Saturday 28 September 2013

Sepiring Teh Seputar Memori


“Mana dia yang kami nak jaga tu?” Tanya seorang lelaki 50-an yang berwajah riang.

“Nanti dulu, budak tu belum lahir pun lagi.” Balas isterinya.

Mama sekadar tersenyum.

Kisah hampir dua puluh tahun lepas sentiasa diulang-ulang oleh mama setiap kali kami sekeluarga akan pergi menziarahi rumah Wan Ya, pengasuh saya ketika saya masih kecil.

“Cerita itu lagi.” Ridhwan, adik bongsu yang tercinta bersuara.

Mungkin dia pelik agaknya. Tertanya-tanya apalah yang terlalu istimewa tentang keluarga Wan Ya kepada saya, mama dan ayah sehinggakan setiap kali berziarah ke rumah Wan Ya yang terletak di Kampung Kijang itu pasti cerita sama akan diputarkan kembali.

Apa yang istimewa? Jawabnya segalanya.

“Abang tak mahu balik lagi.” Saya ketika berumur tiga tahun bersuara.

“Tak apa, tak apa. Balik la dulu, lepas maghrib nanti kami hantar dia balik.” Wan Ya memberitahu mama.

Sekitar pukul 5.15 petang, mama yang baru pulang daripada pejabatnya di Seberang Jaya akan datang menjemput saya di rumah Wan Ya untuk dibawa pulang ke rumah. Begitulah rutin hariannya ketika itu.

Tatkala umur saya masuk ke lingkungan tiga tahun dan sudah pandai berbicara. Sering saja saya enggan pulang ke rumah apabila mama datang menjemput pada waktu petang. Seronok tinggal di rumah Wan Ya. Saya dilayannya bagai cucu sendiri, ke hulu ke hilir sentiasa diusungnya. Sehinggakan penduduk-penduduk Kampung Kijang lebih mengenali saya daripada mama dan ayah kerana sering dibawa oleh Wan Ya berjalan-jalan pusing kampung.

“Panas la Wan. Macam mana nak minum?” Saya merungut.

Suatu pagi Wan Ya bawa saya pergi ke warung kopi.

“Uuh…. Panas ka?” Wan Ya menjawab.

Air teh susu yang telah dipesan itu tidak dapat saya minum kerana panas. Sekadar memerhati dengan penuh keinginan dan merungut kepada Wan Ya.

“Kalau panas, buat la macam ni.” Dia menuang air teh susu tersebut ke dalam piring.

“Tunggu sat, lepas tu minum la dari piring tu.”

Itulah kali pertama saya belajar cara hendak minum minuman yang panas. Tuangkan dalam piring kemudian minum. Penjelasan rasional tentang perbuatan itu hanya saya temukan setelah saya masuk ke tingkatan dua. Haba lebih mudah terbebas apabila nisbah pemukaan per isipadu bahan lebih besar. Wan Ya tidak masuk MRSM pun tetapi ilmu fizik itu telah dipraktiknya kepada saya tatkala saya masih belum kenal huruf-huruf.

Rumah saya dan Wan Ya ketika itu dekat sahaja. Kampung Kijang dan taman perumahan yang saya sekeluarga duduki hanya dipisahkan oleh sebatang jalan raya. Oleh kerana jarak yang dekat itulah yang menyebabkan saya suka tinggal di rumah Wan Ya sehingga malam.Ttidak mahu balik rumah sendiri.

Pada tahun penghujung tahun 1999, kami sekeluarga berpindah rumah dari Alma yang berada dalam mukim Bukit Mertajam ke Simpang Ampat yang berada dalam mukim Batu Kawan. Saya ketika itu sudah hampir berumur 6 tahun. Perpindahan kami menjadikan jarak saya dengan Wan Ya semakin jauh walaupun masih dalam negeri yang sama iaitu Pulau Pinang. Meskipun begitu hubungan kami tidak terputus. Sering sahaja saya sekeluarga berkunjung  ke rumahnya pada cuti sekolah, cuti umum dan hari raya.

Apabila masuk ke sekolah menengah, saya dan Wan Ya semakin jarang bertemu kerana saya tinggal di asrama. Risau jika hubungan saya dengan keluarga Wan Ya akan terputus atau timbul perasaan segan kerana lama tidak berjumpanya, maka saya pastikan saya keluarga akan menziarahinya apabila ada peluang ketika cuti.

“Tak lama lagi nanti boleh la mai sini sendiri dengan motor.” Gurau Wan Ya.

“Mana ada lesen lagi Wan.” Saya tersenyum.

Sesekali mata saya melirik melihat ayah. Ayah sekadar senyum. Faham benar saya dengan ayah. Dia memang tidak akan benarkan saya untuk tunggang motosikal selagi belum ada lesen.

Memori saya ketika dijaga oleh Wan Ya sangat istimewa. Kadang-kadang apabila sedih menghingap hati maka saya akan layarkan minda mengimbau kenangan ketika tinggal dengan Wan Ya. Kenangan manis itu selalu menjadi ubat kepada kesedihan saya.

Sekarang Wan Ya masih tinggal di rumahnya yang dahulu sedangkan kami telah dua kali berpindah rumah. Alhamdulillah, walaupun begitu hubungan kami masih tersambung.

Wan Ya ialah antara orang terpenting dalam hidup saya selain ayah dan mama. Orang yang turut sama mewarnai kehidupan saya ketika kecil. Sehingga hari ini saya masih menziarahinya ketika ada kelapangan dan insyaAllah akan terus-menerus menghubungkan tali kasih ini.

Saya bertekad apabila sudah berkeluarga nanti saya akan pastikan juga keluarga saya akan terus menyambung silaturrahim dengan keluarga Wan Ya. Saya mahu mereka turut sama mengenali insan yang berjasa dalam hidup saya ini.  

Terima kasih Wan Ya.

1 comment: