Suasana pagi sabtu yang cerah dan ceria itu tidak dapat
menenangkan hati saya. Hati terasa bagi dirobek-robek. Usaha murni yang cuba
dilakukan tidak difahami, lalu kritikan-kritikan dilontar melalui tulisan di
cebisan-cebisan kertas. Salah saya juga, saya yang menyuruh mereka melakukan
demikian. Hati yang halus ini mudah terasa dengan kritikan sekalipun
diterjemahkan dengan bahasa yang halus.
Tugas menjadi Presiden Badan Wakil Pelajar sewaktu itu
sangat mencabar. Saya menjadi jambatan penghubung antara dua pihak yang
biasanya bertembung keinginan mereka, pelajar-pelajar dan pentadbiran maktab.
Saya akui era kepimpinan saya tidak sebagus mana. Suasana masyarakat maktab
yang ditinggalkan kepada saya untuk dipimpin bagaikan sedang mengalami era
jahiliyah. Skip kelas persediaan atau prep, fly daripada asrama, isap dan edar
rokok, tidak puasa di bulan Ramadhan, dating dan couple semuanya ditinggalkan
sebagai legasi budaya masyarakat pelajar ketika itu untuk ditangani oleh saf
kepimpinan pelajar dan guru-guru. Lebih buruk lagi apabila ada daripada
kalangan kepimpinan pelajar sendiri yang turut menyuburkan budaya jahiliyah
itu.
Pertengahan tahun 2010, saya menerima amanah yang diberikan.
Berbekalkan tarbiyah yang diberikan oleh Ustaz Radzi lewat usrah yang saya hadiri
bersamanya. Saya memulakan misi memerangi jahiliyah tersebut bersama beberapa
orang sahabat yang juga berada dalam saf kepimpinan Badan Wakil Pelajar. Manakan
tidak luka hati ini, sahabiah yang turut sama menerima tarbiyah turut
mengkritik. Orang yang memahami apa aspirasi yang saya bawa turut mengkritik
saya.
“Syariatik tetapi tak saintifik. ” Sebaris nota ringkas saya terima ketika melakukan refleksi tugas saya sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar.
“Syariatik tetapi tak saintifik. ” Sebaris nota ringkas saya terima ketika melakukan refleksi tugas saya sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar.
Nota-nota refleksi yang lain tidak begitu menyentap hati
saya tetapi nota ini berbeza kerana datangnya nota ini daripada orang saya hormati dan maklumi
tarbiyah yang diterimanya.
Dengan hati yang sedih saya mendengar penjelasan yang
diberikan olehnya. Panjang lebar dia menerangkan, akhirnya saya akur. Benar apa
yang dikatanya, saya agak terburu-buru ‘menegakkan syariat’ dalam era
kepimpinan saya sehingga mengundang suatu impak buruk kembali kepada saya. Saya
tidak strategis dalam mengatur dakwah melalui siyasah. Saya masih belum matang
bermain politik. Mungkin nasib saya hampir serupa dengan Necmettin Erbakan.
Cuma keluasan lapangannya dan saiz impaknya sahaja yang berbeza, skripnya sama.
Barangkali perkara ini berlaku kepada saya ketika itu kerana
saya masih belum menelaah tentang sejarah era kepimpinan Parti Refah di Turki
agaknya, masih belum kenal siapa Necmettin Erbakan dan siapa Recep Tayyip
Erdogan ketika itu. Tak perlu dikesalkan, pengalaman itu guru yang terbaik.
Ujiannya datang dahulu sebelum sesi belajarnya.
Pahit betul untuk menelan penjelasan yang diberikan oleh
sahabiah saya itu. Namun demi kebaikan diri, saya telan jua. Ubat memang
selalunya pahit.
Saya masih ingat khitam kepada penjelasannya.
“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita
faham.”
Nasihatnya itu saya simpan sehingga hari ini sebagai pedoman
dalam berdakwah.
Benar.
Tidak semua orang faham seperti yang kita faham, maka dakwah
itu perlu kena pada caranya.
Dakwah tidak boleh bersifat revolusi. Unsur masa tidak dapat
diketepikan dalam memahamkan manusia akan dakwah yang disampaikan, kerana itu
al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
***
LRT meluncur laju di atas landasannya. Kami dalam perjalanan
kembali ke Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya. Abang Hafizzuddin sedang khusyuk
membaca. Dia sedang duduk di kerusi berhadapan dengan saya. Melihat dia hati
saya teringatkan suatu peristiwa yang berlaku kepada saya pada cuti yang lepas.
Peristiwa bagaimana saya dikritik dengan hebat sekali
apabila saya berbicara tentang politik di bumi Turki. Saya dikritik dengan
sangat tajam ketika berbicara tentang model sebuah kerajaan yang sedang
perlahan-perlahan mengembalikan nuansa Islami di negara bekas bumi Khilafah
Uthmaniyah itu. Turki yang dicabut identiti Islamnya oleh Mustafa Kamal AtaTurk
mula mengalami proses Islamisasi secara halus melalui kepimpinan Parti AK.
Saya dikritik dengan naif sekali. Orang itu berhujah dengan
hujah yang dangkal. Turki negara sekular, Turki negara sekular. Itu sahaja yang
saya boleh simpulkan daripada apa yang dikatakannya. Berdalilkan dengan dalil
yang naif seperti perihal orang perempuan Turki bersolat dengan memakai skirt,
dia menafikan apa yang saya katakan tentang Islamisme yang berlaku secara
perlahan di Turki. Entah dimana dan bila fakta ‘solat pakai skirt’ itu ditemukannya
pun saya tidak tahu. Semua fakta-fakta yang saya kemukakan langsung tidak mahu
didengarinya. Akhirnya, apabila setiap hujah saya dinaqalkan kepada setiap buku
tertentu dan diskusi tertentu yang saya baca dan hadiri. Dia mengeluarkan satu
respon kesimpulan yang sangat tidak boleh diterima oleh saya. Dia mengatakan
saya masih muda dan kurang membaca sedangkan hujahnya yang naif dari sudut
rujukan.
Ingin sahaja saya bertanyakan dia, “Lantas buku apa yang
kamu baca?”
Niat itu sebaliknya saya urungkan sahaja. Itu lebih baik
rasanya. Teringat seketika kata-kata Imam Syaf’ie.
“Aku boleh menang berhujah dengan orang cerdik tetapi aku
tidak boleh menang berhujah dengan orang jahil.”
Selepas saya masuk ke UIAM, minda saya semakin luas meneroka
dunia lewat pembacaan. Subjek yang
paling menarik perhatian saya ialah fenomena Arab Spring yang sedang berlaku
ketika itu. Fenomena di mana kebangkitan rakyat Timur Tengah menggugah kuasa
pemerintah tirani di negara masing-masing. Bicara tentang politik dunia Islam menjadi
satu perbincangan yang sangat menarik ketika itu terutama apabila Mesir
menerima Presiden baru iaitu Dr Muhammad Mursi daripada Parti Kebebasan dan
Keadilan yang merupakan sayap politik gerakan Islam di Mesir, Ikhwanul
Muslimin. Diskusi-diskusi dan sembang-sembang tentang dunia Islam sangat
mengasyikkan saya.
Saya tersedar daripada lamunan. Seketika hati saya terdetik
untuk bertanyakan soalan yang sekian lama bersarang di hati kepada Abang
Hafizzuddin.
“Abg Bidin. Ana nak tanya sesuatu ni.” Saya memulakan bicara.
Dia mendongakkan kepala. Bukunya masih terbuka.
“Ya ada apa?”
“Erm… Apa pendapat abang bila ada seseorang yang apabila
kita cuba sampaikan sesuatu perkara kepada dia, dia bersikap pesimis dan terus
menolak penyampaian kita. Macam mana kita nak buat supaya dia faham? ” Soal
saya panjang.
Dia mengukir senyum. Bukunya ditutup dengan selitan jari ibu
untuk menanda muka surat bacaan.
“Enta kena fahamkan dia betul-betul.” Dia meletakkan buku ke
ribaannya.
“Tetapi dia menolak, macam mana nak fahamkan dia apa yang
kita faham?” Saya menujah pertanyaan balas.
“Kita tak perlu fahamkan dia apa yang kita faham, kita cuma
perlu fahamkan dia apa yang dia perlu faham.” Hikmah itu keluar dari mulutnya.
“Betul juga tu.” Hati saya membenarkan hikmah yang Abang
Hafizzuddin lontarkan.
Hikmahnya itu bagai sudah menjawab seluruh persoalan saya.
Saya kira itu jawapan bijaksana yang telah menjawab pelbagai persoalan dalam
dunia dakwah dan hal berkaitan hubungan antara da’ie dan mad’u. Cuma perlu
fahamkan orang lain apa yang perlu difahaminya, tidak perlu carbon copy
kefahaman kita ke minda mereka.
Dia telah menjawab semua persoalan yang bakal saya
lontarkan. Apa perlu saya tanyakan lagi? Mungkin sekadar meminta dia menghurai
sedikit hikmahnya tadi untuk lebih jelas walaupun hikmah itu sudah muhkamat
sifatnya.
***
Saya duduk termenung di tangga surau. Menunggu masuknya
waktu Isya’.
Dua nasihat yang terpisah.
Itu yang saya dapat simpulkan apabila terkenangkan dua kalam
hikmah yang saya terima daripada dua individu yang saya kisahkan pada dua juzu’
coretan sebelum ini.
“Kita kena tahu yang tak semua orang faham yang macam kita
faham.”
Dan
“Kita tak perlu fahamkan orang lain apa yang kita faham,
kita cuma perlu fahamkannya dengan apa yang dia perlu faham.”
Saya kira tiada kalam yang mampu saya susunkan lagi untuk
menerangkan dengan lebih mendalam hubung kait antara kedua-duanya, namun saya
pasti setiap orang yang menatap coretan ini sudah mampu memahami apa yang
dimaksudkan dengan hanya mengabung jalin dua hikmah ini. Hikmah bukanlah
falsafah rumit yang hanya difahami oleh ahlinya tetapi yang namanya hikmah itu
cukup dengan satu kalam mudah yang dapat menjelaskan hal-hal susah kepada semua
manusia.
Sekadar berkongsi dua hikmah berharga yang saya temui sepanjang
menjalani jalan dakwah ini.
Moga ada manfaatnya.
Dan buat dua insan yang menuturkan hikmah ini, saya doakan
agar kalian tsabat pada jalan dakwah ini.
"Hikmah
ialah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia
adalah orang yang paling berhak terhadapnya."
(Hadis)