Dengan Nama
Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang…
Syria, sebuah
negara yang bersempadan dengan Palestin, Lubnan, Jordan, Turki dan Iraq serta
mempunyai pesisiran laut yang menghadap ke arah Laut Mediterranean. Syria merupakan
sebahagian kawasan daripada negeri Syam yang sering kita dengar dalam sirah
Rasulullah s.a.w.
Sejarah moden
mencatatkan Syria dahulunya diperintah oleh Khilafah Islam Uthmaniyyah sebelum
dijajah oleh Perancis pada tahun 1920. Syria kemudiannya dimerdekakan pada
tahun 1946. Sejak merdeka, suasana politik Syria sentiasa bergolak dengan
beberapa siri rampasan kuasa sehingga rampasan kuasa yang terakhir pada 1970
oleh Hafez al-Assad. Selepas Hafez al-Assad merampas kuasa, beliau telah
mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden dan mengukuhkan kedudukannya dengan
melantik ahli keluarganya terdekat untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam
kerajaan dan menyingkirkan sekutu-sekutunya yang lain untuk mengelak rampasan
kuasa ke atas dirinya. Rakyat Syria tidak bebas berpolitik kerana kerajaan
Syria terus-terusan mengamalkan Undang-undang Darurat. (Undang-undang Darurat
ini bagaimanapun telah dimansuhkan pada April 2011 sebagai taktik Presiden
Basyar al-Assad untuk kekal berkuasa – akan diulas lebih lanjut dibawah)
Syria
mempunyai jumlah penduduk sekitar 19.3 juta orang yang mana 74% daripadanya
ialah muslim Sunni (Ahlul Sunnah wal Jamaah), 11% Syiah Nusairiyah (juga
dikenali sebagai Alawiyyun), 9% Kristian dan selebihnya lain-lain. Menurut
catatan sejarah, Syria pernah bergabung dengan Republik Arab Mesir membentuk
Republik Arab Bersatu pada 1958 sebelum menarik diri daripada gabungan itu pada
1961.
Revolusi Syria: Punca
Revolusi Syria: Punca
Menurut
Syeikh Khaled Hasan Hendawi yang merupakan Pembantu Khas Presiden Ketua Ulama’
Sedunia, kebangkitan rakyat Syria baru-baru ini bermula dengan peristiwa
penangkapan dan penyeksaan sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di daerah
Hauran, wilayah Dar’a. Kumpulan kanak-kanak ini telah ditangkap oleh pihak
polis tempatan kerana menconteng dinding sekolah mereka dengan slogan “Rakyat
mahu sistem dijatuhkan”. Slogan yang diconteng itu merupakan slogan kebangkitan
rakyat yang dilaung-laungkan oleh rakyat Tunisia dan Mesir ketika mereka dalam
usaha menjatuhkan pemerintah tirani di negara masing-masing. Ternyata slogan
ini menakutan kerajaan Syria pimpinan Basyar al-Assad yang sedang cuba menahan
gelombang Arab Spring daripada melanggar Syria pada ketika itu.
Penyeksaan
kejam telah dikenakan oleh pihak polis tempatan ke atas kanak-kanak yang
ditangkap itu dengan cara mencabut kuku tangan dan kaki mereka. Ibu bapa kepada
kanak-kanak yang ditangkap itu segera pergi ke balai polis untuk menuntut
semula anak-anak mereka selepas mendapat berita penangkapan tersebut namun
tidak dilayan oleh pihak polis. Pihak polis menyuruh para ibu bapa kanak-kanak
yang ditangkap itu pulang ke rumah dan anggap sahaja anak-anak mereka sudah
tiada atau jika mereka tidak dapat menerima hakikat itu, maka serahkan
isteri-isteri mereka kepada pihak polis dan hasilnya itu nanti ialah anak-anak
mereka yang baru. Sungguh biadap sekali kata-kata mereka.
Revolusi Syria |
Keesokan
harinya menyaksikan ahli keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dan
jiran-jiran yang prihatin turun ke jalanan untuk mengadakan bantahan terhadap
tindakan polis wilayah Dar’a itu. Mereka melaungkan slogan untuk menjatuhkan
Ketua Polis wilayah Dar’a, Atif Najib. Atif Najib yang juga merupakan kenalan
Presiden Basyar al-Assad telah mengarah serangan helikopter polis ke atas
rakyat yang menuntut keadilan secara aman. Serangan itu telah mengakibatkan
lebih 14 orang cedera dan puluhan yang lain cedera. Peristiwa ini dicatatkan
berlaku pada 15 Mac 2011. Demonstrasi membantah kekejaman rejim pemerintah ini
akhirnya dengan pantas meredak ke wilayah lain. Pada 18 Mac 2011, rakyat Syria
yang tidak berpuas hati telah turun mengadakan demonstrasi besar-besaran membantah
kezaliman rejim pada hari yang dinamakan “Hari Kemarahan Syria”. Slogan untuk
menjatuhkan Atif Najib yang dilaungkan pada awalnya telah bertukar kepada
kepada slogan untuk menjatuhkan Basyar al-Assad.
Siapa Basyar al-Assad?
Presiden Basyar al-Assad |
Basyar
al-Assad merupakan anak kepada kepada Presiden Syria sebelumnya Hafez al-Assad.
Basyar mewarisi takhta Presiden Syria daripada Hafez al-Assad pada tahun 2000
selepas bapanya itu meninggal dunia akibat leukemia. Perlembagaan Syria
mensyaratkan usia bagi membolehkan seseorang itu menjawat jawatan Presiden
ialah 40 tahun tetapi Basyar al-Assad ketika ingin dilantik menjadi Presiden
baru berumur 34 tahun. Keadaan ini memaksa Majlis Perlembagaan Rakyat Syria
meminda syarat usia tersebut dengan menurunkan umur kelayakan menjawat jawatan
Presiden Syria daripada 40 tahun kepada 34 tahun iaitu umur Basyar al-Assad
ketika itu.
Basyar al-Assad
berakidah Syiah Nusairiyah iaitu salah satu pecahan daripada fahaman Syiah. Fahaman
Syiah Nusairiyah ini ialah salah satu fahaman Syiah yang menggangap Saidina Ali
bin Abi Talib sebagai Ilah (Tuhan
yang berhak disembah). Kelompok Syiah ini selain dikenali dengan nama
Nusairiyah, mereka juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Alawiyyun
dan Numairiyah.
Tindak balas melampau rejim kerajaan
Selepas beberapa
hari protes mendesak pengunduran Basyar al-Assad daripada tampuk kuasa, Basyar
al-Assad telah muncul di televisyen bagi menyampaikan ucapannya yang berisi janji-janjinya
kepada rakyat Syria seperti melakukan perubahan terhadap politik Syria dan
menghapuskan Undang-undang Darurat. Semua janji Basyar ini dibuat untuk
meredakan protes rakyat terhadapnya dan memastikan beliau kekal berkuasa. Namun
taktik untuk meredakan kemarahan rakyat ini tidak berhasil, rakyat Syria
bertegas supaya beliau berundur daripada tampuk kuasa. Janji-janji Basyar
al-Assad itu sebenarnya ialah taktik yang sama yang telah digunakan oleh mantan
Presiden Mesir, Hosni Mubarak untuk meredakan kemarahan rakyat.
Melihat cara
lembut ini tidak berhasil menamatkan protes rakyat. Basyar al-Assad mula
melancarkan serangan ketenteraan terhadap rakyatnya sendiri. Beliau menggunakan
kuasa tentera dibawah pimpinan saudara kandungnya, Maher al-Assad selaku
pemimpin tentera Syria. Selain itu, Basyar juga menggunakan polis dan samseng
upahan (dikenali sebagai syabih yang
bermaksud hantu) untuk membantai rakyatnya.
Pada April
2011, rakyat Syria tetap meneruskan protes walaupun Basyar telah membuat beberapa
perubahan seperti permansuhan Undang-undang Darurat dan pembebasan tahanan
politik. Rakyat menuntut Basyar berundur dan bukan melakuan apa-apa perubahan
lagi dalam pemerintahannya kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan
pemerintahan kuku besi beliau dan bapa beliau sebelum ini.
Sehingga 6
Februari 2012, sejumlah 7904 orang telah terkorban hasil pertembungan rejim
pemerintah Syria ini dengan rakyatnya dan kebanyakan daripada korban ialah dari
wilayah Homs dan Idlib. Angka korban meningkat kepada 10135 orang pada 5 Mac
2012 yang mana menyaksikan peningkatan jumlah angka korban sebanyak 2231 orang
hanya dalam masa hampir sebulan.
Kegilaan
rejim Basyar al-Assad membantai rakyat Syria ini berterusan hingga ke hari ini.
Mereka bukan sahaja membunuh bahkan mereka juga menyeksa rakyat-rakyat Syria
yang ditahan, merogol wanita-wanita dan membedil masjid-masjid. Kanak-kanak
juga tidak terkecuali daripada diseksa dan dibunuh. Tindakan yang paling
melampau ialah mereka memaksa golongan muslim Sunni yang ditahan untuk berlaku
syirik kepada Allah dengan mengucapkan “la
ilaha illa Basyar” (Tiada Tuhan selain Basyar) dan sujud sembah kepada
Basyar al-Assad atau terus-menerus diseksa sehingga mati.
Golongan
penyokong Basyar al-Assad ini benar-benar zalim, mereka mengagung-agungkan
Basyar sehingga sujud menyembahnya dan mengakui Basyar sebagai tuhan. Kezaliman
apakah yang lebih besar daripada syirik kepada Allah?
(Bersambung…)