Kenyataan bersifat perkauman yang dikeluarkan
oleh beberapa media arus perdana pasca-PRU 13 sangat dikesali.
Kenyataan seperti ini bukan sahaja boleh
mencetus ketegangan kaum bahkan boleh merencatkan perjalanan usaha dakwah
Islamiyyah kepada Non-Muslim berbangsa Cina dan India yang sedia perlahan.
Dakwah kepada non-Muslim, kasih sayang yang meruntuhkan tembok prasangka antara kaum
Xifu Naser & Mu'adz Dzulkefly |
Sebelum ini, saya pernah terbaca perbentangan kertas kerja K-FIQH Wasatiyy oleh Xifu Naser (Nama Sebenar: Abdul Naser Abdul Rahman), seorang pensyarah UIAM berbangsa Cina yang merupakan seorang mualaf. Beliau mengkritik sifat sebilangan masyarakat yang sering mengikat Melayu dengan Islam. Hal ini meyebabkan Islam dilihat sebagai hak eksklusif untuk orang Melayu dan orang Cina dan India yang tidak beragama Islam berapa asing dengan Islam. Fahaman mengeksklusifkan Islam kepada orang Melayu ini telah mengakibatkan pergerakkan dakwah Islamiyyah menjadi perlahan. Beliau tidak membawa contoh besar untuk membuktikan hal ini, hanyalah sebuah misalan daripada cerita Upin & Ipin.
Mengapa watak kanak-kanak bukan berbangsa Melayu seperti Mei Mei mesti digambarkan sebagai seorang non-Muslim? Salahkah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu watak seorang Cina beragama Islam dalam cerita yang bersifat mendidik kanak-kanak itu? Setidak-tidaknya Islam telah digambarkan sesuai untuk orang Cina.
Itu hanyalah satu contoh kecil. Banyak lagi
peluang dakwah yang kita yang lepaskan. Sikap mengeksklusifkan Islam untuk
orang Melayu akan terus merugikan umat Islam di negara ini.
Persoalan yang perlu kita tanyakan kepada diri
ialah sampai bila masyarakat Melayu Islam mahu terus-menerus hidup dalam
prasangka buruk terhadap orang Cina yang tidak beragama Islam di negara ini? Tidak
habis-habis dengan ungkapan “Jangan bagi muka kat Cina, nanti jadi itu dan ini.”,
“Bersatulah sesama Melayu atau nanti Cina akan berkuasa.” dan pelbagai lagi ayat bersifat
perkauman. Ayuh pecahkan prasangka itu, ikhlaskan niat hidup bersama mereka
dalam sebuah negara! Bawakan Islam kepada mereka, setidak-tidaknya persaudaraan
Islam itu akan meruntuhkan tembok prasangka yang terbina hasil kejumudan
doktrin perkauman.
Islamkah ucapan Tahun Baru China ini? Bukan masalah dan tiada persoalan bagi saya. Islam bukan khas untuk mana-mana bangsa. |
Pengurungan Islam di dalam pagar masjid ialah
satu kesilapan, demikian juga menjauhkan Islam daripada bukan Islam. Islam
bukan hanya untuk orang yang sedia Islam, Islam itu untuk semua bangsa sama ada
yang sudah Islam atau yang belum Islam. Islam itu rahmat bagi sekalian alam.
Dan tiadalah
Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam.
(al-Anbiya’:
107)
Kenyataan bersifat perkauman merencatkan dakwah
Kembali kepada isu asal. Beberapa kenyataan
yang dikeluarkan oleh media arus perdana selepas PRU 13 seperti ‘Tsunami Cina’
dan ‘Pengundi Cina Talam Dua Muka’ untuk mengulas beralihnya sokongan
masyarakat Cina di negara ini daripada menyokong parti Barisan Nasional sangat merisaukan
saya dan pastinya kenyataan ini menyakitkan hati masyarakat Cina di negara ini.
Kenyataan ini akan mewujudkan ketegangan kaum yang sangat ingin dibendung
sebelum ini dengan pelbagai usaha penyatu paduan kaum seperti slogan 1Malaysia
dan pengharaman novel Interlok yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum.
Apabila hubungan antara kaum ini terjejas,maka
jurang persefahaman dan kasih sayang antara masyarakat Cina yang kebanyakannya
masih belum mendapat nikmat hidayah Islam dengan masyarakat Melayu beragama
Islam akan semakin melebar. Ini pastinya akan lebih menyulitkan dan
memperlahankan lagi usaha dakwah yang sedia bergerak perlahan.
Suasana aman juga sangat diperlukan untuk
proses dakwah kepada non-Muslim. Sirah menceritakan bagaimana Perjanjian
Hudaibiyyah telah mewujudkan satu tempoh keamanan berupa gencatan senjata 10
tahun yang telah memudahkan Islam tersebar ke seluruh semenanjung Arab. Bahkan
hingga Rasulullah mampu menyampaikan risalah dakwah kepada Kaisar Rom, Kisra
Parsi, Najasyi Habsyah dan Mauqaqis Mesir.
Saya mengkritik sikap media arus perdana yang
bermulut lancang dalam sebaran berita mereka. Seharusnya kita berhemah dalam
setiap kenyataan yang dikeluarkan.
Kerana pulut santan binasa, kerana mulut
badan binasa.
Saya berdoa agar suasana tegang antara kaum tidak
berlaku supaya kelangsungan dakwah Islamiyyah kekal terpelihara walaupun dalam
kelajuan yang perlahan. Seiring waktu marilah sama-sama kita tingkatkan pecutannya.
Dakwah seharusnya berhikmah.
Serulah ke jalan
Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara
yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan
orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan
orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
(an-Nahl: 125)
WE STAND AGAINST RACISM
WE STAND AGAINST RACISM
No comments:
Post a Comment