Thursday 13 December 2012

Ada Apa dengan Palestina? (Bahagian 1)



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(al-Isra’: 1)

Post ini merupakan beberapa catatan saya daripada dua program tentang Palestin yang saya hadiri. Semoga perkongsian beberapa bingkisan informasi yang kerdil ini sedikit sebanyak mampu menjadi input baru atau peringatan semula kepada minda anda tentang isu Palestin ini, dengan izin Allah s.w.t.

4 Disember 2012

Nama Program: The Gaza New Treaty: Who Won? (Forum)
Tempat: Al-Malik Faisal Hall, CFS IIUM

Program dimulakan dengan bacaan doa dan bacaan beberapa potong ayat al-Quran. Forum yang berlangsung hampir dua jam itu banyak memfokuskan kepada peristiwa operasi Pillar of Cloud yang dilakukan oleh Rejim Zionis ke atas Gaza pada awal tahun 1434 H ini.

Lambang Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam
Punca pergolakkan baru-baru ini berpunca daripada pembunuhan Second in-Command Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam, Ahmad al-Jabari oleh tentera Rejim Zionis. Target killing yang dibuat ke atas as-Syahid Ahmad al-Jabari telah mencabar kewibaan kerajaan HAMAS di Gaza lantas menyebabkan HAMAS melalui sayap ketenteraannya, Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam melancarkan serangan balas ke atas wilayah Palestin 1948 yang diduduki Rejim Zionis (nota: Palestin 1948 ialah wilayah Palestin yang diduduki oleh Rejim Zionis dan didakwa sebagai negara Israel, terma ini digunakan oleh pihak yang tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel di atas tanah Palestin).

Serangan yang dibuat oleh Rejim Zionis dikatakan bertujuan untuk menghentikan serangan roket-roket kecil HAMAS yang dilancarkan sebelum itu ke atas wilayah Palestin 1948. Dengan objektif ini mereka membuat serangan roket ke atas Ahmad al-Jabari selaku orang kedua tertinggi dalam Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam  agar serangan roket-roket kecil itu dapat dihentikan.

Mengapa orang kedua, bukan orang pertama?

Betulkah HAMAS memulakan serangan roket-roket kecil ke atas wilayah jajahan Israel?

Mungkin ini yang bermain di minda anda bukan?

Mengapa orang kedua, bukan orang pertama?

as-Syahid Ahmad al-Jabari
Hal ini kerana, Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam mempunyai budaya kerja yang elit. Identiti First in-Command mereka ialah rahsia. Ini menyebabkan Rejim Zionis hanya mampu membunuh Second in-Command, iaitu Ahmad al-Jabari yang selalu kelihatan pada umum.

Identiti Ahmad al-Jabari agak menonjol di khalayak umum kerana beliau banyak kali muncul untuk mewakili Briged as-Syahid Izzudin al-Qassam, seperti ketika proses pembebasan seorang askar Rejim Zionis, Gilad Shalit sebagai tukaran kepada pembebasan sejumlah rakyat Palestin yang berada dalam tahanan Rejim Zionis pada Februari yang lalu. Identiti Ahmad al-Jabari yang menonjol ini telah memudahkan pihak Rejim Zionis melakukan target killing ke atas beliau.

Betulkah HAMAS memulakan serangan roket-roket kecil ke atas wilayah jajahan Israel?

Memang inilah yang diberitakan oleh media, tetapi perlu diingati bahawa kebanyakan media perdana dikuasai oleh golongan mereka juga.

Penting untuk dinyatakan di sini bahawa sebelum berlaku serangan roket daripada pihak HAMAS ini, sebanyak 65 kematian telah dicatat di pihak warga Palestin angkara tindakan tentera Rejim Zionis.

Maka serangan roket-roket kecil itu ialah sebagai tindakkan balas HAMAS untuk membela rakyat Palestin. Roket-roket kecil HAMAS ini pula tidak setanding mana pun jika dibandingkan dengan sistem pertahanan Israel yang maju, bahkan kerosakan dipihak Israel yang disebabkan oleh roket-roket kecil ini hanyalah sedikit.

Pillar of Cloud

Peta Genting Gaza
Operasi tentera Rejim Zionis kali ini di kenali sebagai Pillar of Cloud, operasi ini bertujuan untuk membolehkan mereka melumpuhkan Genting Gaza dan seterusnya menghapuskan HAMAS.

Hal ini kerana operasi Cast Lead pada 2009 dilihat gagal untuk melumpuhkan rakyat Gaza dan memusnahkan HAMAS. Dengan bantuan Allah s.w.t., Cast Lead pada awal 2009 gagal memusnahkan Gaza dan HAMAS walaupun Genting Gaza dikepung dan pintu Rafah yang bersempadan dengan Mesir ditutup rapat oleh Diktator Mesir, Hosni Mubarak.
Operasi Pillar of Cloud ini telah dijadikan oleh Rejim Zionis sebagai medan demonstrasi dan promosi sistem pertahanan baharunya yang dikenali sebagai Iron Dome (Kubah Besi) disamping sebagai modal pilihan raya oleh Perdana Menteri Israel sekarang, Benjamin Netanyahu untuk Pilihan Raya Umum Israel nanti pada Januari 2013.

Namun operasi Pillar of Cloud ini telah membawa malang buat Rejim Zionis lantaran keadaan HAMAS yang lebih mantap persediaannya dan suasana politik di Timur Tengah yang telah banyak berubah daripada sebelumnya hasil mekarnya revolusi-revolusi rakyat yang menyungkurkan diktator-diktator Arab tali barut Zionis daripada sangkar merak kayangan mereka dalam fenomena Arab Spring. Pentas politik Timur Tengah yang mula diisi oleh pemimpin-pemimpin berfikrah Islami telah sedikit sebanyak memihakkan situasi kepada rakyat Gaza.

Jika dahulu rakyat Gaza dikhianati oleh jiran mereka  Mesir, maka hari ini Mesir yang menjadi suara lantang di pentas antarabangsa bersama Turki untuk menuntut keadilan buat rakyat Gaza. Kolaborasi Dr Muhammad Mursi dan Recep Tayyip Erdogan telah mengecutkan ke’jaguh kampung’an Rejim Zionis.

Gencatan Senjata

Kesudahan kepada operasi Pillar of Cloud ini atau dikenali sebagai Battle of Hijrat min Sijjil di pihak HAMAS ini ialah pemeteraian gencatan senjata yang persetujui oleh kedua-dua pihak – HAMAS dan Rejim Zionis. Gencatan senjata kali ini di buat melalui perantaraan Mesir dimana melalui gencatan senjata ini kedua-dua pihak perlu menghentikan serangan, pihak Rejim Zionis perlu menghentikan operasi target killing, dan pihak HAMAS perlu menghentikan serangan roket ke wilayah Palestin 1948. Natijah daripada gencatan senjata ini juga ialah 5 pintu sempadan Gaza telah dibuka untuk rakyat Gaza keluar dan masuk serta membolehkan rakyat Gaza menjalani kehidupan dengan lebih bebas daripada sekatan Rejim Zionis.

Secoret kisah di PBB

Selain daripada gencatan senjata yang dimeterai antara HAMAS dan Rejim Zionis. Forum ini juga mengupas sedikit tentang penaikkan taraf Palestin di PBB yang diusahakan oleh Presiden Mahmoud Abbas. Penaikan taraf ini telah mengubah status Palestin di  PBB daripada non-member observer entity’ kepada ‘non-member observer state’.

Kesan positif daripada penaikkan taraf ini ialah Palestin boleh membawa sebarang kes jenayah perang di yang dilakukan oleh Rejim Zionis ke atas Palestin ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, The Hague.

(Bersambung...)

No comments:

Post a Comment