“Mana
dia yang kami nak jaga tu?” Tanya seorang lelaki 50-an yang berwajah riang.
“Nanti
dulu, budak tu belum lahir pun lagi.” Balas isterinya.
Mama
sekadar tersenyum.
Kisah
hampir dua puluh tahun lepas sentiasa diulang-ulang oleh mama setiap kali kami
sekeluarga akan pergi menziarahi rumah Wan Ya, pengasuh saya ketika saya masih kecil.
“Cerita itu lagi.” Ridhwan, adik bongsu yang tercinta bersuara.
Mungkin
dia pelik agaknya. Tertanya-tanya apalah yang terlalu istimewa tentang keluarga
Wan Ya kepada saya, mama dan ayah sehinggakan setiap kali berziarah ke rumah
Wan Ya yang terletak di Kampung Kijang itu pasti cerita sama akan diputarkan
kembali.
Apa
yang istimewa? Jawabnya segalanya.
“Abang
tak mahu balik lagi.” Saya ketika berumur tiga tahun bersuara.
“Tak
apa, tak apa. Balik la dulu, lepas maghrib nanti kami hantar dia balik.” Wan Ya
memberitahu mama.
Sekitar
pukul 5.15 petang, mama yang baru pulang daripada pejabatnya di Seberang Jaya
akan datang menjemput saya di rumah Wan Ya untuk dibawa pulang ke rumah.
Begitulah rutin hariannya ketika itu.
Tatkala umur saya masuk ke lingkungan tiga
tahun dan sudah pandai berbicara. Sering saja saya enggan pulang ke rumah
apabila mama datang menjemput pada waktu petang. Seronok tinggal di rumah Wan
Ya. Saya dilayannya bagai cucu sendiri, ke hulu ke hilir sentiasa diusungnya.
Sehinggakan penduduk-penduduk Kampung Kijang lebih mengenali saya daripada mama
dan ayah kerana sering dibawa oleh Wan Ya berjalan-jalan pusing kampung.
“Panas
la Wan. Macam mana nak minum?” Saya merungut.
Suatu
pagi Wan Ya bawa saya pergi ke warung kopi.
“Uuh….
Panas ka?” Wan Ya menjawab.
Air teh
susu yang telah dipesan itu tidak dapat saya minum kerana panas. Sekadar
memerhati dengan penuh keinginan dan merungut kepada Wan Ya.
“Kalau
panas, buat la macam ni.” Dia menuang air teh susu tersebut ke dalam piring.
“Tunggu
sat, lepas tu minum la dari piring tu.”
Itulah
kali pertama saya belajar cara hendak minum minuman yang panas. Tuangkan dalam
piring kemudian minum. Penjelasan rasional tentang perbuatan itu hanya saya
temukan setelah saya masuk ke tingkatan dua. Haba lebih mudah terbebas apabila
nisbah pemukaan per isipadu bahan lebih besar. Wan
Ya tidak masuk MRSM pun tetapi ilmu fizik itu telah dipraktiknya kepada saya
tatkala saya masih belum kenal huruf-huruf.
Rumah
saya dan Wan Ya ketika itu dekat sahaja. Kampung Kijang dan taman perumahan
yang saya sekeluarga duduki hanya dipisahkan oleh sebatang jalan raya. Oleh kerana
jarak yang dekat itulah yang menyebabkan saya suka tinggal di rumah Wan Ya
sehingga malam.Ttidak mahu balik rumah sendiri.
Pada
tahun penghujung tahun 1999, kami sekeluarga berpindah rumah dari Alma yang
berada dalam mukim Bukit Mertajam ke Simpang Ampat yang berada dalam mukim Batu
Kawan. Saya ketika itu sudah hampir berumur 6 tahun. Perpindahan kami
menjadikan jarak saya dengan Wan Ya semakin jauh walaupun masih dalam negeri
yang sama iaitu Pulau Pinang. Meskipun begitu hubungan kami tidak terputus.
Sering sahaja saya sekeluarga berkunjung ke rumahnya pada cuti sekolah, cuti umum dan
hari raya.
Apabila
masuk ke sekolah menengah, saya dan Wan Ya semakin jarang bertemu kerana saya
tinggal di asrama. Risau jika hubungan saya dengan keluarga Wan Ya akan
terputus atau timbul perasaan segan kerana lama tidak berjumpanya, maka saya
pastikan saya keluarga akan menziarahinya apabila ada peluang ketika cuti.
“Tak
lama lagi nanti boleh la mai sini sendiri dengan motor.” Gurau Wan Ya.
“Mana
ada lesen lagi Wan.” Saya tersenyum.
Sesekali
mata saya melirik melihat ayah. Ayah sekadar senyum. Faham benar saya dengan
ayah. Dia memang tidak akan benarkan saya untuk tunggang motosikal selagi belum
ada lesen.
Memori
saya ketika dijaga oleh Wan Ya sangat istimewa. Kadang-kadang apabila sedih
menghingap hati maka saya akan layarkan minda mengimbau kenangan ketika tinggal
dengan Wan Ya. Kenangan manis itu selalu menjadi ubat kepada kesedihan saya.
Sekarang
Wan Ya masih tinggal di rumahnya yang dahulu sedangkan kami telah dua kali berpindah
rumah. Alhamdulillah, walaupun begitu hubungan kami masih tersambung.
Wan
Ya ialah antara orang terpenting dalam hidup saya selain ayah dan mama. Orang
yang turut sama mewarnai kehidupan saya ketika kecil. Sehingga hari ini saya masih
menziarahinya ketika ada kelapangan dan insyaAllah akan terus-menerus
menghubungkan tali kasih ini.
Saya
bertekad apabila sudah berkeluarga nanti saya akan pastikan juga keluarga saya
akan terus menyambung silaturrahim dengan keluarga Wan Ya. Saya mahu mereka
turut sama mengenali insan yang berjasa dalam hidup saya ini.
Terima
kasih Wan Ya.