Friday 28 September 2012

HAMAS

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

HAMAS. Familiar dengan nama ini? Nama yang sangat sinonim dengan bumi Palestin.

Siapa HAMAS?

HAMAS ialah satu gerakan pertahanan Islam yang berjuang menjaga kebajikan rakyat Palestin, membebaskan bumi Palestin yang dijajah oleh Rejim Zionis dan mempertahankan kesucian Masjidil Aqsa. HAMAS ialah akronim bahasa arab kepada Harakat al-Muqawamah al-Islamiah yang bermaksud Gerakan Pertahanan Islam (Bahasa Inggeris: The Islamic Resistance Movement). Mungkin bagi individu-individu yang tidak mengenali HAMAS secara jelas akan melabelkan gerakan ini sebagai gerakan yang ekstrem kerana gerakan bersenjata mereka untuk melawan Rejim Zionis dan ketegasan mereka yang tidak akan mengiktiraf negara Israel yang dibina di atas tanah Palestin. Memang benar HAMAS mempunyai sayap bersenjata yang diberi nama Briged Izzuddin al-Qassam, tetapi itu tidak membuktikan HAMAS sebagai pengganas. Kupasan tentang persoalan adakah HAMAS ganas & ekstrem  akan di ulas selepas ini.

Sejarah Penubuhan HAMAS

Logo Harakat al-Muqawamah al-Islamiah, HAMAS
HAMAS berasal daripada gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Gaza yang berjuang di medan senjata untuk menentang penjajahan Zionis di bumi Palestin. (Penting untuk diketahui bahawa selepas Perang 1948, peratusan wilayah yang besar di Palestin telah diberikan kepada Yahudi Pendatang untuk membina Negara Israel dan rakyat Palestin yang merupakan peribumi telah diusir daripada tanah air mereka sendiri. Peratusan wilayah yang berbaki iaitu Gaza dan Tebing Barat telah diletakkan masing-masing dibawah pemerintahan Mesir dan Jordan.) Semasa pemerintahan Presiden Jamal Abdul Naser di Mesir, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Gaza telah diberikan tekanan. Oleh hal demikian, Ikhwanul Muslimin di Gaza telah bergerak secara ‘underground’ untuk mengelakkan ancaman daripada Rejim Naser. Seterusnya, mereka menumpukan aktiviti mereka untuk merekrut ahli-ahli baru bagi pembinaan generasi baru yang lebih mantap untuk membebaskan Palestin. Mereka menumpukan usaha pembinaan masjid dan mengumpulkan pemuda-pemuda di masjid.  Hasil pembinaan generasi ini kemudiannya menampakkan hasil, fikrah Ikhwanul Muslimin dibawa masuk ke universiti-universiti. Akhirnya pada tahun 1987 HAMAS telah ditubuhkan serentak dengan seruan Intifadah pertama. HAMAS ditubuhkan pada 8 Disember 1987 oleh Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi, Komander Syeikh Salah Syahadah, Abdul Fatah Dukhan, Muhammad Syama’, Dr. Ibrahim al-Yazur dan Isa an-Najjar. Mudahnya HAMAS ialah ‘evolusi’ kepada Ikhwanul Muslimin di Gaza yang memperjuangkan kebebasan Palestin, kebajikan rakyat Palestin dan kesucian Masjidil Aqsa.

Perjuangan di awal penubuhan

HAMAS sejak awal penubuhannya telah memilih cara bersenjata untuk menentang penjajahan Zionis Israel ke atas tanah Palestin. Mereka memilih jalan ini ketika PLO semakin lunak dengan Zionis Israel. Sayap persenjataan yang pertama ditubuhkan oleh HAMAS ialah Briged al-Mujahidun al-Falastiniyun sebelum membentuk Briged Izzuddin al-Qasssam yang lebih tersusun gerakan penentangannya. Komander Syeikh Salah Syahadah telah mengetuai pergerakan sayap ketenteraan HAMAS ini. Briged Izzudin al-Qassam banyak melakukan serangan balas keatas setiap tindakan biadap tentera Rejim Zionis Israel kepada rakyat Palestin. Strategi-strategi penentangan yang dirancang berkesan membantutkan usaha Zionis Israel untuk meluaskan lagi pencerobohan ke atas bumi Palestin. Rejim Zionis yang telah lama bersenang-lenang  selepas penentangan bersenjata mula dihentikan oleh negara-negara Arab sekeling telah dikelam-kabutkan semula dengan kehadiran Briged Izzuddin al-Qassam ini.   

HAMAS hari ini

HAMAS telah memenangi Pilihan Raya Majlis Legislatif Palestin pada 2006 dan diberi mandat untuk membentuk kerajaan Palestin. Bagaimanapun keputusan rakyat Palestin memilih HAMAS sebagai kerajaan melalui sistem demokrasi ini tidak dihormati oleh Amerika dan Kesatuan Eropah. Mereka bagai ingin menghukum rakyat Palestin yang memilih HAMAS sebagai kerajaan dengan memberikan sekatan ekonomi kepada kerajaan HAMAS. Padahal HAMAS telah dipilih oleh rakyat Palestin melalui sistem yang dilaung-laungkan oleh Barat dan Eropah sebagai sistem yang adil untuk memberikan hak bersuara kepada rakyat iaitu sistem demokrasi. 

Walaupun HAMAS telah menjadi kerajaan di Palestin, ini tidak bermakna HAMAS akan bersikap lunak dengan Zionis Israel dengan meninggalkan perjuangan bersenjata dan seterusnya mengiktiraf Israel. HAMAS kekal dengan prinsip perjuangannya untuk membebaskan bumi Palestin seluruhnya dan tidak sesekali mengiktiraf Israel. Hal ini ditegaskan oleh para pemimpin HAMAS seperti Ismail Haniyyeh (Perdana Menteri Palestin kini), Mahmoud Zahhar dan Ketua Biro Politik HAMAS, Khalid Mish’al.    

Adakah HAMAS pengganas?

Media Barat yang umumnya diketahui pro-Zionis pastinya mencanangkan HAMAS sebagai satu pertubuhan pengganas. Hakikatnya HAMAS bukanlah ekstrem dan ganas seperti yang dicanangkan. HAMAS yang berasal daripada Ikhwanul Muslimin mempunyai perjuangan yang yang berbentuk menyeluruh dan selari dengan tasawwur Islam yang lengkap dan meliputi seluruh bidang kehidupan. HAMAS tidak semata-mata terkongkong dalam medan pertempuran bersenjata tanpa meraikan tuntutan kehidupan umat yang sebenar. HAMAS ialah pergerakan yang komprehensif meliputi bidang politik, sosial, kerohanian, ekonomi, jasmani (sukan), intelek, ketenteraan dan lain-lain. HAMAS lebih dikenali sebagai pertubuhan kebajikan oleh rakyat Palestin berbanding pertubuhan pengganas yang dicanang Zionis dan pengikut-pengikut mereka. Hal ini kerana HAMAS disamping perjuangan bersenjata melawan Zionis mereka juga bergerak di lapangan politik, kebajikan dan lain-lain untuk rakyat Palestin.

Mungkin ada akan bertanya kenapa HAMAS tetap tidak mahu mengiktiraf Israel. Bagi menjawab pertanyaan itu mungkin analogi ini boleh membantu, sebuah rumah(tanah rakyat Palestin) dimasuki perompak(Zionis Israel) dan kemudian perompak itu mengisytiharkan kepada tuan rumah (rakyat Palestin) bahawa sebahagian besar kawasan rumah itu milik perompak itu dan hanya kawasan tertentu sahaja menjadi milik tuan rumah. Adakah wajar kita mengiktiraf ‘hak’ perompak itu ke atas rumah yang dirompak? Tentu sekali jawapannya TIDAK.

Mungkin ada pula yang bertanya kenapa HAMAS memilih penentangan bersenjata, tidak bolehkah melalui rundingan damai. Sebenarnya HAMAS sangat mengalu-alukan rundingan damai tetapi masalahnya semua rundingan damai yang ditaja oleh Barat bersifat berat sebelah dan menguntungkan Zionis Israel seperti Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993. HAMAS juga pernah mencadangkan satu tempoh gencatan senjata yang panjang (hudna) antara HAMAS dengan Zionis Israel tetapi ditolak oleh Zionis Israel kerana usul HAMAS itu memerlukan komitmen kedua-dua pihak dan semestinya Zionis Israel tidak bersedia untuk memberikan komitmen kerana itu memang sifat mereka. Selain itu, perlu dijelaskan disini bahawa penentangan bersenjata HAMAS mempunyai sasaran yang jelas iaitu memerangi Zionis Israel dan golongan yang menyokongnya.  HAMAS tidak memerangi orang-orang Yahudi dan tidak pula memusuhi agama Yahudi tetapi HAMAS memerangi orang yang merampas tanah Palestin, membunuh ramai rakyat Palestin, mengancam Masjidil Aqsa dan menyahudikan kota Baitul Maqdis iaitu Zionis Israel. HAMAS sangat teliti dalam menumpukan senjata mereka kepada musuh mereka yang sebenar iaitu Zionis Israel. Ini menjadi sebab HAMAS tidak meluaskan penentangan bersenjata ke luar Palestin. 

Tokoh-tokoh HAMAS

As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin
As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin – Syeikh Ahmad Yassin atau juga dikenali sebagai Syeikh Palestin ini merupakan murabbi yang menjadi pembina generasi mujahidin Palestin yang terdiri daripada para pemuda Palestin. Beliaulah yang sentiasa menjadi peniup semangat kepada pemuda-pemuda palestin untuk terus berjuang mempertahankan bumi Isra’ ini. Pejuang di atas kerusi roda ini sangat digeruni Zionis Israel sehingga mereka perlu menggunakan cara paling pengecut untuk membunuh syeikh yang lumpuh ini dengan melancarkankan peluru Hellfire yang daripada helikopter Apache untuk membunuhnya. As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin kembali ke rahmatullah pada 22 Mac 2004 dengan membawa hujah bersamanya untuk dibentangkan di Hari Pembalasan bahawa beliau telah berjuang semampunya untuk membela kesucian Masjidil Aqsa.

As-Syahid Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi – Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi ialah salah seorang pengasas HAMAS. Beliau ialah genius yang telah membantu perjuangan HAMAS. Lulusan Sarjana Peditriasi (Perubatan Kanak-kanak) Universiti Iskandariah ini telah berjaya membina mimpi ngeri kepada Rejim Zionis. Kefasihannya dalam bahasa Inggeris telah menjadikan beliau sering kunjungi wartawan ketika berada dalam tempoh pengusiran di Selatan Lubnan, dengan itu beliau telah menjadi lidah kepada HAMAS untuk menjelaskan apa yang diperjuangkan HAMAS kepada dunia. Pada 17 April 2004, pembela al-Quds ini menyambut panggilan pulang Ilahi dengan hadiah syahid daripadaNya selepas beliau dibedil oleh roket daripada helikopter Apache milik Rejim Zionis.

Khalid Mish'al, Ketua Biro Politik HAMAS

Khalid Mish’al – Khalid Mish’al ialah Ketua Biro Politik HAMAS, sebelum ini beliau pernah tinggal di Jordan dan bertanggungjawab mengumpul dana untuk kebajikan rakyat Palestin. Wang yang disalurkan melalui dana ini digunakan untuk kebajikan rakyat Palestin seperti membina masjid, sekolah dan klinik dan aktiviti-aktiviti kebajikan.

Ismail Haniyyeh, Perdana Menteri Palestin
Ismail Haniyyeh – Ismail Haniyyeh ialah Perdana Menteri Palestin kini yang menerajui kerajaan Palestin di Gaza. Beliau dilantik sebagai ketua kempen-kempen HAMAS semasa pilihan raya dan diberi amanah untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan yang baru selepas HAMAS memenangi pilihan raya . Beliau mempunyai hubungan rapat dengan as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin.

HAMAS bukanlah pertubuhan yang bergantung kepada populariti pemimpinnya, buktinya HAMAS tidak goyah walaupun selepas pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi bahkan HAMAS tidak kering untuk melahirkan generasi pelapis penyambung perjuangan. Nama-nama yang disebut di atas cuma sebahagian daripada individu-individu yang berada dalam HAMAS. Hakikatnya masih ramai lagi nama-nama yang tidak disebut yang turut sama dalam jihad mempertahankan bumi al-Quds ini.

*

Di akhir post panjang saya tentang HAMAS ini, saya ingin mengajak pembaca berdoa untuk keselamatan umat Islam di Palestin, Syria, dan Rohingya serta doa untuk usaha pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Tidak lupa juga menyedekahkan al-Fatihah kepada para mujahidin pembebas al-Quds dan mujahidin di tempat lain di serata dunia yang telah kembali menyahut seruan Ilahi.

Al-Fatihah…
   

Friday 21 September 2012

Ada Aku Kesah?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Insan bernama A menceritakan kepada roommatenya tentang perkembangan isu Politik di Mesir, “Alhamdulillah, calon Islamis daripada parti FJP atau Ikhwanul Muslimin, Dr Muhammad Mursi dah menang pada pilihan raya Mesir mengalahkan calon fulul, Ahmed Syafiq.” Lalu roommatenya menjawab “Tak payah la kita sibuk-sibuk hal politik ni, fokus pada apa yang kita belajar sudah la.” Kata-kata bernada selamba itu terus meng’hempap’ semangat si A untuk terus bercerita tentang perkembangan Politik Mesir kepada roommatenya.
Dr Muhammad Mursi, Presiden Mesir yang baru.
*

B memulakan ‘sembang petang’nya bersama C dan D, “Cuba teka, ada berapa planet dalam sistem dalam sistem suria?” tanya B kepada C dan D. “Dia dah mula dah, mesti lah ada 9 planet.” jawab D sambil mempersenda B.  “Mana ada 9, sekarang ada 8 buah planet lah dalam sistem suria dan 5 planet kerdil.” jawab B dengan nada agak tinggi. C dan D kemudian terlopong.
Ceres, Makemake, Eris, Pluto & Haumea (tiada dalam gambar) planet-planet kerdil dalam Sistem Suria 
Planet-planet di Sistem Suria
*


Weh, malam ni ada diskusi umum tajuk Isu Umat Islam Rohingya dan Syria kat Lecture Hall A. Jom la kita pegi.” Si E mengajak roommate-roomatenya. “Tak minat la bro, baca update pasal isu tu kat FB sudah la.” jawab F manakala yang lain tiada respon, sedang kusyu’ buat assignment barangkali.
*


Mungkin ramai yang pernah mengalami ‘deja vu’ di atas, sama ada yang berada di posisi orang yang cakna atau di posisi ‘ada aku kisah’. Sebagai seorang individu muslim kita seharusnya cakna ataupun ambil tahu tentang hal-hal semasa. Bukanlah saya menyuruh kita buat research teliti untuk tahu semua hal yang berlaku di dunia ini, tetapi sekurang-kurangnya kita ambil peduli isu-isu yang sedang berlaku. Mungkin sahaja ada orang yang kurang minat terhadap isu-isu tertentu macam politik atau ekonomi, tetapi jangan jadikan kekurangan minat kita itu sebagai sebab untuk kita menghidap sindrom AKU TIDAK PEDULISME (terma yang digunakan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil), iaitu tidak ambil tahu langsung. Kalau kita sebagai pelajar atau mahasiswa, janganlah kita menjadi ‘pendrive’ yang hanya tahu import maklumat pelajaran kita ke dalam otak. Kalau sebagai pekerja, jangan pula kita menjadi ‘mesin’ yang tahu tentang hal kerjanya sahaja. Kita manusia, makhluk yang di kurniakan akal oleh Allah SWT maka gunakan akal kita sebaik-baiknya.

Disini ingin saya kongsikan perbualan saya bersama senior saya Bro Helmey tentang Cakna Isu Semasa. “Ana rasa ramai lagi sahabat-sahabat kita yang tak kisah dengan perkembangan semasa, depa anggap isu semasa tu tak penting pun untuk di ambik tahu.” kata saya kepada Bro Helmey. “Umm… memang kebanyakannya macam tu la, sebenarnya dalam Islam pun ada suruh kita ambil tahu hal semasa. Ana biasa dengar satu ceramah yang hurai pasal ayat dalam surah ar-Rum, ayat yang cerita pasal peperangan antara tentera Rom dengan tentera Parsi. Dalam huraian tu sebut hikmah daripada turunnya ayat ni, maknanya Allah nak kita ni ambik tahu apa yang sedang berlaku kat sekitar kita.” balas Bro Helmey. “Betul gak macam tu, kalau kita fikir balik isu pasal perang antara Rom dengan Parsi apa kaitan utamanya dengan dakwah nabi kat semenanjung Arab kan.” respon saya semula.  
*


Bangsa Romawi telah dikalahkan,
Di negeri yang terdekat dan mereka setelah kekalahannya itu akan menang,
Dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah –lah urusan sebelum dan setelah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman,
kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang Dia kehendaki. Dia Maha Perkasa, Maha Penyayang.
(ar-Rum: 2-5)
 
*


Caknalah kita, terutama terhadap isu-isu ummah seperti Isu Palestin dan rakyat-rakyatnya, Isu Umat Islam Rohingya dan Isu Umat Islam di Syria. Cintailah saudara seaqidah kita, hulur semampu yang kita boleh. Sesungguhnya Rasulullah bersabda, mafhumnya:

Daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a., pembantu Rasulullah s.a.w., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)   

Ayuh muslimin, tinggalkan sindrom AKU TIDAK PEDULISME.    



Saturday 15 September 2012

Wahai Da’ie=Blogger, Tajdid Niatmu Semula!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a. berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana (ingin) mendapatkan  keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan dinilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Post ini dimulakan dengan hadis tentang niat supaya menjadi tazkirah buat dirimu agar sentiasa membetulkan niatmu dalam berblog iaitu untuk menyebarkan dakwah kerana Allah. Boleh sahaja niat hatimu terpesong akibat ‘serangan’ dunia yang tidak pernah luntur, maka post ini untuk mengingatkan dirimu semula agar engkau sentiasa membetulkan niatmu iaitu untuk mencari redha-Nya. Ikhlas itu amat sukar, hanya Allah mampu menilainya.  Aku tahu mungkin ramai sahaja da’ie= blogger yang menjadi terkenal kerana tulisan blog mereka tapi janganlah kamu jadikan terkenal itu sebagai niatmu. Ikhlaslah wahai diriku, dunia ini hanya sementara dan akhirat jualah tempat kembali yang kekal. Allah berfirman dalam al-Quran; mafhumnya:

Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.

(al-Ankabut: 64)

Wahai diriku, ingatlah setiap amalan kita akan dihisab kelak maka persiapkanlah amalanmu. Wahai diriku, jadilah dirimu orang yang melaksanakan setiap nasihat dan kata-katamu. Ingatlah, Allah berfirman; mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 
(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. 
(as-Saff: 2-3)

Akhir, berjuanglah kamu pada jalan Allah dengan niat yang betul semoga engkau bertemu kejayaan.

~ Daripada aku dirimu, untukmu diriku ~

Muqaddimah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi Allah dan Tiada tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar. Syukur dipanjatkan kepadaMu ya Allah atas segala nikmat, limpah kurnia dan rahmatMu kepada hambaMu ini.  Selawat dan salam ke atas junjungan  besar Nabi Muhammad s.a.w. , sebagai tanda kasihku kepadanya, dialah Rasulullah yang tidak kenal erti putus asa dan penat lelah dalam dakwah baginda. Tidak lupa juga doa semoga dirahmati Allah kepada para da’ie yang ikhlas pada jalanNya daripada golongan para sahabat, tabi’in dan seterusnya sehinggalah para penyambung perjuangan rasul pada abad ke-21 ini.

Alhamdulillah atas rahmatNya dapat saya memulakan tapak pertama saya dalam dunia blog untuk menyebar luaskan lagi dakwah dengan fokusnya kepada menyebarkan idea pemikiran seorang muslim untuk dikongsikan dengan pembaca semua. Fikrul Muslim ialah nama yang telah saya pilih untuk blog ini selepas membelek beberapa perkataan dalam kamus bahasa Arab. Fikr ialah perkataan Arab yang bermaksud pemikiran dan al-Muslim pula bermaksud orang Islam, jadi Fikr al-Muslim atau Fikrul Muslim ini ialah blog yang saya cita-citakan untuk menyampaikan cetusan-cetusan minda berpaksikan Islam supaya pembaca-pembaca dapat menghayati semula cara kita berfikir pada hari ini yang mungkin telah dikeruhkan dengan acuan-acuan seperti sekularisme, materialisme atau idealime-idealisme lain yang direka-reka oleh musuh Islam untuk mengaburkan pemikiran asal umat Islam yang sepatutnya berasaskan Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Tulisan-tulisan dalam blog ini jauh sekali daripada kesempurnaan, hanya ditulis oleh seorang hamba yang juga sedang sentiasa membaiki diri tetapi inilah usaha yang termampu dibuat oleh diri ini untuk membantu perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi.  Firman Allah SWT; mafhumnya:

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. 
(at-Taubah: 41)

Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.
(az-Zariyat: 55)

Segala yang baik maka ambillah manakala yang buruk pula maka tinggalkanlah. Saya juga mengalu-alukan sebarang teguran atau kritikan membina sebagai tazkirah kepada saya dalam usaha kerdil saya ini.

Sekian sahaja muqadimmah daripada saya ini, selamat membaca kepada para pembaca dan semoga beroleh kebaikan daripadanya. InsyaAllah…..