Tuesday 20 November 2012

BERSIH dalam ISLAM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Post kali ini bukan nak bercerita pasal BERSIH 3.0 atau tuntutan pilihan raya kampus yang bersih. Post kali ini akan membicarakan tentang perkara yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang sering kita terlepas pandang iaitu kebersihan.

Kebersihan sebahagian daripada ajaran Islam

Syumuliah merupakan salah satu sifat istimewa agama Islam. Syumuliah ini bermaksud menyeluruh dan salah satu bukti syumulnya (menyeluruhnya) Islam itu ialah Islam mengajar tentang kebersihan. Bukti Islam mengajar para penganutnya menjaga kebersihan dapat dilihat dalam ibadah fardhu seharian seorang muslim seperti ibadah solat fardhu yang mesti ditunaikan di tempat yang bersih daripada najis dan orang yang akan bersolat mesti memakai pakaian yang bersih daripada najis.

Wudhu’, mandi wajib, mandi sunat, khatan, bercukur, potong kuku dan siwak (bersugi atau memberus gigi) ialah antara cara pengurusan kebersihan diri yang diajar oleh Islam yang terangkum dalam bahagian fikah (Islamic Jurisprudence). Bab kebersihan juga telah disusun oleh para ulama’ sebagai bab pertama dalam pengajian fikah. Ini mengambarkan betapa Islam menitikberatkan bab kebersihan ini.

Sekularisasi Isu Kebersihan

Semua perkara tentang kebersihan ini telah pun diajar dalam Islam, namun pemikiran sekular yang ditanam dalam minda masyarakat telah memperlihatkan seolah-olah bab kebersihan ini tidak ada kaitan dengan Islam. Kebersihan ini sering diperkenalkan secara sekular dimana Islam amat jarang disebut secara seiringan ketika isu kebersihan ini dibincangkan. Hasilnya, ramai ahli masyarakat tidak tahu bahawa kebersihan sangat dituntut dalam Islam dan hanya menganggap kebersihan sebagai satu nilai moral yang baik sahaja. Tembok sekularisasi berusaha memisahkan isu kebersihan ini dengan Islam dengan harapan menjadikan masyarakat hanya melihat Islam terkurung dalam hal ibadah khusus sahaja dan tidak melihatnya sebagai satu ad-Din iaitu cara hidup. Ketahuilah bahawa Islam ialah agama yang mementingkan kebersihan.

Remaja muslim kemaskan tempat tinggalmu

Andai disebut asrama atau rumah bujang terutama yang dihuni oleh lelaki, maka satu gambaran awal yang buruk akan sering dilakarkan oleh minda umum. Keadaan yang bersepah dan berselerak akan menjadi senario paling dominan yang digambarkan, walaupun yang tinggal di dalamnya ialah para remaja muslim. Buku-buku yang tidak tersusun, paket-paket kosong makanan yang bertaburan, tilam tidak bercadar dan berselerak, itu semua selalu menjadi ‘hiasan’ dalam rumah bujang atau asrama yang sering digambarkan oleh minda umum.

Sekadar refklesi, mengapa negatif sungguh gambaran yang diberikan? Sedangkan suasana yang bersih seharusnya menjadi senario paling dominan dalam asrama atau rumah bujang yang dihuni oleh remaja muslim yang mu’min. Mungkin kerana itulah hakikat yang sering terlihat oleh mata. Wahai remaja muslim, berimanlah kepada Allah dan bangkitlah untuk mengubah persepsi negatif minda umum tentang tempat tinggal anda! Kemaskan tempat tinggalmu!

Kebersihan dan pendakwah

Kebersihan dengan dakwah tidak dapat dipisahkan, tanpa kebersihan maka hilanglah kekuatan dakwah itu. Kebersihan boleh menjadi kayu ukur kepada peribadi seseorang. Maka dengan itu fahamlah kita bahawa sebagai da’ie (pendakwah), kebersihan diri, tempat tinggal serta sikap kita terhadap kebersihan persekitaran kita akan menjadi kayu ukur oleh mad’u (orang yang didakwahi) untuk menerima seruan kita. Memanglah seharusnya mad’u itu melihat kepada apa yang diserukan dan bukan siapa penyeru itu, tetapi sebagai da’ie kita harus faham bahawa itu bukan alasan untuk kita membiarkan urusan kebersihan dan kekemasan diri kita terabai.

Jika kebersihan diri dan persekitaran kita diabaikan, maka dakwah kita pun akan menjadi kurang mantap dan mungkin ditolak kerana sudah menjadi adat dunia untuk melihat apa yang tersurat dahulu sebelum yang tersirat. Bayangkan jika kita ingin membeli sebotol air mineral di pasar raya, pastinya kita akan memilih air mineral di dalam botol yang dalam keadaan baik berbanding air mineral di dalam botol yang sudah kemik. Kenapa terjadi demikian sedangkan kita tahu isinya sama sahaja. Mengapa kita tidak memilih air mineral di dalam botol yang kemik? Saya pasti anda ada jawapannya. Begitu juga halnya dalam dakwah, perkara yang dibawa itu baik namun kita harus faham bahawa ‘container dakwah’ itu juga perlu dalam keadaan baik untuk memastikan dakwah itu lebih mudah diterima.

Buktikan keimananmu dalam skop kebersihan

Umumnya, ramai di antara kita yang mengetahui bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman dan ramai di antara kita ini mengaku beriman. Persoalannya sekarang ialah sejauh mana kita membuktikan keimanan kita itu dalam skop kebersihan ini? Tepuk dada tanyalah kepada iman.

Oleh kerana kebersihan itu daripada iman maka apa yang pasti ialah orang yang beriman mesti menjaga kebersihan tidak kiralah sama ada kebersihan diri, kebersihan tempat tinggal ataupun kebersihan persekitaran. Oleh itu, pastikan supaya penampilan diri kita sentiasa bersih dan kemas serta pastikan tempat tinggal kita sama ada rumah atau asrama sentiasa dalam keadaan teratur dan bersih. Setiap kali keluar ke tempat awam atau kawasan alam semula jadi maka jagalah kebersihan persekitaran kita, buanglah sampah dalam tong sampah yang disediakan. Inilah sikap kita yang sepatutnya sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah. Oleh itu, mari kita sama-sama bumikan tekad dalam diri untuk membuktikan keimanan kita ini kepada Allah dalam skop kebersihan ini. 


No comments:

Post a Comment