Thor dan Captain America |
THOR; The Dark World yang ditayangkan pada 31 Oktober ini
mendapat sambutan hangat para peminatnya. Mungkin yang tidak berminat sebelum
ini pun turut terdorong untuk pergi menontonnya di panggung kerana promosi
hangat filem tersebut di televisyen dan internet. Trailernya sahaja pun sudah
cukup menarik apatah lagi kalau disertakan dengan soalan kuiz dan tayangan
semula beberapa siri animasi adiwira Marvel Comics yang melibatkan Thor.
Thor,
anak Odin dan abang kepada Loki yang berasal daripada Asgard. Watak lelaki sasa
berambut perang panjang dan bermantel merah ini kelihatan gagah dengan memegang
tukul Mjolnir. Watak lakonan Chris Hemsworth ini asalnya ialah watak adiwira
dalam Marvel Comics seperti Spiderman, Iron Man, Captain America dan Hulk.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui
sebenarnya Thor bukanlah watak adiwira rekaan seperti Iron Man dan Spiderman.
Thor sebenarnya memang sudah lama wujud dalam sejarah panjang tamadun manusia,
dia ialah dewa kilat dan guruh dalam kepercayaan orang-orang Norse ataupun
Viking. Dewa Thor ialah anak kepada Dewa Odin yang merupakan Ketua Dewa atau
Dewa Teragung dalam mitologi Norse seperti mana Dewa Zeus yang menjadi Ketua
Dewa dalam mitologi Yunani. Dewa Odin yang disembah oleh orang-orang Norse
digambarkan dalam bentuk berhala seorang lelaki yang menunggang kuda berkaki
lapan.
Dewa Thor mempunyai adik iaitu Dewa
Loki yang merupakan dewa kenakalan. Dalam filem Thor yang sebelum ini, watak
Loki dan Odin telah pun ditampilkan. Loki juga muncul dalam filem The Avengers.
Apa yang boleh dirumuskan, Thor dan Loki mengikut kepercayaan orang-orang Norse
merupakan dewa yang menguasai hal-hal tertentu dalam alam ini.
Berbalik kepada filem THOR, filem ini dilihat seperti mempunyai
propagandanya yang tersirat melalui latar zaman jalan ceritanya. Latar
zaman moden yang digunakan dalam filem tersebut seperti ingin melontarkan satu
kecelaruan kepada minda penonton. Umum mengetahui bahawa agama pagan kuno Norse
ini tidak lagi diamalkan pada zaman moden kita ini sekalipun oleh kelompok manusia
yang sedang tinggal di wilayah asal usul kepercayaan itu – Eropah Utara. Pada
zaman dimana kebanyakan manusia sudah meninggalkan agama-agama pagan dan amalan
animisme, filem THOR ini seolah-olah ingin membangkitkan semula kepercayaan
pagan Norse ini dalam bentuk yang lebih hidup.
Jika kita fikirkan semula, filem tersebut dilatarkan pada zaman
moden kita sekarang ini dengan latar tempat yang penuh dengan kemajuan di
Eropah beserta dengan latar masyarakat yang menganut agama Kristian. Pada
saat manusia tidak lagi menyembah dewa-dewi Norse ini, kewujudan Thor, Loki dan
Odin dizahirkan. Hal ini memberikan satu mesej halus kepada minda kita secara
tidak sedar iaitu menafikan kebenaran agama-agama yang sedang dianuti oleh
manusia pada zaman moden termasuklah agama Islam yang sedang kita imani tika
ini.
Hal yang sama juga berlaku dalam filem Percy Jackson and The
Lightning Thief. Percy Jackson dikisahkan sebagai anak kepada dewa Poseidon
iaitu dewa yang mengawal lautan dalam mitologi Yunani. Jalan ceritanya jelas
memaparkan latar zaman moden di Amerika dengan memperlihatkan Hollywood menjadi
pintu masuk ke underworld yang dikuasai dewa kematian Yunani, Hades dan Empire
State Building yang mempunyai lif untuk naik ke Olympus, suatu yang dipercayai
menjadi tempat persidangan dewa-dewi Yunani.
Secara tidak sedar, kita sebenarnya sudah diindoktrinkan dengan
propaganda taghut ini. Tambahan pula, watak Thor dan Percy Jackson ini
dijadikan protagonis dalam filem tersebut. Thor diangkat menjadi adiwira dalam
komik, animasi dan filem live action. Jika hanya sebagai adiwira komik dan
animasi mungkin Thor hanya akan diagung-agungkan oleh kanak-kanak, tetapi hari
ini Thor sudah diangkat sebagai adiwira yang lebih hidup seperti Spiderman dan
Iron Man yang bakal menjemput juga sanjungan oleh golongan dewasa. Bukanlah
maksudnya tidak mengapa jika watak Thor ini hanya diagungkan oleh kanak-kanak
bahkan perkara tersebut yang perlu diutamakan untuk dibendung cumanya sekadar
menjentik sedikit minda kita supaya menyedari ditahap manakah serangan
pemikiran sudah dilancarkan terhadap umat Islam.
Sedarkah kita, mengangkat Thor menjadi adiwira sebenarnya sama
sahaja seperti kita mengangkat berhala-berhala arab jahiliyyah seperti Latta,
Uzza dan Manat menjadi adiwira. Thor yang dikisahkan dalam filem tersebut tidak
lain hanyalah seperti satu bentuk berhala moden yang lebih hidup
sifatnya. Mari renung seketika firman Allah:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(an-Nahl: 36)
Serangan yang melibatkan hal aqidah ini sangat perlu kita hadapi
dengan bijak, teliti dan hati-hati. Kelicikan musuh Islam mengangkat taghut
purba yang telah dilupakan seperti Thor untuk menjadi dipuja semula dengan
‘ritual moden’ perlu dihadapi dengan ilmu iaitu ilmu tentang aqidah Islamiyyah
dan ditambah dengan budaya suka mengkaji agar kita tidak menjadi umat yang
mudah dipermainkan kerana bertulang belakangkan sikap taqlid buta.
Alhamdulillah akhi. perkongsian yg menarik..
ReplyDeleteJazakallahukhair..
:)
terbaik
ReplyDelete