Kebersihan
sebahagian daripada ajaran Islam
Syumuliah
merupakan salah satu sifat istimewa agama Islam. Syumuliah ini bermaksud
menyeluruh dan salah satu bukti syumulnya (menyeluruhnya) Islam itu ialah Islam
mengajar tentang kebersihan. Bukti Islam mengajar para penganutnya menjaga
kebersihan dapat dilihat dalam ibadah fardhu seharian seorang muslim seperti
ibadah solat fardhu yang mesti ditunaikan di tempat yang bersih daripada najis dan
orang yang akan bersolat mesti memakai pakaian yang bersih daripada najis.
Wudhu’, mandi
wajib, mandi sunat, khatan, bercukur, potong kuku dan siwak (bersugi atau
memberus gigi) ialah antara cara pengurusan kebersihan diri yang diajar oleh
Islam yang terangkum dalam bahagian fikah (Islamic Jurisprudence). Bab kebersihan
juga telah disusun oleh para ulama’ sebagai bab pertama dalam pengajian fikah.
Ini mengambarkan betapa Islam menitikberatkan bab kebersihan ini.
Sekularisasi
Isu Kebersihan
Semua perkara
tentang kebersihan ini telah pun diajar dalam Islam, namun pemikiran sekular
yang ditanam dalam minda masyarakat telah memperlihatkan seolah-olah bab
kebersihan ini tidak ada kaitan dengan Islam. Kebersihan ini sering
diperkenalkan secara sekular dimana Islam amat jarang disebut secara seiringan
ketika isu kebersihan ini dibincangkan. Hasilnya, ramai ahli masyarakat tidak
tahu bahawa kebersihan sangat dituntut dalam Islam dan hanya menganggap
kebersihan sebagai satu nilai moral yang baik sahaja. Tembok sekularisasi
berusaha memisahkan isu kebersihan ini dengan Islam dengan harapan menjadikan
masyarakat hanya melihat Islam terkurung dalam hal ibadah khusus sahaja dan
tidak melihatnya sebagai satu ad-Din iaitu cara hidup. Ketahuilah bahawa Islam
ialah agama yang mementingkan kebersihan.
Remaja muslim
kemaskan tempat tinggalmu
Andai disebut
asrama atau rumah bujang terutama yang dihuni oleh lelaki, maka satu gambaran awal
yang buruk akan sering dilakarkan oleh minda umum. Keadaan yang bersepah dan
berselerak akan menjadi senario paling dominan yang digambarkan, walaupun yang
tinggal di dalamnya ialah para remaja muslim. Buku-buku yang tidak tersusun,
paket-paket kosong makanan yang bertaburan, tilam tidak bercadar dan berselerak,
itu semua selalu menjadi ‘hiasan’ dalam rumah bujang atau asrama yang sering
digambarkan oleh minda umum.
Sekadar
refklesi, mengapa negatif sungguh gambaran yang diberikan? Sedangkan suasana
yang bersih seharusnya menjadi senario paling dominan dalam asrama atau rumah
bujang yang dihuni oleh remaja muslim yang mu’min. Mungkin kerana itulah
hakikat yang sering terlihat oleh mata. Wahai remaja muslim, berimanlah kepada
Allah dan bangkitlah untuk mengubah persepsi negatif minda umum tentang tempat
tinggal anda! Kemaskan tempat tinggalmu!
Kebersihan
dan pendakwah
Kebersihan
dengan dakwah tidak dapat dipisahkan, tanpa kebersihan maka hilanglah kekuatan
dakwah itu. Kebersihan boleh menjadi kayu ukur kepada peribadi seseorang. Maka
dengan itu fahamlah kita bahawa sebagai da’ie (pendakwah), kebersihan diri,
tempat tinggal serta sikap kita terhadap kebersihan persekitaran kita akan
menjadi kayu ukur oleh mad’u (orang yang didakwahi) untuk menerima seruan kita.
Memanglah seharusnya mad’u itu melihat kepada apa yang diserukan dan bukan
siapa penyeru itu, tetapi sebagai da’ie kita harus faham bahawa itu bukan
alasan untuk kita membiarkan urusan kebersihan dan kekemasan diri kita terabai.
Jika
kebersihan diri dan persekitaran kita diabaikan, maka dakwah kita pun akan
menjadi kurang mantap dan mungkin ditolak kerana sudah menjadi adat dunia untuk
melihat apa yang tersurat dahulu sebelum yang tersirat. Bayangkan jika kita
ingin membeli sebotol air mineral di pasar raya, pastinya kita akan memilih air
mineral di dalam botol yang dalam keadaan baik berbanding air mineral di dalam
botol yang sudah kemik. Kenapa terjadi demikian sedangkan kita tahu isinya sama
sahaja. Mengapa kita tidak memilih air mineral di dalam botol yang kemik? Saya
pasti anda ada jawapannya. Begitu juga halnya dalam dakwah, perkara yang dibawa
itu baik namun kita harus faham bahawa ‘container dakwah’ itu juga perlu dalam
keadaan baik untuk memastikan dakwah itu lebih mudah diterima.
Buktikan
keimananmu dalam skop kebersihan
Umumnya,
ramai di antara kita yang mengetahui bahawa kebersihan itu sebahagian daripada
iman dan ramai di antara kita ini mengaku beriman. Persoalannya sekarang ialah
sejauh mana kita membuktikan keimanan kita itu dalam skop kebersihan ini? Tepuk
dada tanyalah kepada iman.
Oleh kerana
kebersihan itu daripada iman maka apa yang pasti ialah orang yang beriman mesti
menjaga kebersihan tidak kiralah sama ada kebersihan diri, kebersihan tempat
tinggal ataupun kebersihan persekitaran. Oleh itu, pastikan supaya penampilan
diri kita sentiasa bersih dan kemas serta pastikan tempat tinggal kita sama ada
rumah atau asrama sentiasa dalam keadaan teratur dan bersih. Setiap kali keluar
ke tempat awam atau kawasan alam semula jadi maka jagalah kebersihan
persekitaran kita, buanglah sampah dalam tong sampah yang disediakan. Inilah
sikap kita yang sepatutnya sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah. Oleh
itu, mari kita sama-sama bumikan tekad dalam diri untuk membuktikan keimanan
kita ini kepada Allah dalam skop kebersihan ini.