Tuesday 1 January 2013

Ada Apa dengan Palestina? (Bahagian 3)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…

Maha Suci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(al-Isra’: 1)

9 Disember 2012

Nama Program: Save Syria Free Gaza
Tempat: Stadium Melawati Shah Alam

Selepas selesai ucapan oleh Abu Ayesh, majlis diteruskan lagi dengan pidato daripada ulama Syria, Syeikh Samir Saqqa. Syeikh Samir Saqqa menyampaikan pidatonya dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi Karim.

(catatan pidato Syeikh Samir Saqqa akan dimuatkan dalam artikel tentang Syria)

Seterusnya ialah pidato daripada Ustaz Riduan Mohamad Nor, seorang pendakwah bebas, penulis dan aktivis kemanusiaan. Beliau baru sahaja pulang daripada bumi Gaza selepas menyertai misi kemanusian di sana baru-baru ini bersama Muslim Care.

Pidato Ustaz Riduan Mohamad Nor

Bagi sesiapa yang biasa mendengar khutbah atau kuliahnya tentu sahaja tahu, fakta-fakta sejarah memang tidak pernah lekang daripada lantunan bicaranya. Fakta-fakta sejarah akan selalu menjadi hujah atau isi atau contoh dalam ucapannya.

Berikut ialah isi-isi kandungan lantunan bicaranya dengan sedikit adunan fakta-fakta yang saya ambil daripada beberapa buah buku tentang isu Palestin.

Sejarah panjang bumi Palestin yang bermula daripada golongan Yahudi yang berwawasan membina negara mereka di atas tanah yang dijanjikan. Mereka telah melaksanakan persidangan pertama mereka di Switzerland pada Ogos 1897 dan telah menubuhkan gerakan penubuhan negara bangsa bagi kaum Yahudi, iaitu Pergerakan Zionis. Matlamat mereka ialah untuk menubuhkan negara tersebut di atas tanah Palestin yang dianggap mereka sebagai tanah yang dijanjikan. Theodor Herzl dilantik sebagai pemimpin pertamanya.

Selepas itu mereka memulakan kutipan tabung yang bertujuan untuk ‘membeli’ tanah Palestin daripada Khilafah Islam Uthmaniyyah. Bagaimanapun mereka gagal membelinya lantaran sikap tegas Sultan Abdul Hamid II selaku khalifah umat Islam. Pada 1917, Deklarasi Balfour dikeluarkan oleh British untuk menyokong usaha Pergerakan Zionis membentuk negara Israel di atas tanah Palestin. Pihak British kemudiannya telah menjajah bumi Palestin selepas Perang Dunia Pertama.

Deklarasi Balfour yang berupa sepucuk surat daripada Setiausaha Luar British, Arthur  James Balfour kepada Pemimpin Yahudi British, Walter Rothchild 
Bencana besar bermula apabila Khilafah Islam Uthmaniyyah runtuh pada 3hb Mac 1924, kerana telah runtuhlah sebuah institusi kekuatan ummah yang mampu membela nasib bumi Palestin. Semasa tempoh penjajahan British maka pintu masuk kepada imigran Yahudi dibuka seluas-luasnya dan golongan imigran Yahudi ini diberikan pelbagai hak di bumi Palestin. November 1947, menyaksikan ke’munafiq’an PBB melalui Resolusi 181 yang mengiktiraf ‘hak’ orang-orang Yahudi untuk membina negara di atas tanah Palestin. Tanah Palestin dibahagikan kepada dua negara milik dua bangsa iaitu Yahudi dan Arab. Malapetaka 1948 (Nakbah 1948) berlaku dengan pengisytiharan penubuhan Negara Haram Israel pada 14 Mei 1948 oleh Perdana Menteri Israel yang pertama, David Ben-Gurion.


Perjuangan pembebasan tanah Palestin daripada cengkaman kuasa Zionis pada mulanya memuncak dek semangat kebangsaan Arab yang dilaung-laungkan oleh pemimpin dunia Arab. Perang dilancarkan oleh pakatan Arab pada 1967 yang dikenali sebagai Perang Enam Hari. Namun kekalahan pakatan Arab pada Perang Enam Hari itu menyaksikan Rejim Zionis semakin melebarkan sayapnya wilayah jajahannya dengan penawanan Semenanjung Gaza milik Palestin (dibawah tanggungjawab Mesir), Semenanjung Sinai milik Mesir, Tebing Barat milik Palestin (dibawah tanggungjawab Jordan) dan Bukit Golan milik Syria.

Perang Arab-Israel 1973 menyambung episod Palestin ini dengan kejayaan tentera Mesir membebaskan Semenanjung Sinai. Namun perang ini tidak dapat membebaskan wilayah-wilayah lain yang ditawan Rejim Zionis seperti Genting Gaza yang masih dibawah taklukan Israel. Selepas itu, Anwar Sadat yang merupakan Presiden Mesir ketika itu mula berjinak-jinak dengan Rejim Zionis apabila bersama-sama memeterai Perjanjian Camp David pertama dengan Israel yang menyaksikan Mesir sebagai negara Arab pertama yang mengiktiraf Negara Haram Israel di atas bumi Palestin. Anwar Sadat kemudiannya dibunuh oleh tenteranya sendiri lantaran tindakannya yang dianggap satu penghinaan ke atas penduduk Palestin. Bertitik tolak dari masa ini, semangat perjuangan untuk membebaskan Palestin dengan idealisme nasionalisme dan Ba’ath (Sosialis Arabisme) mula luntur. 

Perjanjian-perjanjian damai yang dimeterai antara PLO dan Rejim Zionis seterusnya hanya menyaksikan pengiktirafan Negara Haram Israel di atas bumi Palestin oleh PLO sementara rakyat Palestin terus dizalimi haknya. Akhirnya pada 1987, HAMAS ditubuhkan serentak dengan seruan Intifadhah pertama sebagai tindakan rakyat Palestin yang berfikrah Islamiah untuk berjuang memerdekakan setiap inci bumi Palestin. Ketika mana PLO sibuk memberikan ‘komitmen’ kepada perjanjian-perjanjian damai yang tidak pernah dipatuhi oleh Rejim Zionis, anak-anak muda berfikrah Islami mula mengangkat senjata sambil menjulang al-Quran menandakan bermulanya perjuangan bernuansakan Islam untuk membebaskan bumi Palestin sebagai tindakan refleks kepada kegagalan ideologi nasionalisme dan Ba’ath (Sosialis Arabisme) untuk memperjuangkan kebebasan Palestin. 

Alaf baru menyaksikan seruan Intifadhah kedua yang lebih bertenaga oleh para pejuang Palestin menggunakan ‘Bahasa Perang’ untuk menjawab kebiadapan Rejim Zionis kepada rakyat awam Palestin. ‘Bahasa Perang’ ini terpaksa digunakan kerana ketololan Rejim Zionis untuk memahami bahasa lisan dan kasih sayang.

Tahun 2004 pula telah ditakdirkan sebagai hari anugerah syahid kepada maestro perjuangan HAMAS iaitu Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz ar-Rantissi, mereka dijemput pulang oleh Ilahi dengan meninggalkan warisan perjuangan kepada anak-anak muda Palestin.

Operasi bom syahid (amaliyyah Istisyhadiyyah) dan serangan roket al-Qassam rekaan anak watan Palestin yang berterusan mula menimbulkan kebaculan Rejim Zionis yang takut mati apabila berhadapan rakyat Palestin yang cintakan syahid. Akhirnya pada 2005, Rejim Zionis berundur daripada Genting Gaza dan wilayah itu berjaya dimerdekakan.

Ustaz Riduan Mohamad Nor
Tahun 2006, HAMAS mendapat mandat daripada rakyat Gaza apabila menang dalam pilihan raya. Kemenangan HAMAS ini memberikan ketakutan buat Rejim Zionis yang menyebabkan mereka memulakan Operasi Cast Lead selama 22 hari pada hujung 2008 hingga awal 2009 untuk menghapuskan HAMAS dan menghancurkan Gaza. Namun dengan bantuan Allah, Rejim Zionis walaupun dengan kelengkapan perang yang canggih tetap gagal melumpuhkan Gaza dan rakyatnya.

Senario berulang lagi tahun ini, apabila Rejim Zionis mencuba lagi untuk menumbangkan HAMAS dan rakyat Gaza dengan Operasi Pillar of Cloud namun tetap menemui kegagalan dengan sebab pertolongan Allah kepada hamba-hambaNya.

Selesai pidato Ustaz Riduan maka sampailah kepada waktu yang ditunggu-tunggu iaitu kalam nasihat dan peringatan daripada as-Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni. 

(catatan pidato Dr Muhammad Ali as-Sobuni akan dimuatkan dalam artikel tentang Syria)

No comments:

Post a Comment