Jalan kehidupan yang panjang |
“Amirul Ashraf.” Ckgu Fitri memanggil.
“Ya Cikgu.” Saya menyahut.
Malam itu saya dan beberapa orang sahabat bermalam di rumah
Cikgu Fitri, guru Sejarah yang mengajar kami di tingkatan lima.
Esok ialah hari keputusan SPM akan diumumkan. Saya dan
beberapa orang sahabat lagi datang sehari awal ke maktab untuk menziarahi semua
guru-guru dan warden asrama.
“Kenapa kamu tolak tawaran fast track ke UTM Skudai
tu?” Cikgu Fitri bertanya.
Dalam hati saya mula rasa tidak sedap. Akal mula memikirkan
jawapan.
“Aduh… mahu dijawab apa ni?” Soalan menjengah di minda.
“Err… Sebenarnya saya dapat tawaran tu dah agak lewat cikgu. Tambahan pula, waktu itu saya sedang ada di Melaka. Rasanya memang tak sempat
kalau nak siapkan segala dokumen penting yang diperlukan.” Mulut melantunkan
jawapan rapuh itu.
Sekali dengar sahaja boleh tahu yang jawapan itu berisi
alasan-alasan yang remeh.
Jika betul-betul bersungguh mahu ke situ, boleh sahaja
pulang serta merta ke Pulau Pinang dan ikhtiarkan caranya untuk mempersiapkan
dokumen-dokumen penting yang diperlukan dalam masa singkat.
“Kenapa cikgu?” Giliran saya bertanya pula. Tujuan untuk
elak respon cikgu terhadap alasan saya tadi.
“Tak ada apa-apa, cuma pelik sebab ramai orang lain berebut
nak ikut program fast track tu tetapi kamu tolak.” Cikgu Fitri menjawab
sambil tersenyum.
Hidup ini ialah tentang pilihan
Pertengahan tahun 2012, saya mendaftarkan diri ke Pusat
Asasi UIAM sebagai pelajar asasi Farmasi.
Sebelumnya, ketika mengisi borang atas talian UPU, saya
memang meletakkan Asasi Farmasi UIAM di pilihan pertama. Saya optimis yang saya akan dapat tawaran ke
UIAM kerana Allah mengurniakan saya keputusan yang kecemerlang dalam SPM. Dalam
minda saya memang tidak memikirkan kemungkinan lain. UIAM memang dibidik sebagai sasaran.
Apabila masuk ke Pusat Asasi UIAM saya bertemu pula dengan
beberapa orang sahabat daripada MRSM lain. Masing-masing bagai tidak
percaya apabila saya bercerita tentang penolakan saya terhadap program fast
track yang saya terima ketika tempoh keputusan SPM belum keluar.
Pelik dan hairan.
Semua bertanyakan mengapa.
Mana tidaknya, jika mengikuti program fast track
pembiayaan pendidikannya terjamin. Pasti satu hal yang merugikan jika tidak
mengikutinya.
Maka saya jawab kepada mereka dengan jawapan yang ringkas
dan bersimpul makna tersirat.
Hidup ini ialah tentang pilihan.
Simpang-siur kehidupan.
Dalam meniti jalan kehidupan ini apa banyak simpang-siurnya,
kita sendiri yang perlu berijtihad memilih jalan mana yang ingin dilalui. Pandangan
orang lain hanya sekadar rujukan untuk penilaian sahaja, bukan panduan yang
wajib diikut. Kita sendiri yang perlu memilih.
Apabila pilihan sudah dibuat, maka berimanlah
bersungguh-sungguh dengan qada’ dan qadar Allah. Jangan ada penyesalan terhadap
pilihan itu, tiada lagi ‘kalau itu’ atau ‘kalau ini’ selepas pilihan dibuat.
Jika melewati tempoh sukar kerana keputusan yang dipilih, maka tempuhilah
dengan hati yang tabah.
Sejenak saya ingin mengajak kita menyelak kembali lembaran
sirah Rasulullah S.A.W.
Ingatkah kita tentang Peperangan Uhud?
Tatkala itu, Nabi Muhammad S.A.W. berpandangan supaya kaum
muslimin berperang secara bertahan di dalam kota tetapi sahabat berpandangan
untuk berperang diluar kota. Setelah mesyuarat selesai, maka semua menyetujui
keputusan mesyuarat untuk berperang di luar kota. Nabi Muhammad S.A.W. sendiri
telah membatalkan cadangannya untuk berperang di dalam kota kerana menghormati
keputusan mesyuarat.
Apabila menghampiri detik akan bergemerincing mata-mata pedang,
maka timbul rasa menyesal para sahabat kerana mereka menyalahi cadangan
Rasulullah S.A.W.
Mereka berkata kepada Rasulullah bahawa tidak mengapa untuk
mengabaikan keputusan mesyuarat yang telah diputuskan sebelum ini dan mengambil
saranan Rasulullah S.A.W. bagi berperang di dalam kota.
Lalu lihat apa jawapan Rasulullah S.A.W.
"Seorang
Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula
sehingga Allah memberikan keputusan antara Dia dan musuhNya."
Rasulullah
tidak menyesali keputusan yang telah diputuskan dan tidak berpatah balik.
Demikian
juga kita, seharusnya kita mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W.
Tegas
dalam pilihan yang sudah dibuat.
Mencari
Sesuatu
Mungkin
yang membaca nukilan ini masih sahaja tertanya-tanya apa sebabnya yang sebenar
sehingga saya membuat pilihan yang jika dilihat pada mata umum sebagai pilihan
yang merugikan.
Mengapa
saya memilih jalan untuk belajar di UIAM berbanding mengikuti program fast
track yang terjamin pembiayaannya? Mengapa perlu menolak peluang keemasan?
Semuanya
kerana saya mencari sesuatu.
Sesuatu
yang saya rasa saya akan lebih mudah temukannya di UIAM. Bukan bermakna di
tempat lain saya tidak boleh ditemukan perkara itu, boleh sahaja tetapi susah.
Saya tidak mahu mengambil risiko kerana saya sangat rindu dan perlukannya. Saya
perlukannya lebih daripada sebuah bantuan pembiayaan kewangan pelajaran.
Itulah…
biah solehah.
Suasana
yang nyaman untuk melakukan kebaikan dan berada dalam kebaikan.
Inilah
rahmat Allah yang terbesar.
Hati
saya aman berada di UIAM. Taman Ilmu dan Budi ini begitu mendamaikan. Nuansa
Islaminya, itu yang saya tercari-cari. Saya rela kehilangan kesenangan dunia
demi memiliki sebuah ketenangan hidup beragama.
Saya rela cagarkan kesenangan
dunia untuk memilikinya.
Wilayah
Islam ini memang saya rindui.
Dan
hari ini, saya tidak menyesali pilihan saya sedikit pun.
Alhamdulillah.
Apabila Allah dibesarkan, Akhirat diutamakan, maka menjadi murah nilaian dunia ini dan rasa kecil segala manusia. Dan ketika itulah segala-galanya akan rela dipertaruhkan demi untuk mendapat keredhaan Allah dan meraih syurga-Nya.
ReplyDelete