Saturday 15 September 2012

Muqaddimah


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi Allah dan Tiada tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar. Syukur dipanjatkan kepadaMu ya Allah atas segala nikmat, limpah kurnia dan rahmatMu kepada hambaMu ini.  Selawat dan salam ke atas junjungan  besar Nabi Muhammad s.a.w. , sebagai tanda kasihku kepadanya, dialah Rasulullah yang tidak kenal erti putus asa dan penat lelah dalam dakwah baginda. Tidak lupa juga doa semoga dirahmati Allah kepada para da’ie yang ikhlas pada jalanNya daripada golongan para sahabat, tabi’in dan seterusnya sehinggalah para penyambung perjuangan rasul pada abad ke-21 ini.

Alhamdulillah atas rahmatNya dapat saya memulakan tapak pertama saya dalam dunia blog untuk menyebar luaskan lagi dakwah dengan fokusnya kepada menyebarkan idea pemikiran seorang muslim untuk dikongsikan dengan pembaca semua. Fikrul Muslim ialah nama yang telah saya pilih untuk blog ini selepas membelek beberapa perkataan dalam kamus bahasa Arab. Fikr ialah perkataan Arab yang bermaksud pemikiran dan al-Muslim pula bermaksud orang Islam, jadi Fikr al-Muslim atau Fikrul Muslim ini ialah blog yang saya cita-citakan untuk menyampaikan cetusan-cetusan minda berpaksikan Islam supaya pembaca-pembaca dapat menghayati semula cara kita berfikir pada hari ini yang mungkin telah dikeruhkan dengan acuan-acuan seperti sekularisme, materialisme atau idealime-idealisme lain yang direka-reka oleh musuh Islam untuk mengaburkan pemikiran asal umat Islam yang sepatutnya berasaskan Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Tulisan-tulisan dalam blog ini jauh sekali daripada kesempurnaan, hanya ditulis oleh seorang hamba yang juga sedang sentiasa membaiki diri tetapi inilah usaha yang termampu dibuat oleh diri ini untuk membantu perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi.  Firman Allah SWT; mafhumnya:

Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. 
(at-Taubah: 41)

Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.
(az-Zariyat: 55)

Segala yang baik maka ambillah manakala yang buruk pula maka tinggalkanlah. Saya juga mengalu-alukan sebarang teguran atau kritikan membina sebagai tazkirah kepada saya dalam usaha kerdil saya ini.

Sekian sahaja muqadimmah daripada saya ini, selamat membaca kepada para pembaca dan semoga beroleh kebaikan daripadanya. InsyaAllah…..



No comments:

Post a Comment