Hari Sabtu yang lengang. Restoran Ayam Penyet itu agak
tenang daripada kebiasaannya. Hari minggu mungkin. Di tambah pula dengan cuti
sekolah, pasti banyak kenduri kahwin yang berlangsung.
Saya mengambil keputusan untuk bekerja di Restoran Ayam
Penyet di Transkrian sepanjang bulan Disember untuk mengisi masa kosong cuti
semester sambil mengumpul sedikit duit poket. Cuti semester bagi pelajar Pusat
Asasi UIAM memang panjang jika tidak perlu mengambil subjek ketika semester pendek,
lebih kurang tiga bulan cutinya.
Bertugas di dapur, kini saya memiliki dua orang kenalan
baharu. Pertamanya ialah Muiz, seorang penuntut jurusan kejuruteraan awam di
UiTM Permatang Pauh dan keduannya Akmirul yang juga penuntut jurusan yang sama
tetapi belajar di Politeknik Tanjung Malim.
"Hari itu ada mamat warga Indonesia tumpang bermalam
kat rumah aku. Pakai subang dan bertatu." Akmirul memecah kesunyian kami
berdua yang khusyuk bersama gadjet masing-masing.
"Islamkah?" Saya bertanya dengan nada bersahaja.
"Islam. Siap solat subuh lagi." Akmirul menutup
surat khabar yang dibacanya. Bersungguh bercerita.
"Sebelum balik; pulang dulu ya, assalamualaikum."
Ajuknya pula dengan dialek Indonesia.
Saya hanya senyum sahaja mendengar kisahnya. Muiz pula masih
khusyuk dengan Candy Crush.
"Yang peliknya, dia solat subuh lagi. Bolehkah?"
Akmirul kini menimbulkan persoalan. Matanya merenung saya.
Nada soalannya seperti bukan bukan bertanyakan tentang
hukum fiqh kerana dia seperti sudah tahu hukum memakai tatu dan status tidak
sah solat orang yang bertatu kerana tidak sempurna wudu'. Sebaliknya, nadanya
bagai bertanya tentang kebolehan untuk orang yang bertatu itu bersolat. Tidak
salahkah orang itu bersolat?
Minda saya berputar memikirkan jawapan paling berhikmah.
"Boleh." Saya menjawab sambil meletakkan gadjet
yang sedang dipegang.
Wajahnya kini mengekpreksikan kekeliruan. Sudah dijangka.
"Hukum solat itu kan wajib bagi setiap orang
Islam." Saya menyambung lagi.
"Tetapi, bukankah tak sah?" Dia kini meluahkan
kekeliruannya.
"Tidak sah tetapi tidak bermakna kewajipan solat itu
terangkat." Saya menyimpulkan konsep asas yang perlu difahaminya.
***
Begitulah yang selalu berlaku dalam masyarakat. Terkurung
dalam persoalan sah dan tidak sah sehinggakan semua perkara dilihat melalui
kaca mata 'sah-tidak sah'.
"Dia pakai subang dan bertatu itu memang sudah satu
dosa tetapi dia tetap wajib solat. Kalau dia tinggal solat, dia akan dapat dosa
meninggalkan solat pula." Seorang da'ie melantun bicara dakwahnya.
"Kalau dia solat pun, solat dia tidak sah kan? Kiranya
macam tidak solat juga lah. " Si mad'u menzahirkan kefahamannya. Riak
wajahnya benar-benar mencari kepastian.
Benar apa yang dikatakan. Namun bagi orang yang mengetahui
kewajipan solat, pasti ada beza nilaian perbuatannya di sisi Allah. Pastinya
berbeza antara perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja jika dibandingkan
dengan perbuatan melakukan solat yang tidak sah dalam keadaan jahil.
Sekurang-kurangnya orang itu cuba memenuhi kewajipan yang dipertanggungjawabkan
ke atas dirinya.
Lainlah jika dia memang sudah tahu tentang perkara yang
menyebabkan solat tidak sah dan sengaja melakukan solat itu walaupun tidak sah.
Itu baru haram.
Itupun jika kita bincang tentang tatu yang menyebabkan
tidak sahnya wudu' yang menatijahkan tidak sah solat. Jika kita bincang tentang
subang yang dipakai oleh lelaki, tiada apa yang menyebabkan wuduk dan solat
tidak sah. Perkara yang relevan hanya keharaman memakai subang bagi lelaki
dalam Islam.
Lelaki yang memakai subang itu fasiq tetapi solat tetap
wajib ke atas dirinya dan dia berdosa jika tidak melakukannnya. Demikian juga
seorang perempuan yang free hair, berpakaian ketat atau tidak menutup aurat
dengan sempurna, dia tetap wajib solat.
Solat dan subang itu dua perkara yang berbeza. Jangan
kerana subang, kita menghukum seseorang lelaki itu hilang 'kelayakan' untuk
menunaikan solat.
Tidak berstatus 'tidak layak' bagi seorang pendosa untuk
menunaikan solat.
Allah itu bukan sahaja Tuhan kepada orang-orang soleh tetapi
juga Tuhan kepada para pelaku maksiat.
Justeru hati-hati dengan ungkapan kita.
Jangan sampai ada yang berkata, "Jika 'begini-begini',
lebih baik tak payah solat."
Solat tetap wajib sekalipun kepada seorang perompak.
***
"Perkara ni macam bacaan surah al-Fatihah dalam solat." Saya merenung
semula muka Akmirul.
"Surah al-Fatihah itu rukun solat. Tidak sah solat
kalau tidak dibaca surah al-Fatihah atau bacaannya salah." Saya
memperincikan kenyataan.
Muiz mengalih pandangannya kepada saya. Galaxy S2 miliknya
diletakkan daripada pegangan.
Dia menumpu mendengar bicara saya.
"Bagaimanapun, kejahilan seseorang itu untuk membaca
surah al-Fatihah tidak mengangkat kewajipannya untuk solat. Dia tetap wajib
solat. Cumanya orang jahil itu wajib pula untuk belajar membaca surah
al-Fatihah dengan betul." Saya mengangkat jari telunjuk kiri dan kanan,
mengayakan diri seperti seorang motivator. Bagai Amin Idris barangkali.
Seketika teringat pula saya dengan salah satu kaedah fiqh
yang digunakan untuk menetapkan hukum.
MA LA YATIMMU WAJIB ILLA BIHI, FA HUWA WAJIB
Perkara apa yang jika tanpanya menyebabkan suatu perkara
wajib tidak sempurna maka perkara itu menjadi wajib.
"Seperkara lagi. Siapa tahu dengan solat yang dia
masih amalkan itu akan bawa dia kembali kepada Allah suatu hari nanti."
Saya meneruskan bicara.
"Ayam Penyet dua." Pesanan disampaikan kepada
kami di dapur.
Saya dan Muiz bingkas bangun untuk menyediakan pesanan.
"Pernah tengok filem Dalam Mihrab Cinta?" Saya
sengaja bertanya untuk mengimbangi semula dominasi saya dalam penerangan tadi.
Tangan lekas mencedok nasi.
"Tak." Akmirul dan Muiz masing-masing menggeleng.
"Tengok filem tu. Dalam filem tu, watak utamanya
seorang penyeluk saku tetapi istiqomah solat berjemaah di surau. Siap jadi imam
lagi." Tangan mengambil dua potongan timun.
Akmirul yang masih duduk khusyuk mendengar.
"Akhirnya, penyeluk saku itu berubah jadi baik sebab
malu dengan diri sendiri. Dia malu bila orang lain anggap dia orang soleh dan
lantik dia jadi imam solat." Khitam saya.
Akmirul mengangguk. Dia masih duduk di kerusi. Berfikir
mungkin.
"Eh Akmirul, jangan lupa buat pesanan minuman
tu." Muiz mengingatkan.
"Oh, baik." Akmirul segera bangun dari kerusi dan
bergegas menyiapkan pesanan minuman.
Terleka seketika tadi.
Mata saya memerhatikan dinding kosong.
"Umat ini perlukan lebih ramai da'ie, bukan
qadi." Hati bermonolong.
Mata seketika mengerling semula Akmirul.
"Semoga sampai maksudnya." Saya berdoa dalam
hati.