Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…
HAMAS. Familiar
dengan nama ini? Nama yang sangat sinonim dengan bumi Palestin.
Siapa HAMAS?
HAMAS ialah
satu gerakan pertahanan Islam yang berjuang menjaga kebajikan rakyat Palestin, membebaskan
bumi Palestin yang dijajah oleh Rejim Zionis dan mempertahankan kesucian
Masjidil Aqsa. HAMAS ialah akronim bahasa arab kepada Harakat al-Muqawamah
al-Islamiah yang bermaksud Gerakan Pertahanan Islam (Bahasa Inggeris: The
Islamic Resistance Movement). Mungkin bagi individu-individu yang tidak
mengenali HAMAS secara jelas akan melabelkan gerakan ini sebagai gerakan yang
ekstrem kerana gerakan bersenjata mereka untuk melawan Rejim Zionis dan
ketegasan mereka yang tidak akan mengiktiraf negara Israel yang dibina di atas
tanah Palestin. Memang benar HAMAS mempunyai sayap bersenjata yang diberi nama
Briged Izzuddin al-Qassam, tetapi itu tidak membuktikan HAMAS sebagai pengganas.
Kupasan tentang persoalan adakah HAMAS ganas & ekstrem akan di ulas selepas ini.
Sejarah
Penubuhan HAMAS
|
Logo Harakat al-Muqawamah al-Islamiah, HAMAS |
HAMAS berasal
daripada gerakan Ikhwanul Muslimin cawangan Gaza yang berjuang di medan senjata
untuk menentang penjajahan Zionis di bumi Palestin. (Penting untuk diketahui
bahawa selepas Perang 1948, peratusan wilayah yang besar di Palestin telah
diberikan kepada Yahudi Pendatang untuk membina Negara Israel dan rakyat
Palestin yang merupakan peribumi telah diusir daripada tanah air mereka sendiri.
Peratusan wilayah yang berbaki iaitu Gaza dan Tebing Barat telah diletakkan masing-masing
dibawah pemerintahan Mesir dan Jordan.) Semasa pemerintahan Presiden Jamal
Abdul Naser di Mesir, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Gaza telah diberikan
tekanan. Oleh hal demikian, Ikhwanul Muslimin di Gaza telah bergerak secara
‘underground’ untuk mengelakkan ancaman daripada Rejim Naser. Seterusnya,
mereka menumpukan aktiviti mereka untuk merekrut ahli-ahli baru bagi pembinaan
generasi baru yang lebih mantap untuk membebaskan Palestin. Mereka menumpukan
usaha pembinaan masjid dan mengumpulkan pemuda-pemuda di masjid. Hasil pembinaan generasi ini kemudiannya
menampakkan hasil, fikrah Ikhwanul Muslimin dibawa masuk ke
universiti-universiti. Akhirnya pada tahun 1987 HAMAS telah ditubuhkan serentak
dengan seruan Intifadah pertama. HAMAS ditubuhkan pada 8 Disember 1987 oleh
Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi, Komander Syeikh Salah
Syahadah, Abdul Fatah Dukhan, Muhammad Syama’, Dr. Ibrahim al-Yazur dan Isa
an-Najjar. Mudahnya HAMAS ialah ‘evolusi’ kepada Ikhwanul Muslimin di Gaza yang
memperjuangkan kebebasan Palestin, kebajikan rakyat Palestin dan kesucian
Masjidil Aqsa.
Perjuangan di
awal penubuhan
HAMAS sejak
awal penubuhannya telah memilih cara bersenjata untuk menentang penjajahan
Zionis Israel ke atas tanah Palestin. Mereka memilih jalan ini ketika PLO
semakin lunak dengan Zionis Israel. Sayap persenjataan yang pertama ditubuhkan
oleh HAMAS ialah Briged al-Mujahidun al-Falastiniyun sebelum membentuk Briged
Izzuddin al-Qasssam yang lebih tersusun gerakan penentangannya. Komander Syeikh
Salah Syahadah telah mengetuai pergerakan sayap ketenteraan HAMAS ini. Briged
Izzudin al-Qassam banyak melakukan serangan balas keatas setiap tindakan biadap
tentera Rejim Zionis Israel kepada rakyat Palestin. Strategi-strategi
penentangan yang dirancang berkesan membantutkan usaha Zionis Israel untuk
meluaskan lagi pencerobohan ke atas bumi Palestin. Rejim Zionis yang telah lama
bersenang-lenang selepas penentangan
bersenjata mula dihentikan oleh negara-negara Arab sekeling telah
dikelam-kabutkan semula dengan kehadiran Briged Izzuddin al-Qassam ini.
HAMAS hari
ini
HAMAS telah
memenangi Pilihan Raya Majlis Legislatif Palestin pada 2006 dan diberi mandat
untuk membentuk kerajaan Palestin. Bagaimanapun keputusan rakyat Palestin
memilih HAMAS sebagai kerajaan melalui sistem demokrasi ini tidak dihormati
oleh Amerika dan Kesatuan Eropah. Mereka bagai ingin menghukum rakyat Palestin
yang memilih HAMAS sebagai kerajaan dengan memberikan sekatan ekonomi kepada
kerajaan HAMAS. Padahal HAMAS telah dipilih oleh rakyat Palestin melalui sistem
yang dilaung-laungkan oleh Barat dan Eropah sebagai sistem yang adil untuk
memberikan hak bersuara kepada rakyat iaitu sistem demokrasi.
Walaupun
HAMAS telah menjadi kerajaan di Palestin, ini tidak bermakna HAMAS akan
bersikap lunak dengan Zionis Israel dengan meninggalkan perjuangan bersenjata
dan seterusnya mengiktiraf Israel. HAMAS kekal dengan prinsip perjuangannya
untuk membebaskan bumi Palestin seluruhnya dan tidak sesekali mengiktiraf
Israel. Hal ini ditegaskan oleh para pemimpin HAMAS seperti Ismail Haniyyeh
(Perdana Menteri Palestin kini), Mahmoud Zahhar dan Ketua Biro Politik HAMAS,
Khalid Mish’al.
Adakah HAMAS
pengganas?
Media Barat
yang umumnya diketahui pro-Zionis pastinya mencanangkan HAMAS sebagai satu pertubuhan
pengganas. Hakikatnya HAMAS bukanlah ekstrem dan ganas seperti yang
dicanangkan. HAMAS yang berasal daripada Ikhwanul Muslimin mempunyai perjuangan
yang yang berbentuk menyeluruh dan selari dengan tasawwur Islam yang lengkap
dan meliputi seluruh bidang kehidupan. HAMAS tidak semata-mata terkongkong
dalam medan pertempuran bersenjata tanpa meraikan tuntutan kehidupan umat yang
sebenar. HAMAS ialah pergerakan yang komprehensif meliputi bidang politik,
sosial, kerohanian, ekonomi, jasmani (sukan), intelek, ketenteraan dan
lain-lain. HAMAS lebih dikenali sebagai pertubuhan kebajikan oleh rakyat Palestin
berbanding pertubuhan pengganas yang dicanang Zionis dan pengikut-pengikut
mereka. Hal ini kerana HAMAS disamping perjuangan bersenjata melawan Zionis
mereka juga bergerak di lapangan politik, kebajikan dan lain-lain untuk rakyat
Palestin.
Mungkin ada
akan bertanya kenapa HAMAS tetap tidak mahu mengiktiraf Israel. Bagi menjawab
pertanyaan itu mungkin analogi ini boleh membantu, sebuah rumah(tanah rakyat
Palestin) dimasuki perompak(Zionis Israel) dan kemudian perompak itu
mengisytiharkan kepada tuan rumah (rakyat Palestin) bahawa sebahagian besar
kawasan rumah itu milik perompak itu dan hanya kawasan tertentu sahaja menjadi
milik tuan rumah. Adakah wajar kita mengiktiraf ‘hak’ perompak itu ke atas
rumah yang dirompak? Tentu sekali jawapannya TIDAK.
Mungkin ada
pula yang bertanya kenapa HAMAS memilih penentangan bersenjata, tidak bolehkah
melalui rundingan damai. Sebenarnya HAMAS sangat mengalu-alukan rundingan damai
tetapi masalahnya semua rundingan damai yang ditaja oleh Barat bersifat berat
sebelah dan menguntungkan Zionis Israel seperti Perjanjian Madrid 1991 dan
Perjanjian Oslo 1993. HAMAS juga pernah mencadangkan satu tempoh gencatan
senjata yang panjang (hudna) antara HAMAS dengan Zionis Israel tetapi ditolak
oleh Zionis Israel kerana usul HAMAS itu memerlukan komitmen kedua-dua pihak
dan semestinya Zionis Israel tidak bersedia untuk memberikan komitmen kerana
itu memang sifat mereka. Selain itu, perlu dijelaskan disini bahawa penentangan
bersenjata HAMAS mempunyai sasaran yang jelas iaitu memerangi Zionis Israel dan
golongan yang menyokongnya. HAMAS tidak
memerangi orang-orang Yahudi dan tidak pula memusuhi agama Yahudi tetapi HAMAS
memerangi orang yang merampas tanah Palestin, membunuh ramai rakyat Palestin,
mengancam Masjidil Aqsa dan menyahudikan kota Baitul Maqdis iaitu Zionis Israel.
HAMAS sangat teliti dalam menumpukan senjata mereka kepada musuh mereka yang
sebenar iaitu Zionis Israel. Ini menjadi sebab HAMAS tidak meluaskan
penentangan bersenjata ke luar Palestin.
Tokoh-tokoh
HAMAS
|
As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin |
As-Syahid
Syeikh Ahmad Yassin – Syeikh Ahmad Yassin atau juga dikenali sebagai Syeikh
Palestin ini merupakan murabbi yang menjadi pembina generasi mujahidin Palestin
yang terdiri daripada para pemuda Palestin. Beliaulah yang sentiasa menjadi
peniup semangat kepada pemuda-pemuda palestin untuk terus berjuang
mempertahankan bumi Isra’ ini. Pejuang di atas kerusi roda ini sangat digeruni
Zionis Israel sehingga mereka perlu menggunakan cara paling pengecut untuk
membunuh syeikh yang lumpuh ini dengan melancarkankan peluru Hellfire yang
daripada helikopter Apache untuk membunuhnya. As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin
kembali ke rahmatullah pada 22 Mac 2004 dengan membawa hujah bersamanya untuk
dibentangkan di Hari Pembalasan bahawa beliau telah berjuang semampunya untuk
membela kesucian Masjidil Aqsa.
As-Syahid Dr.
Abdul Aziz ar-Rantissi – Dr. Abdul Aziz ar-Rantissi ialah salah seorang
pengasas HAMAS. Beliau ialah genius yang telah membantu perjuangan HAMAS.
Lulusan Sarjana Peditriasi (Perubatan Kanak-kanak) Universiti Iskandariah ini
telah berjaya membina mimpi ngeri kepada Rejim Zionis. Kefasihannya dalam
bahasa Inggeris telah menjadikan beliau sering kunjungi wartawan ketika berada
dalam tempoh pengusiran di Selatan Lubnan, dengan itu beliau telah menjadi
lidah kepada HAMAS untuk menjelaskan apa yang diperjuangkan HAMAS kepada dunia.
Pada 17 April 2004, pembela al-Quds ini menyambut panggilan pulang Ilahi dengan
hadiah syahid daripadaNya selepas beliau dibedil oleh roket daripada helikopter
Apache milik Rejim Zionis.
|
Khalid Mish'al, Ketua Biro Politik HAMAS |
Khalid
Mish’al – Khalid Mish’al ialah Ketua Biro Politik HAMAS, sebelum ini beliau
pernah tinggal di Jordan dan bertanggungjawab mengumpul dana untuk kebajikan
rakyat Palestin. Wang yang disalurkan melalui dana ini digunakan untuk
kebajikan rakyat Palestin seperti membina masjid, sekolah dan klinik dan
aktiviti-aktiviti kebajikan.
|
Ismail Haniyyeh, Perdana Menteri Palestin |
Ismail
Haniyyeh – Ismail Haniyyeh ialah Perdana Menteri Palestin kini yang menerajui
kerajaan Palestin di Gaza. Beliau dilantik sebagai ketua kempen-kempen HAMAS
semasa pilihan raya dan diberi amanah untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan
yang baru selepas HAMAS memenangi pilihan raya . Beliau mempunyai hubungan
rapat dengan as-Syahid Syeikh Ahmad Yassin.
HAMAS
bukanlah pertubuhan yang bergantung kepada populariti pemimpinnya, buktinya
HAMAS tidak goyah walaupun selepas pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul
Aziz ar-Rantissi bahkan HAMAS tidak kering untuk melahirkan generasi pelapis
penyambung perjuangan. Nama-nama yang disebut di atas cuma sebahagian daripada
individu-individu yang berada dalam HAMAS. Hakikatnya masih ramai lagi
nama-nama yang tidak disebut yang turut sama dalam jihad mempertahankan bumi
al-Quds ini.
*
Di akhir post
panjang saya tentang HAMAS ini, saya ingin mengajak pembaca berdoa untuk
keselamatan umat Islam di Palestin, Syria, dan Rohingya serta doa untuk usaha
pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Tidak lupa juga menyedekahkan al-Fatihah
kepada para mujahidin pembebas al-Quds dan mujahidin di tempat lain di serata
dunia yang telah kembali menyahut seruan Ilahi.
Al-Fatihah…