“Nak minum air Aiman?” Pelawa Bro Izdihar.
“Tak, tak. Saya tak minum Nescafe Bro Iz.” Aiman Azahan
menjawab spontan.
Malam itu ialah Malam Apresiasi untuk komiti-komiti Program
Minggu Ta’aruf Pusat Asasi UIAM. Saya, Aiman Azahan dan Danial yang menjadi barisan
pengarah program makan bersama dengan Dekan, Timbalan Dekan SDD dan Penasihat
FSCC pada malam itu.
“Kenapa tak minum Aiman?” Tanya Bro Izdihar.
“Boikot.” Jawab Aiman Azahan dengan suara yang agak
perlahan.
Konsistensi memboikot barangan jaringan Zionis
Ketika bumi Palestin bersimbah darah dibantai oleh Rejim
Zionis maka akan kendengaranlah riuhnya suara-suara menyeru ke arah boikot
barangan Zionis. Cast Lead pada Disember 2008 dan Pillar of Cloud pada November
2012, kedua-dua dua operasi serangan besaran-besaran Rejim Zionis ini disambut
dengan seruan boikot ke atas barangan jaringan Zionis sama ada oleh golongan
Islamis ataupun golongan penyokong hak asasi kemanusiaan.
Alhamdulillah. Seruan boikot ini disambut dengan begitu baik
oleh penduduk dunia terutamanya umat Islam.
Namun, setelah beberapa tempoh berlalu maka timbul satu
persoalan. Adakah kita masih konsisten memboikot barangan jaringan Zionis ini?
Adakah kita konsisten atau boikot kita bermusim? Masihkah kita memalingkan
wajah daripada produk-produk Nestle, Coca-Cola dan McDonald ataupun kita sudah
kembali menyantap hidangan tersebut hanya kerana tiada hujan peluru yang turun
di bumi Palestin?
“Selalunya masyarakat kita ni cakna pasal isu Palestin dan
boikot barangan Zionis secara bermusim.”
Saya berkata kepada Abg Imad.
Abg Imad ialah jiran saya yang aktif terlibat dalam Aqsa
Syarif.
“Kalau macam tu tanggungjawab kita la untuk pastikan kempen
ini bukan bersifat bermusim tetapi terus evergreen dalam masyarakat.”
Konsistensi dalam memboikot barangan Zionis sangat
diperlukan. Kita tidak mampu untuk ke sana berjuang bersama mereka tetapi apa
yang kita mampu lakukan ialah terus berjihad dalam lapangan ekonomi dengan
memberikan tekanan kepada ekonomi Zionis. Tekanan yang diberikan pula perlulah
berterusan supaya Zionis terus-menerus dalam keadaan tertekan ekonominya dan
tidak mampu untuk melakukan kezaliman.
Boikot? Buang masa sahaja….
“Boikot -boikot ni buang masa ja. Bukan ada kesan pun.”
Suara seorang rakan saya ketika kami berbicara tentang kezaliman Zionis.
Lantunan katanya bagai halilintar yang mendiamkan bicara
kami sebentar. Kata-katanya menongkah arus perbincangan kami dan nyata kontra
sekali dengan semangat membuak-buak kami yang lain untuk menghentikan kezaliman
Rejim Zionis.
Sama ada kata-kata itu lahir daripada kekecewaan atau sikap
suka meremehkan, tiada siapa yang tahu.
Saya memilih untuk beranggapan dia kecewa dengan usaha
boikot yang dilihatnya tidak efektif untuk menangani kezaliman Rejim Zionis.
“Ramai orang yang nak boikot barangan jaringan Zionis tetapi
tak tahu cara yang betul dan tepat. Akhirnya, ramai yang sekadar hangat-hangat
sup ayam.” Saya memecah tawa tiga sahabat yang lain di meja makan sambil
tangan mencedok sup ayam panas.
“Macam mana nak boikot dengan cara yang betul tu?” Habib
bertanya.
“Salah satu kesilapan kita ialah apabila kita berkempen
suruh boikot barangan jaringan Zionis, kita terlupa untuk mention sekali
produk jenama lain yang boleh dijadikan alternatif. ” Saya menjelaskan.
“Kalau kita perasan, produk-produk jaringan Zionis yang
perlu diboikot ni memang menjadi jenama pilihan utama dalam masyarakat. Apabila
jenama yang biasa digunakan ini tiba-tiba diseru untuk diboikot maka masyarakat
akan jadi tidak keruan sekejap sebab terpaksa mengubah kebiasaan yang diamalkan
selama ini.” Amin menyambung penjelasan saya.
Menilai prioriti
“Nanti orang-orang kita jugak yang susah. Lagipun, apalah
sangat kesannya boikot ni?” Seorang mak cik memberi respon terhadap saya
apabila saya bercerita tentang kempen boikot.
“Orang-orang kita?” Saya pelik.
“Ya la, orang-orang kita yang kerja dekat McDonald tu
contohnya.” Dia menyambung bicaranya.
Saya sekadar diam. Sengaja tidak mahu menyambung perbualan
kerana takut berlaku pertikaman lidah yang sia-sia. Sudah arif benar dengan
sikap sebahagian masyarakat yang berfikiran sempit. Sindrom ‘aku tidak
pedulisme’ dan kelemahan menilai prioriti memang menjadi masalah umat ini.
Entah apalah parameter penilaian yang digunakan mak cik
tadi.
Kaedah fiqh menyebut, “Apabila bertembung dua kemudaratan maka hendaklah
diambil kemudaratan yang lebih kecil kesannya.”
Antara ribuan nyawa yang melayang akibat tebukan
peluru-peluru senapang dan ledakan bom fosforus dengan kesan ekonomi terhadap
segelintir orang yang bekerja dengan syarikat jaringan Zionis.
Mana satu lebih besar mudaratnya?
Jawapannya ada pada anda.
Pipit tidak setara dengan Enggang
“Aku tahu air ini tidak akan mencukupi untuk memadamkan api
yang sedang membakar Nabi Ibrahim tetapi ini bakal menjadi hujah bahawa aku
telah berusaha memadamkannya apabila disoal Allah kelak.” Kata Si Pipit kepada malaikat.
Orang tua-tua kita kata, “Pipit tidak setara dengan Enggang.”
Benarlah.
Memang Pipit tidak setara dengan Enggang.
Pada saat Enggang diam membatu. Pipit berparuh kecil telah
memulakan langkah besar jihadnya dengan misi memadam api yang membakar kekasih
Allah, Nabi Ibrahim.
Begitu juga kita
dalam usaha boikot ini. Kesan yang ‘kecil’ kepada Rejim Zionis daripada usaha
boikot kita tidak boleh dijadikan alasan untuk kita buat tidak peduli dan terus
menyumbang dana kepada penyembelih saudara-saudara kita di sana.
It is the effort that count, not the result.
No comments:
Post a Comment