Maha Suci (Allah), yang telah
memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke
Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan
kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha
Mendengar, Maha Melihat.
(al-Isra’: 1)
9 Disember 2012
Nama Program: Save Syria Free Gaza
Tempat: Stadium Melawati Shah Alam
Tempat: Stadium Melawati Shah Alam
Selepas
selesai ucapan oleh Abu Ayesh, majlis diteruskan lagi dengan pidato daripada
ulama Syria, Syeikh Samir Saqqa. Syeikh Samir Saqqa menyampaikan pidatonya
dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ustaz Nazmi Karim.
(catatan
pidato Syeikh Samir Saqqa akan dimuatkan dalam artikel tentang Syria)
Seterusnya
ialah pidato daripada Ustaz Riduan Mohamad Nor, seorang pendakwah bebas,
penulis dan aktivis kemanusiaan. Beliau baru sahaja pulang daripada bumi Gaza
selepas menyertai misi kemanusian di sana baru-baru ini bersama Muslim Care.
Pidato Ustaz Riduan Mohamad Nor
Bagi sesiapa
yang biasa mendengar khutbah atau kuliahnya tentu sahaja tahu, fakta-fakta
sejarah memang tidak pernah lekang daripada lantunan bicaranya. Fakta-fakta
sejarah akan selalu menjadi hujah atau isi atau contoh dalam ucapannya.
Berikut ialah
isi-isi kandungan lantunan bicaranya dengan sedikit adunan fakta-fakta yang
saya ambil daripada beberapa buah buku tentang isu Palestin.
Sejarah
panjang bumi Palestin yang bermula daripada golongan Yahudi yang berwawasan
membina negara mereka di atas tanah yang dijanjikan. Mereka telah
melaksanakan persidangan pertama mereka di Switzerland pada Ogos 1897 dan telah
menubuhkan gerakan penubuhan negara bangsa bagi kaum Yahudi, iaitu Pergerakan
Zionis. Matlamat mereka ialah untuk menubuhkan negara tersebut di atas tanah
Palestin yang dianggap mereka sebagai tanah yang dijanjikan. Theodor Herzl
dilantik sebagai pemimpin pertamanya.
Selepas itu
mereka memulakan kutipan tabung yang bertujuan untuk ‘membeli’ tanah Palestin
daripada Khilafah Islam Uthmaniyyah. Bagaimanapun mereka gagal membelinya
lantaran sikap tegas Sultan Abdul Hamid II selaku khalifah umat Islam. Pada
1917, Deklarasi Balfour dikeluarkan oleh British untuk menyokong usaha
Pergerakan Zionis membentuk negara Israel di atas tanah Palestin. Pihak British
kemudiannya telah menjajah bumi Palestin selepas Perang Dunia Pertama.
Deklarasi Balfour yang berupa sepucuk surat daripada Setiausaha Luar British, Arthur James Balfour kepada Pemimpin Yahudi British, Walter Rothchild |
Perjuangan
pembebasan tanah Palestin daripada cengkaman kuasa Zionis pada mulanya memuncak
dek semangat kebangsaan Arab yang dilaung-laungkan oleh pemimpin dunia Arab.
Perang dilancarkan oleh pakatan Arab pada 1967 yang dikenali sebagai Perang
Enam Hari. Namun kekalahan pakatan Arab pada Perang Enam Hari itu menyaksikan
Rejim Zionis semakin melebarkan sayapnya wilayah jajahannya dengan penawanan
Semenanjung Gaza milik Palestin (dibawah tanggungjawab Mesir), Semenanjung
Sinai milik Mesir, Tebing Barat milik Palestin (dibawah tanggungjawab Jordan)
dan Bukit Golan milik Syria.
Perang
Arab-Israel 1973 menyambung episod Palestin ini dengan kejayaan tentera Mesir
membebaskan Semenanjung Sinai. Namun perang ini tidak dapat membebaskan
wilayah-wilayah lain yang ditawan Rejim Zionis seperti Genting Gaza yang masih
dibawah taklukan Israel. Selepas itu, Anwar Sadat yang merupakan Presiden Mesir
ketika itu mula berjinak-jinak dengan Rejim Zionis apabila bersama-sama
memeterai Perjanjian Camp David pertama dengan Israel yang menyaksikan Mesir
sebagai negara Arab pertama yang mengiktiraf Negara Haram Israel di atas bumi
Palestin. Anwar Sadat kemudiannya dibunuh oleh tenteranya sendiri lantaran
tindakannya yang dianggap satu penghinaan ke atas penduduk Palestin. Bertitik
tolak dari masa ini, semangat perjuangan untuk membebaskan Palestin dengan
idealisme nasionalisme dan Ba’ath (Sosialis Arabisme) mula luntur.
Perjanjian-perjanjian
damai yang dimeterai antara PLO dan Rejim Zionis seterusnya hanya menyaksikan
pengiktirafan Negara Haram Israel di atas bumi Palestin oleh PLO sementara rakyat
Palestin terus dizalimi haknya. Akhirnya pada 1987, HAMAS ditubuhkan serentak
dengan seruan Intifadhah pertama sebagai tindakan rakyat Palestin yang
berfikrah Islamiah untuk berjuang memerdekakan setiap inci bumi Palestin.
Ketika mana PLO sibuk memberikan ‘komitmen’ kepada perjanjian-perjanjian damai
yang tidak pernah dipatuhi oleh Rejim Zionis, anak-anak muda berfikrah Islami
mula mengangkat senjata sambil menjulang al-Quran menandakan bermulanya
perjuangan bernuansakan Islam untuk membebaskan bumi Palestin sebagai tindakan
refleks kepada kegagalan ideologi nasionalisme dan Ba’ath (Sosialis Arabisme)
untuk memperjuangkan kebebasan Palestin.
Alaf baru
menyaksikan seruan Intifadhah kedua yang lebih bertenaga oleh para pejuang
Palestin menggunakan ‘Bahasa Perang’ untuk menjawab kebiadapan Rejim Zionis
kepada rakyat awam Palestin. ‘Bahasa Perang’ ini terpaksa digunakan kerana
ketololan Rejim Zionis untuk memahami bahasa lisan dan kasih sayang.
Tahun 2004
pula telah ditakdirkan sebagai hari anugerah syahid kepada maestro perjuangan
HAMAS iaitu Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz ar-Rantissi, mereka dijemput
pulang oleh Ilahi dengan meninggalkan warisan perjuangan kepada anak-anak muda
Palestin.
Operasi bom
syahid (amaliyyah Istisyhadiyyah) dan serangan roket al-Qassam rekaan anak
watan Palestin yang berterusan mula menimbulkan kebaculan Rejim Zionis yang
takut mati apabila berhadapan rakyat Palestin yang cintakan syahid. Akhirnya
pada 2005, Rejim Zionis berundur daripada Genting Gaza dan wilayah itu berjaya
dimerdekakan.
Ustaz Riduan Mohamad Nor |
Tahun 2006,
HAMAS mendapat mandat daripada rakyat Gaza apabila menang dalam pilihan raya.
Kemenangan HAMAS ini memberikan ketakutan buat Rejim Zionis yang menyebabkan
mereka memulakan Operasi Cast Lead selama 22 hari pada hujung 2008 hingga awal
2009 untuk menghapuskan HAMAS dan menghancurkan Gaza. Namun dengan bantuan
Allah, Rejim Zionis walaupun dengan kelengkapan perang yang canggih tetap gagal
melumpuhkan Gaza dan rakyatnya.
Senario
berulang lagi tahun ini, apabila Rejim Zionis mencuba lagi untuk menumbangkan
HAMAS dan rakyat Gaza dengan Operasi Pillar of Cloud namun tetap menemui
kegagalan dengan sebab pertolongan Allah kepada hamba-hambaNya.
Selesai pidato Ustaz Riduan maka sampailah kepada waktu yang ditunggu-tunggu iaitu kalam nasihat dan peringatan
daripada as-Syeikh Dr Muhammad Ali as-Sobuni.
(catatan
pidato Dr Muhammad Ali as-Sobuni akan dimuatkan dalam artikel tentang Syria)
No comments:
Post a Comment