera Pembebasan Syria
Pada pertengahan 2011, Tentera Bebas Syria (B. Inggeris: Free Syrian Army, B. Arab: al-Jaisy as-Suri al-Hurr) atau lebih dikenali sebagai FSA telah ditubuhkan untuk melindungi rakyat Syria daripada kegilaan amukan rejim Basyar al-Assad. FSA yang sering digelar tentera pemberontak ini ditubuhkan oleh tentera-tentera Syria yang berpaling tadah daripada rejim pemerintah kerana tidak setuju dengan kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat Syria. FSA juga dianggotai oleh rakyat-rakyat Syria yang berusaha untuk membebaskan Syria dan para mujahidin daripada pelbagai negara Islam yang lain yang ingin membantu perjuangan rakyat Syria. Menurut laman web rasmi FSA, mereka tiada matlamat politik untuk menguasai pemerintahan Syria. Mereka hanya bercita-cita untuk menjatuhkan Diktator ‘peminum darah’ Basyar al-Assad.

Jelik dengan sikap kebanyakan media di Malaysia yang sering mengambarkan FSA sebagai pembawa masalah di Syria maka saya ingin memberikan sedikit gambaran mudah untuk menyingkap penipuan media ini. Jika anda menonton program Majalah Islam (episod: Syria Berdarah) di TV Al-Hijrah (satu-satunya media yang saya kira berani mendedahkan kekejaman Rejim Basyar al-Assad) maka anda akan dapati bahawa rakyat Syria yang hilang tempat tinggal dilindungi oleh FSA dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria disalurkan melalui FSA dan bukan melalui Kerajaan Syria pimpinan Diktator ‘Peminum Darah’, Basyar al-Assad. Ini sahaja sudah cukup untuk menilai siapa pengganas dan siapa pembela.     

Ulama’ bersama perjuangan rakyat Syria

Bendera Revolusi Syria
Banyak fatwa yang dikeluarkan oleh ulama’ dunia yang menyokong kebangkitan rakyat Syria memerangi rejim Basyar al-Assad. Antara ulama’ yang kuat menyokong kebangkitan rakyat Syria ialah Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni (Ketua Ikatan Ulama’ Syria), Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi (Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia), Prof  Dr Nasr Farid Wasel (mantan Mufti Besar Mesir) dan Syeikh Muhammad Abul Huda al-Ya’aqubi (Ulama’ Syria).

Hebatnya ujian Allah ke atas Bumi Syam (Syria)

Apa pandangan anda apabila ada seseorang yang hidup dalam kesusahan meminta kepada anda untuk mendoakan kebaikan bagi dirinya? Sudah tentu perkara tersebut lumrah. Namun apa pula pandangan anda apabila seseorang yang yang hidup dalam kepayahan meminta anda supaya tidak mendoakan dirinya tetapi mendoakan saudara seislamnya yang jauh lebih teruk ditindas? Pelik tetapi itulah hakikat yang berlaku. Itulah yang diungkapkan oleh wakil Kerajaan HAMAS, akh Ahmed Ayesh an-Najjar.  “Please pray for our brothers in Syria, they suffer worse than us. Please, please, please. I beg you to pray for them, do not pray for us but pray for them and them only.”

Indah sungguh ithar yang diajar oleh Islam. Namun kata-kata Abu Ayesh ini juga memberikan gambaran betapa teruknya keadaan di Syria. Jika di Gaza, siri-siri pertempuran berlaku dalam satu tempoh yang tertentu kemudian diselangi dengan beberapa tempoh gencatan senjata (walaupun dilanggar oleh Rejim Zionis secara kecil-kecilan). Namun di Syria, pertempuran yang berlaku tidak pernah berhenti. Sehingga artikel ini ditulis, konflik berdarah Syria ini telah berlarutan melebihi tempoh 22 bulan dan bakal genap 2 tahun pada 18 Mac ini jika pertempuran tidak berakhir.
Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni
Ketua Kesatuan Ulama’ Syria, Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni berkata dalam tazkirahnya bahawa apa yang berlaku di Syria hari ini ialah satu ujian daripada Allah s.w.t. Hal ini kerana Allah menginginkan kebaikan kepada mereka, agar Allah mengambil sebahagian daripada mereka sebagai syuhada’. Allah s.w.t. berfirman:  

“… dan agar Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim.”

(al-‘Imran: 140)

Allah menggunakan perkataan yattakidza dalam ayat ini untuk mengambarkan bahawa para syuhada’ yang gugur pada jalanNya ialah dalam kalangan orang-orang pilihanNya.

... agar sebahagian kamu di jadikanNya (gugur sebagai) syuhada'. (3:140) 
Selain itu Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni juga beberapa kali mengatakan kepada akh Ahmed Ayesh an-Najjar bahawa kemenangan semakin hampir dan akan tiba masanya untuk rakyat Syria pergi melawat ke Palestin bagi membantu perjuangan rakyat Palestin menentang Rejim Zionis.

Sesungguhnya apa yang berlaku di Syria hari ini ialah salah satu tanda daripada tanda-tanda kemenangan Islam di akhir zaman yang djanjikan oleh Allah s.w.t.

Ujian yang bertimpa-timpa

"sama ada kami jadikan Syria ini syurga atau kami yang akan menuju ke syurga"
Sungguh berat ujian yang menimpa rakyat Syria. Menurut Syeikh Samir Saqqa, Syria sudah mula memasuki musim sejuk ketika awal disember yang lalu dan keadaan ini berterusan hingga sekarang (Februari). Bayangkanlah dalam keadaan sejuk yang menggigit, sebahagian rakyat Syria tiada rumah untuk didiami kerana rumah mereka dibom oleh Rejim Basyar al-Assad. Mereka tiada pakaian tebal untuk menyelimuti mereka ketika musim sejuk ini. 

Rejim Basyar al-Assad pula dibantu oleh oleh dua kuasa Komunis dunia – Rusia dan China, untuk terus membantai rakyat Syria. Selain itu, Rejim Basyar al-Assad juga mendapat sokongan daripada pakatan Syiah – Republik Iran dan Hizbullah dari Lubnan.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebajiikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. …”

(al-Baqarah: 286)

Itulah peringatan daripada Allah kepada orang-orang yang diuji olehNya. Kepada kita pula selaku saudara mereka, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)       

Oleh itu, marilah kita sama-sama membantu saudara kita di Syria, sama ada dengan bantuan dalam bentuk material seperti kewangan dan pakaian-pakaian tebal atau bantuan dalam bentuk doa kita kepada mereka.(Refleksi diri: Yang memberikan nasihat ini perlu lebih membuat apa yang dinasihatkan ini.)

Terdapat beberapa NGO yang menyalurkan bantuan kemanusian ke Syria seperti Syria Care dan IKRAM. Anda boleh salurkan bantuan anda melalui mereka.

Selain itu, sebarkan juga maklumat tentang isu Syria ini kerana ramai di antara kita yang masih ‘rabun’ tentang isu ini ditambah lagi dengan putar belit beberapa media di Malaysia. Saya cadangkan kepada anda untuk like dua page ini di Facebook untuk mendapatkan maklumat semasa tentang isu Syria:

1. Rakyat Malaysia Bersama Revolusi Syria (http://www.facebook.com/Malaysia.Syria)

2. Syria Care: Pertubuhan Penyayang Islam Membantu Syria (http://www.facebook.com/syria.care)

Semoga Allah merahmati bumi Syam…